01 July 2013

Jom Bersemangat di Pagi Isnin

Assalamualaikum,

Bekerja dengan ceria
Bekerja dengan ceria - Google
Bila tiba hari Isnin sahaja mesti ramai yang mengeluh, "Monday Blues", "Tak bersemangat nak kerja", "Mood cuti tak habis lagi", "Saya benci hari Isnin" dan macam-macam lagi ayat yang boleh melemahkan semangat untuk bekerja.

Hari ini aku ingin berkongsi beberapa tips yang pernah aku praktikkan ketika aku bekerja dulu:

1. Niat Sebelum Tidur
Setkan otak anda sebelum tidur, contohnya, "Esok aku akan bangun pada jam 5.30 pagi untuk solat subuh dan ke pejabat dengan bersemangat serta ceria." Paling penting, maafkan kesalahan orang sebelum tidur, Insya-Allah anda akan tidur lena. 

2. Buat Persediaan Awal ke Pejabat
Pastikan pakaian kerja siap digosok pada hari Ahad malam (sebelum tidur). Kunci jam loceng sebelum tidur dan segera bangun apabila mendengar bunyi jam loceng. Buat sedikit senaman ringan selepas bangun tidur. 

3. Pilih Pakaian Bewarna Cerah
Pemilihan warna pakaian akan mempengaruhi mood kita. Warna cerah akan membuatkan kita merasa lebih bertenaga, ceria dan penuh dengan idea. 

4. Luangkan Sedikit Masa untuk Mendengar Rancangan Motivasi
Dengar sesi ceramah motivasi pendek di televisyen atau radio, contohnya rancangan Motivasi Pagi di TV3. Kata-kata motivasi ini dapat membangkitkan semangat anda di pagi hari. 

5. Jangan Abaikan Sarapan Pagi
Ambil sarapan pagi secukupnya bagi membekalkan tenaga agar tidak lesu sebelum tiba waktu makan tengah hari. Contohnya memadai minum secawan teh dan sedikit biskut. Namun harus diingat, pengambilan minuman berkafein secara berlebihan mungkin boleh mengganggu tumpuan kerja. 

6. Mulakan Pekerjaan dan Aktiviti dengan Nama Allah SWT
Bermula dari bangun tidur, mandi, berpakaian, memandu/menaiki kenderaan awam, punch card masuk kerja sehinggalah bekerja dan balik kerja, mulakan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim. Niatkan bekerja untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan mencari rezeki yang halal. 

7. Mengubahsuai Kedudukan Barangan di atas Meja Kerja
Luangkan sedikit masa untuk mengubahsuai kedudukan peralatan atau barangan di atas meja kerja. Ambil masa untuk memilih barangan atau kertas yang tidak digunakan dan buang ke dalam tong sampah. Meja yang bersih akan membuatkan mood anda lebih ceria. 

8. Tulis dan Tampal Target Aktiviti/Tugasan yang Perlu Disiapkan
Buat list to do kerja atau tugasan yang perlu disiapkan pada hari itu dan tampal di meja kerja. Lakukan tugasan yang mudah terlebih dahulu bagi membangkitkan semangat anda (tertakluk kepada kepentingan tugasan itu juga). 

Lakukan semua tips di atas secara istiqamah pada setiap hari. Tidak semestinya buat pada hari Isnin sahaja, kalau buat hari-hari lagi bagus. Selamat mencuba.. 

* Tips ini juga boleh dipraktikkan oleh pelajar. 

^_^