28 February 2014

Berhenti Mengeluh

Assalamualaikum,

Setiap orang pasti ada masalah tersendiri. Ada masanya kita aka berasa kecewa dan penat untuk menghadapi ujian yang bertimpa-timpa. Ujian bukanlah hanya dalam bentuk kesusahan sahaja, namun kesenangan juga satu ujian.

Berhenti Mengeluh
Berhenti Mengeluh (Gambar hiasan) - potluri040.blogspot.com
Tanpa kita sedari adakalanya kita akan mengeluh dengan ujian yang mendatang. Sedarilah bahawa ujian itu adalah salah satu jalan untuk kita mendekatkan diri dengan Allah SWT. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman', sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Surah al-'Ankabut 29:2-3).
Manusia yang diuji oleh Allah SWT adalah manusia yang disayangi-Nya. Bersangka baiklah terhadap Allah SWT dan usah menyalahkan takdir di atas apa yang terjadi kepada kita. Berhenti mengeluh adalah langkah yang terbaik.

Ada masanya fikiran negatif akan terus mempengaruhi diri kita. Cuba rehatkan minda buat seketika dan usah terlalu melayani perasaaan negatif itu. Berhentilah mengeluh dan laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

Oleh itu, berfikiran positif dan ikhlaskan hati adalah penyelesaian yang terbaik. Mengeluh hanya akan memburukkan lagi keadaan apabila kita terus mengeluarkan aura-aura negatif. Sebelum ini dibincangkan mengenai berubah ke arah kebaikan.

Sumber petikan ayat al-Quran : Quran Reciter v5.4 oleh PPZ

^_^

27 February 2014

Kenapa Penyu Menangis?

Assalamualaikum, 

Ketika mengikuti program anjuran The World Wide Fund for Nature (WWF) di Ma' Daerah, Kerteh Terengganu pada tahun 2006 dahulu aku berpeluang menyaksikan penyu bertelur. Sebelum itu aku mendengar pertanyaan, "Kenapa penyu menangis?"

Kenapa Penyu Menangis
Kenapa Penyu Menangis (Gambar hiasan) - warrenphotographic.co.uk
Lebih kurang jam 9.00 malam aku dan kawan-kawan menunggu penyu naik ke darat. Bersusah payah dia merangkak naik ke darat dan mencari tempat untuk bertelur. Kami dilarang membuka lampu kerana dikhuatiri akan mengganggu penyu.

Dengan tenangnya penyu itu mula bertelur. Kebetulan mata penyu itu memang berair, mungkinkah benar penyu itu menangis? Tiba-tiba terasa pilu di hatiku. Kasihan pula dia bersusah payah bertelur manusia senang sahaja mengambil telur-telurnya. 

Barulah aku mengerti kenapa ada pertanyaan kenapa penyu menangis. Ada kemungkinan juga mata penyu itu berair akibat pasir yang dikoreknya. Namun dari segi perasaan aku dapat rasakan tentu dia bersedih kerana terpaksa meninggalkan telurnya. 

*Nota: Hanya Allah SWT yang tahu kenapa penyu menangis. Satu keunikan penyu adalah ia akan kembali semula ke tempat asal ia dilahirkan untuk meneruskan zuriatnya, memang sangat hebat gerak hati yang Allah SWT kurniakan kepadanya. 

^_^

Segmen : Pencarian Bloglist Bulan March

Assalamualaikum,

Segmen ini dianjurkan oleh blogger Mar Mansor. 

Segmen : Pencarian Bloglist Bulan March
Klik banner di atas untuk join
Jom sokong segmen ini..

 ^_^

Dapatkan Tidur Berkualiti

Assalamualaikum,

Tidur berkualiti adalah penting untuk badan kita kekal bertenaga di dalam melaksanakan aktiviti seharian. Ada masanya mungkin kita sukar untuk tidur tepat pada waktunya. Sebelum ini telah dibincangkan mengenai kesan akibat kurang tidur.

Dapatkan Tidur Berkualiti
Dapatkan Tidur Berkualiti (Gambar hiasan) - guardianlv.com
Seterusnya pada hari ini akan dibincangkan mengenai cara untuk dapatkan tidur berkualiti. Beberapa cara yang boleh dipraktikkan adalah seperti berikut:

1. Atur waktu tidur yang tetap
Elakkan tidur panjang pada waktu siang (anda boleh tidur sebentar sebelum waktu Zohor mengikut sunnah Rasulullah SAW).  Disiplinkan diri anda untuk tidur tepat pada masanya pada setiap malam. Lama-kelamaan pasti badan kita akan terbiasa. 

2. Bersenam
Senaman secara teratur pasti akan menghilangkan ketegangan pada badan kita. Lakukan senaman seperti berlari selama 15 minit pada setiap petang. Jika terlalu sibuk, bolehlah melakukan senaman ringan seperti naik turun tangga.

3. Suasana tenang ketika tidur
Pilih tilam dan bantal mengikut keselesaan anda. Gunakan lampu tidur ketika tidur atau terus padamkan lampu. Anda juga boleh menggunakan minyak aromaterapi seperti lavender yang dititiskan ke dalam bekas berisi air dan dibakar.

4. Pemakanan sebelum tidur
Pastikan perut anda tidak terlalu lapar atau terlalu kenyang. Sebelum tidur anda boleh makan buah-buahan rendah kalori seperti oren dan epal. Makanan berat dan tinggi kalori tentu akan mengganggu sistem penghadaman ketika tidur. 

5. Kawal tekanan perasaan
Tekanan pasti akan menyebabkan kita sukar untuk tidur. Cuba tenangkan perasaan sebelum tidur dengan cara melakukan senaman pernafasan. Bagi umat Islam bolehlah bersolat dan berdoa sebelum tidur. Yang penting maafkan orang sebelum tidur.

6. Posisi tidur yang selesa
Pastikan posisi tidur yang betul iaitu badan mengiring ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi seperti sunnah Rasullah SAW. Bacalah doa sebelum tidur. Diikuti oleh al-fatihah, ayat kursi dan 3 Qul (al-Ikhlas, al-Nas, al-Falaq) dan tasbih (Subahanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar sebanyak 33 kali). 

Oleh itu, apa yang penting adalah kualiti tidur, bukan hanya kuantiti. Ada orang yang cukup hanya tidur selama lima hingga enam jam pada setiap hari. Jika masalah tidur anda berlarutan, segeralah berjumpa dengan doktor anda. 

^_^

26 February 2014

Langkah Keselamatan Jenayah ragut

Assalamualaikum, 

Jenayah ragut yang berlaku pada masa kini semakin menjadi-jadi. Hal ini tentunya mebimbangkan kita terutamanya kaum wanita. Sebelum ini pernah diceritakan mengenai kakak kawanku yang trauma akibat diragut di bank. 

Langkah Keselamatan Jenayah ragut
Langkah Keselamatan Jenayah ragut (Gambar hiasan) - ryot.org
Beberapa langkah keselamatan yang boleh anda praktikkan bagi mengatasi serta menghadapi jenayah ragut di bank adalah seperti berikut:

1. Elakkan bersendirian
Bawa kawan sekurang-kurangnya dua orang untuk urusan yang melibatkan wang yang banyak. Minta tolong seorang kawan menunggu di dalam kereta ketika anda mengeluarkan wang dan seorang lagi mengiringi anda. 

2. Waktu yang sesuai
Selesaikan urusan yang berkaitan perbankan pada waktu siang hari yang ramai orang. Peragut suka mengambil kesempatan jika kita berada di tempat yang sunyi terutamanya pada waktu senja atau malam. 

3. Sorok wang
Terus masukkan wang yang dikeluarkan ke dalam beg anda. Elakkan mengira wang yang dikeluarkan di khalayak ramai. Itulah pentingnya anda membawa kawan untuk menemani anda. 

4. Senjata di saat kecemasan
Pegang kunci kereta di dalam genggaman tangan dan ianya boleh dijadikan senjata jika diserang. Pada kunci kereta juga terdapat butang 'penggera' yang berbunyi apabila ditekan. Tekan butang itu untuk menarik perhatian orang ramai. 

5. Jangan melawan
Jika anda menjadi mangsa, serahkan sahaja beg atau wang anda kepada peragut. Usah mengambil risiko untuk bergelut dengan peragut. Tindakan anda itu pasti membahayakan nyawa anda.

Oleh itu, sentiasa berhati-hati walau di mana anda berada. Sebaik-baiknya, daftarlah perbankan secara atas talian bagi memudahkan urusan berkaitan pembayaran bil atau pemindahan wang. Jenayah ragut pasti ada di mana-mana. 

^_^

Wordless Wednesday # 27 - Aksi Kucing

Assalamualaikum,

Aksi Kucing
Foto: justphotographer.com
Aksi Kucing
Foto: fin6.com
Aksi Kucing
Foto: photoandwallpapers.com
Aksi Kucing
Foto: photoandwallpapers.com
Aksi Kucing
Foto: photoandwallpapers.com
Aksi Kucing
Foto: photoandwallpapers.com
Aksi Kucing
Foto: photoandwallpapers.com
Aksi Kucing
Foto: funnyjunksite.com

 ^_^

25 February 2014

SEGMEN&GIVEAWAY BY IKHWAN YUSUFF

Assalamualaikum,

Segmen ini dianjurkan oleh blogger Ikhwan.

SEGMEN&GIVEAWAY BY IKHWAN YUSUFF
Boleh klik banner di atas untuk join
Tarikh tutup segmen : 1 Mac 2014

SEGMEN&GIVEAWAY BY IKHWAN YUSUFF

SEGMEN&GIVEAWAY BY IKHWAN YUSUFF

SEGMEN&GIVEAWAY BY IKHWAN YUSUFF


 ^_^

Rexylla FB Page Launching Giveaway

Assalamualaikum, 

Kini ramai yang selesa membeli belah di atas talian kerana ianya lebih menjimatkan masa. Kepada anda yang masih tercari-cari koleksi pakaian wanita yang terkini dengan harga yang berpatutan bolehlah berkunjung ke Rexylla.

Rexylla FB Page Launching Giveaway

Antara koleksi terkini yang boleh didapati di Rexylla adalah seperti berikut:

Rexylla FB Page Launching Giveaway

Rexylla FB Page Launching Giveaway

Rexylla FB Page Launching Giveaway

Rexylla FB Page Launching Giveaway

Rexylla FB Page Launching Giveaway

Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan koleksi yang terkini dan menarik dengan harga yang berpatutan. Untuk mengetahui update terkini mengenai koleksi terkini, jadilah fan mereka di Facebook --->>>Rexylla

Rexylla FB Page Launching Giveaway
Klik banner di atas untuk join segmen ini
Pakaian yang aku suka pakai adalah yang selesa dan menutup aurat. Paling aku suka jenis baju macam di bawah ini. 
Sumber gambar: surabaya.olx.co.id
Tarikh tutup segmen : 1 Mac 2014
Tag: Kathy, Kiera, Aisyah

^_^

FEBRUARY 2014 GIVEAWAY

Assalamualaikum, 

Sudah lama aku tidak mengikuti segmen atau giveaway yang dianjurkan oleh rakan-rakan blogger. Pada malam ini insya-Allah aku akan mengikuti beberapa segmen yang telah aku bookmark (ada yang dah tarikh tutup tak dapat join).

Segmen pertama ini dianjurkan oleh blogger Mazatul Azura. 

Boleh klik banner di atas untuk join
Tarikh tutup segmen : 28 Februari 2014

^_^

Kena Pukau

Assalamualaikum, 

Kisah ini berlaku pada bulan lepas dan diceritakan semula oleh kakak aku. Ibu saudara rakan sepejabat kakakku (Mak Cik A) tinggal bersendirian di rumah ketika anak-anaknya pergi bekerja. Pada hari itu seseorang membunyikan loceng pagar.

Kena Pukau
Kena Pukau (Gambar hiasan) - mlive.com
Mak Cik A menjenguk di pintu rumah dan mendapati ada dua orang lelaki berpakaian kemas berdiri di hadapan pintu pagar rumahnya. "Assalamualaikum puan." sapa salah seorang dari lelaki itu dengan wajah yang manis. 

"Waalaikummussalam. Ada apa hal encik berdua datang?"soal Mak Cik A. "Kami wakil dari Bank #@#@. Kami ingin menawarkan skim insurans. Ianya percuma dan puan tidak perlu membayar apa-apa." balas lelaki itu. 

"Kalau begitu silakan masuk. Kita berbincang di dalam." jemput Mak Cik A yang mula tertarik apabila mendengar perkataan 'percuma'. Pagar dibuka dengan alat kawalan jauh dan kedua-dua lelaki itu masuk ke dalam rumah. 

Mak Cik A menjemput kedua lelaki itu duduk di sofa dan mereka mula berbual. "Dengan tawaran skim ini, puan tidak perlu membayar apa-apa." salah seorang dari lelaki itu memulakan bicara sambil merenung tepat ke mata Mak Cik A. 

Apabila Mak Cik A tersedar anaknya yang baru balik dari kerja memberi salam dan menggerak-gerakkan tubuhnya yang terbaring di sofa. Dia mendapati semua barangan kemasnya dan beberapa barangan beharga di dalam rumah telah hilang. 

Rupa-rupanya Mak Cik A telah dipukau oleh kedua-dua lelaki tadi melalui renungan mata. Semua yang berlaku dirasakan seolah-olah seperti mimpi. Sejak itu Mak Cik A trauma dan lebih berhati-hati jika ada tetamu yang tidak dikenali datang.

Sekarang ini banyak taktik penipuan yang dilakukan untuk mendapatkan wang. Oleh itu, semoga kita semua berhati-hati dan jangan sesekali membenarkan orang yang tidak dikenali masuk ke rumah kita. Sebelum ini pernah diceritakan pengalaman dipukau di Mydin dan trauma akibat diragut

 ^_^

24 February 2014

CPUV Nuffnang #27

Assalamualaikum, 

Alhamdulillah akhirnya blog ini menerima satu CPUV (Cost per unique visit) dari pihak Nuffnang untuk bulan Februari. Sebenarnya sudah lama blog ini tidak menerima CPUV baru dari Nuffnang. Aku tetap bersyukur walaupun hanya iklan ini sahaja yang on going

CPUV Nuffnang #27
CPUV Nuffnang #27
CPUV ini adalah dari LANEIGE Serum Intense Lipstick. Tak pasti bagaimana pihak pengiklan memilih blog aku untuk CPUV ini. Walaubagaimanapun, terima kasih kepada pihak Nuffnang dan juga rakan-rakan blogger serta pengunjung yang sudi singgah di sini. 

 ^_^

Pasangan Curang

Assalamualaikum, 

Tentu kita tidak pernah menyangka apabila orang yang kita sayangi mula berubah hati atau dalam erti kata yang lain si dia telah curang terhadap kita. Menjadi lumrah seorang manusia mudah berubah hati jika bertemu dengan sesuatu yang lebih cantik atau baik.

Pasangan Curang
Pasangan Curang (Gambar hiasan) - ellecanada.com
Sebelum ini telah dibincangkan mengenai berhenti bertengkar dengan pasangan. Berikut dikongsikan beberapa cara mudah untuk mengenalpasti pasangan curang

1. Pasangan curang kurang memberikan perhatian
Secara tiba-tiba pasangan anda berubah sikap dan kurang memberikan perhatian kepada anda. Mungkin dia sudah pandai mencari kesalahan diri anda dan adakalanya sehingga sanggup menengking atau memerli anda dengan kata-kata yang menyakitkan hati.

2. Pasangan curang menjawab panggilan telefon secara sembunyi 
Secara tiba-tiba pasangan anda menjawab panggilan telefon secara sembunyi di bilik air. Telefonnya juga dibuat mode silent dan terdapat kata laluan. Jika benar-benar jujur pasti tiada apa yang hendak dirahsiakan dari anda.

3. Pasangan curang melayari internet sehingga larut malam 
Jika sebelum ini pasangan sering menghabiskan masa bersama anda dan anak-anak. Secara tiba-tiba si dia banyak melayani perasaannya di laman sosial sehingga lewat malam. Anda perlu menyiasat apakah aktiviti yang dia lakukan di alam maya. 

4. Pasangan curang berubah penampilan diri secara tiba-tiba
Sebelum ini pasangan anda tidak pernah mempedulikan penampilan dirinya ketika keluar rumah. Secara tiba-tiba dia berubah memakai pakaian yang lebih kemas dan sudah pandai mengenakan minyak wangi ketika keluar rumah.

5. Pasangan curang tersasul memanggil nama anda
Secara tiba-tiba pasangan anda tersalah memanggil nama anda dengan nama wanita lain. Mungkin di dalam fikirannya asyik teringatkan wanita itu sehingga tersasul memanggil anda dengan nama itu.

Seeloknya siasatlah terlebih dahulu sama ada pasangan anda benar-benar curang. Sekiranya si dia benar-benar curang, pastikan diri anda sentiasa positif untuk menghadapi masalah itu. Anda boleh membaca cadangan penyelesaiannya di dalam artikel apabila cinta dikhianati.

^_^

23 February 2014

Warna Mata dan Personaliti

Assalamualaikum,

Mata adalah salah satu pancaindera yang beharga. Tanpa mata pasti hidup kita dipenuhi dengan kegelapan. Kegembiraan dan kesedihan diri kita juga pasti akan terpancar melalui mata. Kerana mata juga kita boleh jatuh cinta pada seseorang. 

Warna Mata dan Personaliti
Warna Mata dan Personaliti (Gambar hiasan) - quoteko.com
Penulis buku "Jane Eyre" iaitu Charlotte Bronte mengatakan mata bukan sahaja mentafsirkan perasaan, tetapi juga personaliti diri. Warna mata berbeza bergantung kepada pigmen melanin yang terdapat dalam iris mata. Warna mata dan personaliti adalah seperti berikut:

1. Warna anak mata hitam
  • Pemilik anak mata hitam adalah seorang yang penuh bersemangat. 
  • Komited terhadap kerjaya dengan memberikan tumpuan 100% terhadap tugasan yang dilakukan. 
  • Seorang yang berdaya saing dengan cara melakukan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin berbanding orang lain. 
  • Seorang yang perahsia dan tidak mudah terpengaruh dengan perasaan sendiri. 
  • Sukar untuk jatuh cinta, tetapi apabila telah mencintai seseorang pasti akan menjadi pencinta yang setia.
  • Seorang yang boleh dipercayai kerana mereka bertanggungjawab terhadap tugasan yang diamanahkan. 
  • Suka menegakkan kebenaran walaupun tahu dirinya yang bersalah. 
  • Bukan seorang yang penyabar dan tidak suka menunggu terlalu lama. 
2. Warna anak mata coklat
  • Warna coklat adalah warna tanah yang mewakili kesederhanaan, kekuatan dan kreativiti. 
  • Pemilik anak mata coklat adalah seorang yang sukakan alam semulajadi dan tidak terlalu mementingkan kebendaan (materialistik).
  • Seorang pencinta yang hebat dan tahu bagaimana untuk membuatkan pasangan berasa istimewa dan mempercayai mereka. 
  • Kelihatan menarik dan nampak comel. 
  • Seorang yang suka mencari kawan baru (extrovert).
  • Namun takut untuk menunjukkan perasaan sebenar di hadapan orang lain. 
  • Pandai bergurau dan boleh menggembirakan orang lain. 
  • Seorang yang bijak dan mampu memberikan nasihat kepada orang lain. 
  • Kreatif dan mempunyai citarasa yang tinggi terhadap fesyen. 
3. Warna anak mata biru
  • Pemilik mata biru kelihatan lebih muda. Hinggakan ramai orang yang suka memakai kanta lekap bewarna biru.
  • Seorang yang kelihatan menarik, menawan dan peramah. 
  • Spontan dan bertenaga di dalam menjalani kehidupan mereka. 
  • Memiliki kelebihan semulajadi untuk menggembirakan orang lain. 
  • Suka membantu orang di sekeliling mereka dengan sedaya upaya mereka dengan penuh keikhlasan.
  • Mahukan keluarga yang bahagia bersama pasangan dan memerlukan komitmen yang sepenuhnya dari pasangan. 
  • Memiliki kuasa pemerhatian yang tajam. 
  • Suka membebel dan tidak pemalu serta suka mengekspresikan perasaan mereka secara terbuka. 
4. Warna anak mata kelabu
  • Bersifat kepimpinan kerana mereka memahami isu kedua-dua pihak yang tidak bersefahaman dan mampu untuk menyelesaikan masalah dengan cara tersendiri . 
  • Seorang yang kuat dan tabah walaupun diberikan tekanan besar.
  • Mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. 
  • Tidak suka berdiam diri dalam jangka masa yang lama. 
  • Seorang yang pintar dan pandai berniaga.
  • Kelihatan tenang dan disenangi oleh orang di sekeliling mereka.
  • Bersikap rasional dan penyimpan rahsia yang baik. 
  • Memastikan diri dan persekitaran sentiasa kemas dan bersih, namun tidak keterlaluan mengenainya. 
  • Mampu untuk menguruskan kehidupan dengan baik dan membuat keputusan yang bijak.
  • Seorang pencinta yang setia dengan hubungan yang berkekalan dan romantik. 
5. Warna anak mata hijau
  • Seorang yang bertenaga dan kreatif. 
  • Sukakan pengembaraan dan sanggup menyahut cabaran.
  • Jika disakiti, pasti mereka akan akan mencari jalan untuk membalas dendam. 
  • Penceramah yang baik dan sangat pintar.
  • Tidak suka orang lain masuk campur dalam kehidupan mereka. 
  • Seorang pencinta yang baik dan menjalinkan hubungan yang berpanjangan. Namun kadang kala mereka mudah cemburu. 
  • Suka membuatkan orang lain ketawa dan mempercayai mereka. Namun jika tersalah cakap pasti mereka akan membalasnya sehingga menampakkan kita seakan bodoh. 
6. Warna anak mata hazel
  • Pemilik mata hezel suka menerima cabaran. 
  • Tidak akan berundur di dalam perjuangan dan membuktikan dirinya yang terbaik.
  • Kurang sabar dan jangan mengganggu mereka ketika sedang marah. 
  • Memiliki semua sifat-sifat orang yang bermata coklat dan hijau. 
  • Seorang yang spontan dan suka mengambil kesempatan.
  • Kelihatan cantik dan elegan. 
  • Di dalam perhubungan selalunya cenderung untuk hubungan jangka pendek walaupun romantik.
  • Seorang yang suka mencuba dan sangat bertenaga serta berani. 
Diingatkan di sini bahawa artikel berkenaan warna mata dan personaliti ini adalah berdasarkan kajian sahaja. Jika ianya betul mungkin hanya kebetulan. Setiap ciptaan Allah SWT adalah yang terbaik dan terindah. 

p.s: Warna mata di dalam artikel ini tidak termasuk untuk pemakai kanta lekap bewarna. Apakah warna anak mata anda? 

Diolah dari sumber http://listcrown.com/eye-colour-everything-tells-personality/

Boleh juga membaca : 
^_^

22 February 2014

Mencari Kesempurnaan

Assalamualaikum,

Menjadi lumrah setiap manusia inginkan sesuatu yang sempurna dan terbaik di dalam hidupnya. Sedangkan kita tahu bahawa setiap apa yang diciptakan oleh Allah SWT memiliki kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Mencari Kesempurnaan
Mencari Kesempurnaan (Gambar hiasan) - pinterest.com
Seperti satu kisah yang berlaku pada zaman dahulu. Seorang anak murid bertanya kepada gurunya. "Bagaimanakah kita mendapatkan sesuatu yang paling sempurna dalam hidup?" tanya anak murid itu.

"Cuba kamu berjalan di sepanjang taman dan pilihlah bunga yang paling cantik untuk dipetik. Jangan sesekali berpatah balik ke belakang." balas gurunya. Murid itu berjalan di sepanjang taman dan akhirnya kembali kepada guru dengan tangan kosong.

"Mengapa kamu balik tanpa bunga di tanganmu?" soal guru. "Sebenarnya saya sudah berjumpa dengan bunga itu. Tetapi saya tidak memetiknya kerana menyangkakan di hadapan ada yang lebih cantik. Akhirnya apabila sampai di hujung taman saya sedar bunga tadi yang tercantik, sedangkan saya tidak dapat berpatah balik ke belakang untuk memetiknya." balas murid itu.

"Begitu jugalah hidup kita, semakin kita mengejar kesempurnaan semakin ia menjauh dari kita. Kerana sebenarnya kesempurnaan itu tidak pernah ada. Yang ada hanyalah kesediaan diri kita untuk menerima kekurangan." balas gurunya sambil tersenyum.

Oleh itu seharusnya kita bersyukur di atas kurniaan Allah SWT. Hidup kita di dunia ini untuk saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Usah terlalu mencari kesempurnaan kerana tentu banyak masa kita yang akan terbuang.

 ^_^

21 February 2014

Merawat Bibir Kering

Assalamualaikum, 

Cuaca panas pada masa kini menyebabkan badan kekurangan air dan seterusnya bibir akan menjadi kering. Bibir yang kering tentunya akan memburukkan penampilan diri kita. Sebelum ini dibincangkan cara merahkan bibir secara semulajadi

Merawat Bibir Kering
Merawat Bibir Kering (Gambar hiasan) - bonaclara.com
Selain memakai pelembap bibir yang banyak dijual di pasaran, anda boleh mencuba menggunakan bahan-bahan semulajadi untuk merawat bibir kering seperti berikut: 

1. Rawat bibir kering dengan lemon dan madu
Ambil air perahan lemon dan campurkan bersama sedikit madu. Sapukan pada bibir anda. 

2. Rawat bibir kering dengan minyak kelapa dara
Sapukan bibir yang kering dengan sedikit minyak kelapa dara setiap kali sebelum tidur. 

3. Rawat bibir kering dengan tomato
Belah sebiji tomato dan ambil isinya. Sapukan isi buah tomato itu di bibir anda. 

4. Rawat bibir kering dengan timun
Potong timun dalam bentuk hirisan dan sapukan di bibir anda yang kering. 

5. Rawat bibir kering dengan lidah buaya
Ambil lendir lidah buaya dan sapukan terus ke bibir anda. 

Oleh itu, banyak bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk merawat bibir kering. Yang penting, minum air kosong secukupnya untuk mengelakkan badan kekeringan. Sebelum ini juga telah dibincangkan petua sihat dengan air putih

 ^_^

Solat di Hujung Waktu

Assalamualaikum, 

Solat adalah tiang agama dan wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam. Namun adakalanya kesibukan kerja menyebabkan sesetengah individu memberi alasan untuk menunaikan solat di hujung waktu. Bagaimanakah pahala orang yang solat di hujung waktu?

Solat di Hujung Waktu
Solat di Hujung Waktu (Gambar hiasan) - masjidassiddiqin.com
Solat adalah ibadat yang dilaksanakan dalam waktu tertentu. Jadi, solat tidak sah jika dilakukan di luar waktu yang ditetapkan. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang wajib atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya”. (an-Nisa’ 103)
Solat di hujung waktu akan menyebabkan waktu solat terluput dan akhirnya seseorang itu terus meninggalkan solat. Bayangkan, menonton rancangan di televisyen selama 1 jam kita sanggup, tetapi menunaikan solat selama 10 minit?

Salah satu cara untuk memotivasikan diri supaya solat di awal waktu adalah cuba bayangkan diri anda akan mati pada bila-bila masa. Pasti di hati akan timbul perasaan takut dan insaf untuk tidak melengahkan suruhan Allah SWT.

Oleh itu, bersamalah kita memperbaiki kelemahan diri agar menjadi lebih baik. Berubah untuk tidak melengahkan menunaikan solat dan lakukan secara istiqamah. Sebelum ini juga telah diceritakan mengenai solat menghilangkan rasa sakit.

^_^

20 February 2014

Terima Kasih Blogger Acik dan Blogger Raudzah

Assalamualaikum, 

Entri ini sebagai penghargaan dan terima kasih kepada blogger Acik dan blogger Raudzah. Sudah lama entri ini berada di dalam deraf, baru hari ini aku terbitkan. 

Hadiah sarung bantal dan sarung kotak tisu yang cantik ini diterima melalui 'Segmen Kenapa Aku Jadi Blogger' anjuran blogger Acik. Hadiah diterima dari sponsor iaitu blogger Wirda. Blog Acik memaparkan berkenaan perkongsian realiti kehidupan pada masa kini yang diolah dalam bentuk motivasi dan nasihat.  

Coklat yang sedap dan keychain comel dari Bandung ini diterima dari blogger Raudzah sempena menjadi antara 10 pengomen terbanyak di blog beliau bagi bulan Januari. Di blog beliau pelbagai informasi serta berita terkini yang ringkas dan padat boleh dibaca. 

Terima kasih yang tidak terhingga kepada kalian kerana telah memberi. Kepada rakan-rakan blogger yang ingin mengenali mereka bolehlah berkunjung ke blog mereka. Tidak rugi berkenalan dengan mereka kerana mereka pasti akan membalas kunjungan anda. 

*p.s: Sejak lama aku tidak berblogmood untuk menerbitkan 2 entri pada setiap hari semakin menurun. Untuk mengikuti segmen yang dianjurkan oleh rakan-rakan blogger pun masih tiada mood.

^_^

Mana Jantan Mana Betina?

Assalamualaikum,

Bagaimana nak tentukan jantina ikan? Itulah masalah yang aku hadapi ketika menjalani latihan praktikal di Pusat Pengembangan Akuakultur Enggor, Perak (kini dikenali sebagai Pusat Ikan Hiasan) pada tahun 2003 dahulu.

Penyelia aku meminta supaya mengasingkan induk ikan Keli jantan dan betina untuk dibiakkan secara pembiakan aruhan  (menggunakan suntikan hormon). Sebelum itu aku hanya belajar secara teori sahaja di dalam bilik kuliah.

Ikan Keli Afrika
Ikan Keli
Pada zaman itu tidak seperti sekarang adanya internet untuk mencari maklumat dengan segera. Mujurlah pekerja di situ mengajar aku mengenali jantina ikan Keli itu. Ikan Keli boleh dikenalpasti jantina melalui ciri-ciri luaran seperti berikut:

1. Saiz badan ikan
Jantan: Kecil
Betina: Besar

2. Kelakuan ikan
Jantan: Agresif
Betina: Kurang agresif

3. Abdomen (badan) ikan
Jantan: Kecil
Betina: Besar dan lebar

4. Alat kelamin ikan
Jantan: Memanjang dan tajam
Betina: Membulat

Sebelum ini pernah diceritakan cara biakkan ikan keli dengan menggunakan teknik pembiakan aruhan. Walaupun pengalaman itu tidak dapat aku praktikkan ketika bekerja (ketika aku bekerja dahulu di Ibu Pejabat), namun ianya tetap segar dalam ingatanku. 

^_^

19 February 2014

Tiada Rezeki

Assalamualaikum,

Pada Jumaat yang lalu anak saudara aku (Ana) dan kawannya (Lily) baru habis kelas di kolej. Mereka bercadang terus pulang ke rumah. Ketika berjalan ke stesen LRT mereka perlu melalui kawasan sungai yang busuk airnya.

Tiada Rezeki
facebook.com
"Aku rasa haus la." tiba-tiba Ana bersuara. Cuaca pada hari itu sangat panas. "Apa kata kita beli air di vending machine di stesen LRT itu nanti." cadang Lily sambil mengeluarkan wang kertas dari dompetnya. 

Entah bagaimana tiba-tiba angin bertiup kuat sedikit dan menyebabkan wang kertas itu terlepas dari tangan Lily. Yang lebih mengejutkan duit itu terus melayang jatuh ke dalam air sungai itu!! "Berapa nilai duit yang jatuh tu?" soal Ana.

"RM50.00." balas Lily. "Maafkan aku sebab aku haus duit kau jatuh ke dalam air tu." balas anak saudara aku dengan rasa bersalah. "Takpe la, dah bukan rezeki aku nak buat macam mana." Lily membalas dengan tenang. 

Mereka hanya mampu melihat wang kertas RM50.00 itu jatuh dan mengalir bersama air sungai. Hendak mengambilnya semula memang tidak mampu kerana air sungai itu deras dan baunya meloyakan tekak. Biarlah ia berkubur  di situ. 

Tiba-tiba aku teringat kembali kata-kata Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj (Juruam, motivator dan penulis buku). Katanya kalau dah bukan rezeki kita, dah masuk ke dalam mulut pun boleh terluah balik. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. 

 ^_^

18 February 2014

Kerosakan Rambut

Assalamualaikum, 

Setiap orang pasti ingin memiliki rambut yang sihat dan cantik bersinar. Namun kerosakan rambut akan tetap terjadi jika rambut tidak diuruskan dengan baik. Sebelum ini telah dibincangkan mengenai makanan untuk rambut kusam

Kerosakan Rambut
Kerosakan Rambut (Gambar hiasan) - beautise.com
Kali ini akan dibincangkan mengenai kerosakan rambut. Faktor yang menyebabkan kerosakan rambut adalah seperti berikut:

1. Kerosakan rambut akibat tekanan
Tekanan boleh menyebabkan akar rambut menjadi rosak. Jika kuantiti rambut rosak 100-150 helai sehari adalah masih normal. 

2. Kerosakan rambut akibat trauma
Trauma terjadi apabila terdapat rangsangan yang kuat apabila rambut ditarik, direntap atau terdedah kepada suhu yang ekstrem.  

3. Kerosakan rambut akibat kelemumur
Masalah kelemumur akan melemahkan akar rambut anda dan seterusnya menyebabkan rambut rosak serta tidak bermaya. 

4. Kerosakan rambut akibat cuaca panas
Cahaya matahari terik atau rawatan kimoterapi boleh menyebabkan rambut rosak. Jika anda berusia 45 tahun ke bawah, masih belum terlewat melakukan rawatan intensif membaiki rambut rosak. 

5. Kerosakan rambut akibat hormon
Hormon dan metabolisme di dalam badan yang tidak seimbang juga boleh menyebabkan kerosakan terhadap rambut anda.

6. Kerosakan rambut akibat penggunaan syampu yang salah
Penggunaan syampu yang tidak sesuai untuk rambut boleh menyebabkan rambut menjadi kering dan rosak. 

7. Kerosakan rambut akibat meluruskan rambut
Ketika proses meluruskan rambut, pelbagai bahan kimia digunakan. Kekerapan meluruskan rambut akan merosakkan akar rambut. 

Oleh itu, rambut yang rosak perlulah dirawat dengan segera. Sebelum ini juga telah dibincangkan mengenai kaedah rawatan secara tradisional dan santan kelapa untuk rambut gugur. Bagi wanita bertudung, penjagaan rambut wanita bertudung juga adalah perlu.  

 ^_^

17 February 2014

Berhenti Bertengkar dengan Pasangan

Assalamualaikum,

Bertengkar adalah satu perkara yang normal berlaku kepada setiap pasangan suami isteri atau kekasih. Kadangkala hanya disebabkan oleh isu yang kecil sahaja sudah menyebabkan pertengkaran. Pertengkaran adalah penyeri kepada hubungan.

Berhenti Bertengkar dengan Pasangan
Berhenti Bertengkar dengan Pasangan (Gambar hiasan) - littleanswer.com
Namun jika ianya berlarutan, sesuatu perlu dilakukan agar ianya kembali normal. Sebelum ini dibincangkan mengenai apabila cinta dikhianati. Beberapa cara untuk berhenti bertengkar dengan pasangan yang boleh cuba dilakukan adalah seperti berikut:

1. Berdiam diri
Ketika bertengkar pasti masing-masing ingin mempertahankan pendapat masing-masing. Cuba untuk berdiam diri ketika pasangan sedang berleter. Sekiranya anda tidak respon, pasti kemarahan pasangan akan cepat menurun.

2. Fikirkan sesuatu yang menggembirakan
Biarkan pasangan meluahkan ketidakpuasan hatinya. Usah membangkang walaupun anda merasakan anda yang betul. Cuba alihkan tumpuan diri dengan cara tidak memberikan perhatian terhadap kata-katanya dan fikirkan perkara lain yang menggembirakan.

3. Sesekali beralah
Beralah mungkin sesuatu yang sukar dilakukan kerana setiap manusia memiliki ego yang tinggi. Sesekali singkirkan perasaan ego itu demi menjernihkan kembali perhubungan anda. Beralah bukanlah bermaksud anda kalah.

4. Fikir sebelum berkata-kata
Berjagalah dengan kata-kata anda ketika bertengkar dengan pasangan. Usah mengungkit perkara lepas yang tidak baik berkenaan dirinya. Pasti si dia akan lebih terluka dan sedih dengan kata-kata anda. Kerana mulut badan binasa.

5. Bertenang dan kawal perasaan marah
Marah itu adalah dari syaitan dan pasti dia bersorak riang apabila anda bertengkar. Ketika marah pasti kita akan mengikut perasaan. Cuba beristighfar dan ambil wudhuk. Apabila hati telah tenang, minta maaf dengan pasangan dan berbincang elok-elok.

Usah jadikan masalah sebagai alasan untuk anda dan pasangan terus bertegang leher. Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Oleh itu, hanya anda sahaja yang tahu penyelesaian terbaik untuk anda menghentikan pertengkaran yang terjadi.

^_^

16 February 2014

Haru Biru

Assalamualaikum, 

Di pagi Ahad ini dikongsikan beberapa kisah haru biru

Haru Biru
Haru biru (Gambar hiasan) - best.com
Kisah 1: Mangga muda vs mangga masak
Pada suatu hari di sebuah kelas, seorang guru Matematik sedang mengajar berkenaan bab bahagi.
Guru : "Berapakah jawapannya jika 10 dibahagi 2?"
Murid : "5 cikgu." (murid-murid menjawab serentak).

Guru Matematik menyedari ada seorang murid bernama Alex sedang tidur di kelas itu. 
Guru : "Alex, 4 dibahagi 2 berapa?" (Alex yang baru terjaga dari tidurnya terpinga-pinga). 
Alex : "Tidak tahu cikgu.."
Guru : "Contohnya anda mempunyai 4 biji mangga untuk dibahagikan kepada 2 orang rakan anda. Jadi berapakah jumlah mangga seorang rakan anda dapat?"
Alex : "Sebelum saya menjawab soalan cikgu, saya hendak bertanya adakah mangga itu masak atau muda?"
Guru : "Apa maksud anda?"
Alex : "Saya bertanya kerana jika mangga itu muda saya bahagikan kepada rakan saya. Jika mangga itu masak pasti saya tidak akan bahagikan kepada mereka."
Guru : "@_@ !!!"

Kisah 2: Setahun jagung
Seorang gadis cantik menaiki LRT menuju ke pejabatnya. Ketika di dalam perjalanan dia bertemu dengan seorang wanita yang juga cantik dan mereka pun berbual. 
Gadis : "Adakah puan telah berkahwin?"
Wanita : "Sudah."
Gadis : "Sudah ada anak?"
Wanita : "Saya sudah mempunyai seorang anak lelaki."
Gadis : "Wah, anak lelaki. Adakah dia merokok?"
Wanita : "Dia tidak merokok."
Gadis : "Adakah dia suka clubbing?"
Wanita : Tidak, dia hanya duduk di rumah. 
Gadis : "Dia sudah ada teman wanitakah?"
Wanita : "Tentu tidak ada."

Gadis itu mula tertarik dengan anak lelaki wanita itu. 
Gadis : "Susah untuk berjumpa lelaki seperti itu di zaman sekarang. Berapa usia anak puan?"
Wanita : "Oh, baru beberapa hari yang lepas dia menyambut ulang tahun kelahirannya yang pertama."
Gadis: "???!!!"

Kisah 3: Nenek oh nenek
Seorang cucu berkunjung ke rumah neneknya dan mereka berbual. 
Cucu : "Boleh nenek ceritakan mengenai zaman muda nenek?"
Nenek : "Ketika nenek masih muda dahulu, selalu ke pasar raya cuma membawa wang RM 1 dan sudah dapat susu, gula dan mee segera. Memang menjimatkan pada waktu itu."
Cucu : "Wah, memang murah. Kalau sekarang bagaimana nenek?"
Nenek : "Kalau sekarang susah kerana sudah banyak CCTV dipasang."
Cucu : "???"

Diolah kepada Bahasa Melayu Malaysia dari sumber www.malau.net

^_^

15 February 2014

Basikal Roda Empat

Assalamualaikum, 

Aku mula belajar menunggang basikal ketika berusia enam tahun. Ketika itu arwah ayah aku membelikan basikal roda empat bewarna merah. Memang aku berasa sangat teruja dan setiap hari pasti aku berlatih untuk menunggang basikal itu. 

Basikal Roda Empat
Basikal Roda Empat (Gambar hiasan) -  rideboldly.org
Akibat kenakalan aku, basikal itu aku buka semua bahagiannya menggunakan peralatan seperti screwdriver dan spanar milik ayah aku ketika ketiadaannya di rumah. Akhirnya setelah dibuka semuanya, aku tidak berjaya memasangnya semula. 

Mujurlah arwah ayah aku tidak memarahi aku dan dia yang tolong memasangnya semula. Kemudiannya aku sengaja menanggalkan dua roda kecil di tayar belakang basikal itu. Seronok betul aku mengayuh basikal beroda dua. 

Ketika mengayuh basikal di luar rumah yang bersimen, tiba-tiba aku terjatuh. Lutut kanan aku cedera dan terpaksa dijahit. Walaupun sudah cedera aku tidak serik untuk menunggang basikal sehingga kini. Sebelum ini pernah ditulis mengenai sihat dengan berbasikal

^_^

14 February 2014

Kembara Kehidupan Manusia

Assalamualaikum, 

Kehidupan manusia umpama sebuah kembara yang panjang dan penuh dengan pelbagai ujian serta rintangan yang perlu ditempuhi. Bermula dari pertama kali diciptakan, manusia terus mengembara dari satu alam ke alam yang lain.

Kembara Kehidupan Manusia
Kembara Kehidupan Manusia (Gambar hiasan) - senyumsyukur.wordpress.com
Sebelum ini telah dibincangkan mengenai orang yang dicintai oleh Allah SWT. Ringkasan kembara kehidupan manusia adalah seperti berikut: 

1. Alam Roh
Alam ini adalah permulaan bagi kembara kehidupan manusia. Ketika berada di alam ini manusia sangat rapat Allah SWT dan mengakui keesaan-Nya. Manusia mengatakan kesanggupannya untuk memikul amanah sebagai khalifah di bumi.

Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya kerana bimbang tidak dapat menyempurnakannya(kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah al-Ahzab 33: 72).

2. Alam Rahim
Ketika di alam ini manusia akan tinggal di dalam perut seorang wanita (ibu) selama lebih kurang 9 bulan 10 hari. Di sini janin selamat dilindungi sehingga menjadi seorang bayi. Alam ini bermula dengan setitis air mani yang bercantum menjadi segumpal darah.

Seterusnya menjadi seketul daging yang kemudiannya menjadi tulang dan dibungkus dengan kulit. Akhirnya terbentuklah seorang bayi yang lengkap dengan sifatnya. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifatnya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta." (Surah al-Mukminun 23:12-14)
Ketika di alam rahim, beberapa perkara seperti rezeki, kematian, amalan serta nasibnya sama ada baik atau buruk ditentukan oleh Allah SWT. Pada ketika ini juga jasad bayi dilengkapi pancaindera (pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan lain-lain).

3. Alam Dunia
Manusia lahir ke alam dunia dengan diiringi oleh tangisan. Ketika berada di alam dunia seharusnya manusia mengumpul sebanyak mungkin bekalan amalan. Kehidupan di alam dunia menjadi penentu sama ada manusia itu bahagia atau derita selama-lamanya.

Di alam dunia, bermulalah ujian hidup diberikan kepada manusia. Seperti firman Allah yang bermaksud:
“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan manzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk 67:2)

4. Alam Barzakh (Alam Kubur)
Setiap manusia yang hidup pasti akan melalui proses kematian. Mati adalah proses manusia berpindah dari alam dunia ke alam barzakh (alam kubur). Alam barzakh (ertinya pemisah) ialah sempadan antara alam dunia dan alam akhirat.

Alam barzakh menjadi petunjuk sama ada kembara seterusnya berjalan dengan baik atau sebaliknya. Soal siasat mengenai perlakuan serta amalan seorang manusia di alam dunia akan dilakukan oleh dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir. 

5. Alam Mahsyar
Dengan hanya dua tiupan sangkakala oleh malaikat Israfil, bumi dilipatkan semula dengan sistem aturannya diterbalikkan serta berlakulah letupan yang kuat. Tiupan sangkakala kali pertama untuk mematikan semua manusia yang hidup ketika itu.

Tiupan sangkakala kali kedua untuk menghidupkan semula semua manusia. Manusia dibangkitkan semula dari alam kubur menuju ke Mahsyar. Pelbagai rupa dan cara manusia ke Mahsyar ditentukan oleh amalan masing-masing. 

Manusia akan diadili dengan seadilnya dengan bersaksikan anggota badan mereka sendiri. Setiap amalan atau dosa tidak dapat disembunyikan lagi dan akan dihitung satu persatu dengan adil. Allah SWT Maha Adil dalam menentukan hukuman.

6. Alam Syurga atau Neraka
Kembara terakhir kehidupan seorang manusia pasti akan berakhir sama ada ke alam syurga atau neraka. Penentuan sama ada manusia itu masuk ke syurga atau neraka adalah bergantung kepada catatan amal mereka.

Manusia yang berjaya akan masuk ke syurga manakala manusia yang gagal akan masuk ke neraka. Kehidupan di alam itu adalah kekal buat selama-lamanya dan tiada lagi peluang untuk memulakan kembali kembara yang baharu.

Oleh itu, bersedialah menempuhi kembara panjang ini dengan persiapan amalan selengkapnya. Masih belum terlewat untuk kita memperbaiki diri. Semoga hasil kerja kuat kita di alam dunia akan membuahkan hasil untuk dituai ketika berakhirnya kembara kita nanti.

Diolah dari sumber: http://genta-rasa.com/2009/06/30/celik-mata-hati-2-takah-hidup-insan/ (Ustaz Pahrol Mohamad Juoi)
Sumber petikan ayat al-Quran : Quran Reciter v5.4 oleh PPZ

^_^

13 February 2014

Apabila Kurang Tidur

Assalamualaikum,

Tidur yang mencukupi adalah keperluan kepada setiap manusia yang normal. Lazimnya seorang manusia memerlukan waktu tidur antara enam hingga lapan jam pada setiap hari. Apabila kurang tidur pastinya akan memberikan kesan negatif terhadap badan kita.

Apabila Kurang Tidur
Apabila Kurang Tidur (Gambar hiasan) - bhmpics.com
Sebelum ini telah dibincangkan mengenai cara stabilkan emosi. Masalah sukar tidur (insomnia) ini berlaku tidak mengira usia. Beberapa kesan akibat kurang tidur adalah seperti berikut:

1. Sakit kepala
Apabila kurang tidur kita akan mudah sakit kepala dan menjadi marah walaupun terdapat masalah yang kecil. Jika ianya tidak dikawal, tekanan darah akan naik dan menyebabkan penyakit tekanan darah tinggi

2. Kenaikan berat badan 
Ketika tidur kalori di dalam badan kita juga akan dibakar. Orang yang berjaga malam lebih cenderung menjadi gemuk akibat pengambilan pelbagai snek yang tidak menyihatkan seperti keropok dan gula-gula.

3. Sistem pertahanan badan (imun) lemah
Jika kurang tidur, sel darah putih di dalam badan akan berkurangan yang seterusnya menyebabkan sistem pertahanan badan menjadi lemah. Pada waktu ini badan akan mudah mendapat penyakit seperti demam.  

4. Kurang tumpuan 
Sekiranya tidak cukup tidur, badan kita kekurangan rehat dan otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Keadaan ini akan menyebabkan tumpuan dan daya ingatan kita akan terganggu. 

5. Kelihatan lebih berusia 
Tidak cukup tidur menyebabkan mata menjadi lebam dan wujudnya lingkaran hitam di bawah mata. Lama-kelamaan akan wujud kedutan serta garis halus di wajah dan menyebabkan wajah kelihatan lebih berusia.

Oleh itu, dapatkan tidur yang cukup pada setiap hari bagi mengekalkan kesihatan badan yang baik. Insya-Allah dalam entri yang akan datang akan dibincangkan mengenai cara untuk mendapatkan tidur yang berkualiti

^_^

12 February 2014

Kerana RM1.00

Assalamualaikum, 

Kisah benar ini diceritakan semula oleh anak saudaraku ketika dia bekerja di sebuah pasar raya. "Tadi ada seorang pelanggan terlebih membayar RM 1.00. Aku ambil sahaja." rakan sekerjanya yang bekerja sebagai juruwang bercerita. 

Kerana RM1.00
Kerana RM1.00 (Gambar hiasan) - activistpost.com
"Tak elok kau ambil duit tu. Sepatutnya kau pulangkan semula duit itu atau asingkan sahaja." anak saudaraku menasihati rakannya. "Rezeki jangan ditolak. Lagi pun RM1.00 aje pun." rakannya membalas sambil tersenyum. 

Malam itu sebelum tamat waktu kerja seperti biasa mereka berkemas dan mengira jumlah pendapatan pada hari itu. Alangkah terkejutnya apabila didapati sejumlah wang RM100.00 telah terkurang di kaunter juruwang rakannya. 

"Menyesal aku ambil duit RM1.00 itu tadi. Mungkin ini pembalasan untuk aku." luah rakannya dengan wajah yang sugul. "Masih belum terlewat untuk kau pulangkan semula duit RM1.00 itu." balas anak saudaraku bersahaja. 

Semoga kisah ini dapatlah dijadikan teladan untuk kita memperbaiki diri agar menjadi lebih baik. Jujurlah di dalam melaksanakan tugasan atau kerja yang telah diamanahkan kepada kita. Sebelum ini pernah diceritakan mengenai kisah 10 cucuk sate

^_^

11 February 2014

Lamanya Tak Dapat Berblog

Assalamualaikum, 

Ini adalah entri pertama aku untuk bulan Februari 2014. Lebih dari dua minggu blog ini dibiarkan sepi. Pada asalnya netbook yang aku gunakan untuk berblog mengalami kerosakan. Aku telah menghantar untuk dibaiki dan Alhamdulillah hari ini sudah boleh digunakan. 

Blogging
thesaleslion.com
Mohon maaf kepada rakan-rakan blogger kerana aku tidak dapat berkunjung ke blog anda. Terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan blogger yang sudi singgah di blog ini walaupun tuan punya blog tidak dapat online

Sebenarnya aku ada juga terfikir untuk berblog menggunakan smartphone. Namun apakan daya kerana aku tidak memiliki smartphone sendiri. Hendak meminjam yang adik aku punya susah pula. Jadi langkah terbaik aku mendiamkan diri sahaja. 

p.s: Insya-Allah bermula hari ini aku akan berkunjung ke blog anda. 

^_^