31 October 2013

Semalam yang Penat

Assalamualaikum, 

Pagi semalam aku telah membuat temujanji di Perodua Bandar Tun Razak. Kereta aku berasa tidak selesa ketika dipandu. Ketika tekan pedal minyak seperti ada bunyi pelik. Mekanik melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kereta aku.

Semalam yang Penat

Setakat ini aku sangat berpuas hati dan selesa dengan layanan kakitangan di pusat servis ini. Hampir 2 jam kereta aku diperiksa, rupa-rupanya hanya terdapat skru longgar. Selepas diperbetulkan Alhamdulillah masalah selesai dan hanya perlu membayar RM18.00. 

Kemudian kami bergegas ke hospital Putrajaya disebabkan mak aku ada temujanji dengan doktor pada jam 3.00 petang. Selepas habis berjumpa doktor pada pukul 4.00 petang, aku terus memandu untuk pergi mengambil adik aku balik kerja di Kuala Lumpur.

Ketika hendak keluar dari Putrajaya tiba-tiba berlaku kesesakan lalulintas yang luar biasa. Aku membuka radio dan ada info trafik mengatakan rupa-rupanya ada treler terbalik di depan UNITEN menyebabkan kesesakan hampir 5 km.

Masa tengah sesak tu macam-macam jenis lagak pemandu yang aku tengok. Semestinya ramai yang pentingkan diri masing-masing. Alhamdulillah hampir jam 5.30 barulah aku berjaya keluar dari kesesakan itu dan terus mengambil exit ke Kuala Kumpur. 

 ^_^

30 October 2013

Cepat Rasa Lapar

Assalamualaikum, 

Pernahkah anda masih berasa lapar walaupun selepas makan makanan berat? Cepat rasa lapar bukanlah sesuatu yang menggembirakan bagi individu yang sedang menurunkan berat badan. Tentu perkara ini amat mengganggu emosi. 

Cepat Rasa Lapar
Cepat Rasa Lapar (Gambar hiasan) - Google
Sebelum ini telah dibincangkan mengenai tenaga segera ketika lapar. Beberapa faktor menyebabkan cepat rasa lapar adalah seperti berikut:

1. Kerap makan makanan segera 
Kandungan Monosodium Glutamate (MSG) di dalam makanan segera tentunya mampu membuatkannya berasa sedap. Sehingga satu tahap anda akan berasa ketagih dengan makanan itu dan akan makan dalam kuantiti yang banyak bagi mengatasi ketagihan.

2. Elak mengambil sarapan pagi
Ada orang yang menyangka jika tidak mengambil sarapan pagi mampu untuk mengurangkan kalori seharian. Seeloknya ambil sarapan pagi secukupnya untuk mengalas perut anda agar tidak mudah berasa lapar sebelum waktu makan tengahari. 

3. Tidak makan buah-buahan dan sayur-sayuran
Kandungan serat dan pelbagai vitamin semulajadi di dalam buah serta sayur mampu untuk membuatkan kita berasa kenyang dalam tempoh masa yang lama. 

4. Kurang minum air kosong
Badan kita memerlukan air yang mencukupi untuk melancarkan proses pencernaan serta sistem badan yang lain. Pastikan minum 8 gelas air atau lebih pada setiap hari kerana jika badan kekurangan air pasti kita akan berasa cepat lapar. 

5. Tekanan perasaan
Tekanan perasaan tentunya dapat meningkatkan penggunaan tenaga kimia oleh otak anda. Situasi ini akan menyebabkan perut cepat berasa lapar. Cubalah kawal perasaan anda agar ianya sentiasa positif dan gembira selalu. 

6. Berasa bosan
Bosan kerana tiada kerja untuk dilakukan boleh membuatkan berasa cepat lapar. Apa kata sibukkan diri anda dengan hobi yang disukai seperti membaca novel atau keluar berjalan kaki menghirup udara segar di luar rumah (jika hobi memasak, masaklah makanan yang menyihatkan). 

7. Cuaca sejuk
Selalunya jika di persekitaran tempat kerja atau rumah terlalu sejuk (pendingin udara), cubalah lakukan pergerakan ringkas untuk memanaskan badan anda. Minum secawan teh suam tanpa gula pasti membuatkan anda berasa tidak lapar. 

Oleh itu, hanya kita yang dapat mengawal diri kita agar tidak cepat berasa lapar. Gembirakan hati dan berfikiran positif selalu. Pastikan badan mendapat nutrien mencukupi berdasarkan piramid makanan. Seeloknya masak sendiri makanan di rumah dengan mengelakkan penggunaan MSG. 

^_^

29 October 2013

Lebih Mudah Menyayangi Kucing

Assalamualaikum, 

Menyayangi kucing sebenarnya lebih mudah jika dibandingkan dengan manusia. Kerana manusia banyak kerenah yang perlu dilayan. Sehingga kadangkala susah untuk memuaskan hati manusia yang penuh dengan emosi dan perasaan. 

Lebih Mudah Menyayangi Kucing
Lebih Mudah Menyayangi Kucing (Gambar hiasan) - Facebook
Jika anda memelihara seekor kucing, cuba perhatikan perkara-perkara berikut:

1. Kucing suka buat hal dia sendiri
Kucing akan datang kepada anda apabila dia lapar dan minta dibelai. Setelah itu dia akan buat hal sendiri dan tidak akan mengganggu anda lagi. Berbanding manusia yang suka membuatkan anda rimas dengan pelbagai permintaan yang bukan-bukan. 

2. Kucing tidak berdendam dan tidak ego
Jika anda tiba-tiba terpijak ekor kucing kesayangan anda, dia akan melupakannya selepas itu tanpa rasa dendam. Tapi jika anda menyakitkan hati manusia pasti dia akan ingat seumur hidup.

3. Kucing tidak obses terhadap penampilan diri
Kucing tak pernah kisah pun badan berat badan pasangannya bertambah. Jika manusia terlalu obses kepada penampilan hinggakan ada yang memilih untuk mencari pasangan yang kurus dan cantik sedangkan diri sendiri tidak cantik atau kacak pun. 

4. Kucing bebas untuk dipeluk dan dicium
Anda bebas untuk memeluk, mencium dan tidur dengan kucing anda tanpa diserbu oleh JAIS. Dengan manusia pasti ada batasannya jika anda belum berkahwin. 

5. Kucing meninggalkan anda tanpa banyak drama
Selalunya kucing akan menghilang begitu sahaja, yang tinggal hanya memori indah bersamanya. Dengan manusia pasti akan ada adagen pergaduhan atau pujuk rayu yang tentunya akan membazirkan air mata.  

Semoga tiada yang salah anggap maksud entri ini, bukanlah bermaksud kucing (binatang) lebih baik dari manusia. Sebagai manusia sayangilah orang yang anda sayang tanpa syarat dan singkirkan sikap ego serta dendam.  

^_^

28 October 2013

Spesis Penyu di Malaysia

Assalamualaikum, 

Penyu adalah haiwan reptilia yang wujud sejak 100 juta tahun lalu. Íanya merupakan haiwan marin yang bersisik, bernafas melalui paru-paru, suhu badan yang sama dengan suhu persekitaran dan bertelur. Ia mengambil masa 20 hingga 50 tahun untuk matang. 

4 spesis penyu yang utama di Malaysia adalah seperti berikut:

1. Penyu Belimbing (Leatherback Turtle)
Spesis Penyu di Malaysia
Spesis Penyu di Malaysia (Penyu Belimbing) - Google
  • Penyu Belimbing adalah spesis penyu terbesar di dunia.
  • Ia bercengkerang lembut (tujuh jalur memanjang dari bahagian kepala hingga ke ekor seperti buah belimbing) dan warna badannya kehitaman serta bertompok putih. 
  • Ia boleh membesar sehingga 2 meter panjang dengan berat badan 600 kg. 
  • Ia menghabiskan hampir keseluruhan hayatnya di laut lepas dan berkebolehan menyelam sedalam 400m hingga 1,200m. 
  • Bahagian atas mulutnya melengkung bagi memudahkannya menangkap obor-obor yang merupakan makanan utamanya. 
  • Musim bertelurnya dari Mac hingga Ogos (menghasilkan 60 – 120 biji sekali bertelur). 
  • Lokasi utama penyu ini naik untuk bertelur adalah di Rantau Abang dan Paka, Terengganu. 

2. Penyu Agar (Green Turtle)
Spesis Penyu di Malaysia
Spesis Penyu di Malaysia (Penyu Agar) - Google
  • Penyu Agar juga dikenali sebagai 'penyu hijau'. Warna cengkerangnya adalah coklat tua atau kehitaman. 
  • Ia boleh membesar sehingga 1m dengan berat badannya di antara 135 – 270 kg. 
  • Makanan utamanya adalah rumpai laut dan rumpair. 
  • Musim bertelurnya adalah di antara April hingga September (menghasilkan 100 – 140 biji sekali bertelur).
  • Penyu ini mendarat di pantai Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. 

3. Penyu Karah/Sisik (Hawksbill Turtle)
Spesis Penyu di Malaysia
Spesis Penyu di Malaysia (Penyu Karah/Sisik) - Google
  • Penyu Karah mempunyai cengkerang keras yang kelihatan seperti sisik-sisik bertindih. 
  • Warna badannya adalah coklat, bersaiz sederhana dan boleh membesar sehingga 70 – 90 cm dengan berat badannya di antara 35 – 75 kg. 
  • Bentuk paruh mulutnya yang menyerupai paruh helang. 
  • Makanan utamanya adalah span dan karangan lembut yang terdapat di kawasan terumbu karang. 
  • Spesis penyu ini kebanyakannnya terdapat di kawasan terumbu karang. 
  • Musim bertelurnya dari Mac hingga Jun (menghasilkan 130 biji sekali bertelur). 
  • Lokasi ia mendarat di pantai Terengganu, Pahang, Melaka , Johor, Sabah dan Sarawak. 

4. Penyu Lipas (Olive Ridley Turtle)
Spesis Penyu di Malaysia
Spesis Penyu di Malaysia (Penyu Lipas) - Google
  • Penyu lipas adalah penyu yang terkecil di antara 4 spesis penyu yang terdapat di Malaysia. 
  • Ianya boleh membesar sehingga 6.0 – 6.5 cm dengan berat di antara 35 – 50 kg. 
  • Warna badannya adalah gelap atau coklat buah zaitun dan bahagian bawahnya berwarna putih. 
  • Makanan utamanya adalah udang, obor-obor, ketam dan siput. 
  • Musim bertelurnya dari Mac hingga Jun (menghasilkan 100 biji sekali bertelur). 
  • Penyu ini selalu mendarat di pantai Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu. 
Nota: Kini ke empat-empat spesies penyu ini adalah sedang terancam dan besar kemungkinan akan mengalami kepupusan. Oleh itu, bersama-samalah kita berusaha untuk memuliharanya agar terus dapat dilihat oleh generasi akan datang.
Sumber maklumat: Jabatan Perikanan MalaysiaSumber gambar: Google

^_^

27 October 2013

Renew Roadtax Kereta Viva

Assalamualaikum,

Pada 25 Oktober 2013 genaplah usia kereta Viva Forever aku 4 tahun. Itulah saja kereta yang mampu aku miliki. Bersyukur kerana sudah banyak jasa dia kepada aku sepanjang aku nomad (berpindah-randah) Putrajaya-Seri Kembangan-Semenyih-Cheras.

Renew Roadtax Kereta
Renew Roadtax Kereta
Sudah 3 tahun aku mengambil Insurans Takaful untuk kereta aku. Tahun ini jumlah yang perlu dibayar sebanyak RM710.00. Sudah banyak kali kereta aku dilanggar secara tidak sedar dan sedar. Hendak claim insurans rasa rugi pula jika NCD* semakin berkurang.

Sepanjang 4 tahun ini sudah beberapa kali aku tukar tayar. Dulu kereta aku dipandu untuk perjalanan jauh ke tempat kerja aku di Putrajaya dan kini adik aku pula berulang-alik ke Kuala Lumpur. Aku juga telah menukar bateri dan timing belt

Benarlah, membeli kereta juga perlu mengambil kira komitmen lain seperti servis, kos penyelenggaraan dan insurans. Bukan setakat membayar bulanan dan minyak kereta saja. Bagi aku kini kereta sudah menjadi satu keperluan untuk setiap keluarga.

Punca aku membeli kereta dulu kerana sering pulang lewat dari kerja, jika menaiki bas tidak selesa apabila dikelilingi oleh lelaki warga asing. Lagi pun aku mengambil kira keselesaan mak aku yang berulang ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 
*NCD = Non Claim Discount. Sekiranya tidak berlaku tuntutan sepanjang tempoh perlindungan, NCD akan meningkat. Untuk tahun pertama 25%, seterusnya 30%, kemudian 38.33%, 45% dan seterusnya 55%.
^_^

26 October 2013

Berhenti Merokok?

Assalamualaikum, 

Kenapa mesti berhenti merokok? Rakan lelaki aku ketika kerja dulu seorang perokok tegar pernah berkata, "Aku merokok sebab nak menghalau nyamuk yang nak gigit aku." Memang lucu mendengar alasannya itu.

Sebelum ini aku ada menceritakan kisah perokok di tempat dilarang merokok. Memang sukar untuk berhenti merokok. Namun, tahukah anda kandungan yang terdapat di dalam sebatang rokok?

Berhenti Merokok - Google
Kesan beberapa bahan kimia di dalam rokok terhadap badan anda adalah seperti berikut:
  • Nikotin - meningkatkan denyutan nadi dan membuatkan jantung bekerja lebih kuat.
  • Karbon monoksida - mengurangkan bekalan oksigen ke jantung.
  • Tar - menyumbat paru-paru (bahan penyebab kanser).
  • Fenol - melumpuh dan memusnahkan lapisan saluran udara yang berbulu.
Sanggupkah anda terus meracuni tubuh badan anda dengan semua bahan kimia seperti di atas? Oleh itu anda wajib berhenti merokok buat selama-lamanya demi kesihatan anda dan kesejahteraan orang yang anda sayangi.


^_^

25 October 2013

20 sen

Assalamualaikum,

Kata mak aku, dengan duit 20 sen pada tahun 1960-an mampu membeli 4-5 ekor ikan kembung segar. Perbelanjaan anak-anak ke sekolah juga hanya sebanyak 20-30 sen sehari. Betapa besarnya nilai 20 sen pada zaman itu.

20 sen
20 sen
Zaman kian berubah, duit 20 sen kini hanya dipijak dan disepak jika terjatuh di tengah jalan. Pemiliknya seolah-olah berasa malu untuk memungutnya. Perbelanjaan sekolah anak-anak diberi RM 3.00-5.00 sehari. Adakah kerana kita semakin kaya? 

Tidak dinafikan di zaman kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang tinggi pastinya tiada barangan yang boleh dibeli dengan nilai 20 sen (kecuali 1-2 biji gula-gula). Namun cuba bayangkan jika duit 20 sen dimasukkan ke dalam sebuah tabung.

Katakan sehari masukkan 20 sen sebanyak 3 kali sehari. Dalam masa setahun (365 hari) ia akan menjadi RM219.00. Dengan nilai ini anda sudah boleh membeli makanan segera seperti KFC atau McD set keluarga. 
Nota: Usah memandang rendah terhadap nilai 20 sen. Bersyukurlah di atas rezeki kurniaan Allah SWT walaupun sedikit. Seperti kata pepatah, 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit'. 
^_^

24 October 2013

CPUV Nuffnang #18 dan 19

Assalamualaikum, 

Kebelakangan ini aku tengok pihak Nuffnang bermurah hati memberikan CPUV kepada ramai blogger. Blog aku saja yang jarang mendapat CPUV.

CPUV Nuffnang #18 dan 19

Alhamdulillah, CPUV ini dari Guess Watches Q4 dan INTI Rebranding Campaign. Terima kasih diucapkan kepada pihak Nuffnang kerana memberi. Terima kasih juga kepada semua rakan blogger serta pengunjung yang sudi singgah di blog ini. 


 ^_^

Dilarang Merokok

Assalamualaikum, 

Malam Jumaat minggu lepas anak saudara aku belanja kami sekeluarga makan di Sate Kajang Hj. Samuri. Sedang enak kami menjamu selera, tiba-tiba mak aku menegur, "Bau asap rokok." setahu aku di situ kawasan dilarang merokok

Dilarang Merokok
Dilarang Merokok (Gambar hiasan) - Google
Aku terpandang di belakang mak aku seorang pak cik sedang kusyuk menyedut dan menghembus asap rokok. Yang lucunya papan tanda 'No smoking' (dilarang merokok) terpampang betul-betul bersebelahan tempat duduk pak cik tu. 

Anak-anak pak cik tu buat tak kisah dengan sikap ayahnya. Mungkin mereka tidak sampai hati untuk menegur ayah mereka (orang tua ni sensitif sikit). "Pak cik, di sini tidak dibenarkan merokok." tiba-tiba tegur seorang pekerja di situ.

Terus anak-anak pak cik tu bangun dan mengajak ayah mereka keluar. Yang lucunya pak cik itu hanya menjeling kepada papan tanda dilarang merokok itu dengan muka yang tidak puas hati. Aku dan keluarga aku hanya memerhatikan gelagat mereka. 

^_^

23 October 2013

Wordless Wednesday # 20 - Teamwork

Assalamualaikum,

Wordless Wednesday # 20 - Teamwork

Sumber gambar : Facebook


 ^_^

Fobia

Assalamualaikum,

Setiap orang pasti pernah merasa fobia. Kejadian ini berlaku ketika aku menyewa di rumah flat di Seri Kembangan, Selangor pada akhir tahun 2010. Majoriti rumah di situ didiami oleh warga asing. Setiap hari aku akan pulang kerja lewat petang atau menjelang malam. 

Fobia
Fobia (Gambar hiasan) - Google
Hari itu aku sampai di bawah rumah hampir jam 8.00 malam. Seperti biasa selepas meletak kereta dan lock apa yang patut aku berjalan menuju ke arah tangga. Tiba-tiba muncul seorang lelaki warga asing menyekat perjalananku.

"Baru balik kerja ke? Jom saya belanja kamu minum." sapa lelaki itu sambil tangannya seperti mahu menyentuh aku. Spontan aku menepis dan berlari menuju ke kedai runcit yang terletak lebih kurang 100 meter dari situ (dah la aku pakai baju kurung). 

Lelaki itu terus mengejar aku dan berhenti di luar kedai (mungkin dia takut nak masuk kerana ada tuan kedai). Hampir 5 minit aku berada di situ dan aku terus menelefon adik aku. Mak dan adik aku turun dari rumah dan mengiringi aku naik. 

Pada bulan itu aku terpaksa menyiapkan kerja pejabat di rumah sebab kena balik awal. Sejak kejadian itu, kami sekeluarga berpindah ke rumah kakak aku di Semenyih pada awal tahun 2011. Syukurlah tiada kejadian buruk berlaku, namun tragedi itu membuatkan aku fobia
Nota: Pesanan kepada semua wanita, berhati-hatilah selalu walau di mana anda berada. Janganlah sampai jadi fobia macam aku pula. 
 ^_^

22 October 2013

Rumah Pokok

Assalamualaikum,

Bila sebut rumah pokok terus aku teringat cerita 'George in the Jungle' (Tarzan). Walaupun ianya bukanlah rumah idamanku, namun aku berasa kagum dengan manusia yang membina rumah berkenaan. Sebelum ini aku membuat entri Rumah di Bawah Air

Rumah Pokok
Rumah Pokok
Rumah Pokok
Rumah Pokok - Ruang tamu
Rumah Pokok
Rumah Pokok - Ruang bersantai
Rumah Pokok
Rumah Pokok - Ruang dapur
Rumah Pokok
Rumah Pokok - Bilik tidur
Membina rumah pokok mempunyai pelbagai risiko seperti kejadian ribut dan petir yang semestinya membahayakan keselamatan. Agaknya di zaman moden ini adakah lagi yang berminat untuk membina rumah pokok

Sumber gambar: 1, 2, 3, 4

 ^_^

Kunci Ketenangan Hati

Assalamualaikum,

Ketenangan hati adalah sesuatu yang subjektif. Ada orang hanya berasa tenang apabila persekitarannya membahagiakan. Namun ada juga orang yang tetap berasa tenang walaupun hidup dihimpit dengan pelbagai masalah. 

Kunci Ketenangan Hati
Kunci Ketenangan Hati (Gambar hiasan) - Google
Berikut beberapa kunci ketenangan hati:

1. Mendekatkan diri dengan Allah SWT
Dari Allah SWT kita datang dan kepada-Nya juga kita kembali. Lakukan suruhan-Nya dan jauhi larangan-Nya. Perbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir untuk ketenangan hati. 

2. Berfikiran positif
Benarlah kata-kata, kita adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita berburuk sangka dan berfikiran negatif, pasti hati kita menjadi tidak tenang.

3. Ikhlas dan berbaik sangka
Ikhlaskan hati untuk menerima ketentuan dari Allah SWT (qadak dan qadar). Berbaik sangka terhadap Allah SWT dan anggaplah setiap yang berlaku pasti ada hikmah-Nya. 

4. Bertenang
Sikap terburu-buru akan membuatkan hati berasa tidak tenang. Rancang jadual kehidupan seharian (melakukan pelbagai aktiviti) agar ianya teratur. 

5. Jangan berdendam
Dendam adalah racun kepada ketenangan hati. Seeloknya maafkan kesalahan orang lain setiap kali sebelum tidur. 

6. Jangan menyesal
Setiap manusia tidak lepas dari melakukan kesilapan di masa lalu. Jadikan ia sebagai pengajaran yang akan mematangkan diri.  

7. Bersyukur
Bersyukurlah di atas kurniaan Allah SWT walaupun sedikit. Terima kelebihan dan kekurangan diri kita dengan seadanya. Insya-Allah hati akan tenang. 

Oleh itu, kunci ketenangan hati terletak di tangan kita. Hanya kita yang mampu mengubah diri kita sama ada menjadi lebih baik atau sebaliknya. Setiap hari selalu berusaha dan berdoalah kepada Allah SWT agar hati kita sentiasa tenang. 

^_^

21 October 2013

Key Chain Giveaway by Ikhwan Yusuff

Assalamualaikum,

Klik banner di atas jika nak join juga

 ^_^

Segmen 12 Jam Bloglist #5 Mialiana.com

Assalamualaikum,

Segmen 12 Jam Bloglist #5 Mialiana.com

Pencarian bloglist bagi bulan November dan Disember 2013 di Mialiana.com bermula pada hari ini, 21 Oktober 2013, iaitu tepat jam 11.30 pagi sehingga 11.30 malam nanti. Semua dijemput join.

Syarat-syaratnya :
  1. Follow blog Mialiana.com, Add To Circle Google+ Mia Liana dan Like Fanpage Mialiana.com
  2. Buat entri bertajuk Segmen 12 Jam Bloglist #5 Mialiana.com
  3. Copy coding yang telah disediakan dan paste kan ke dalam ruangan HTML dan Publish entri.
  4. Tinggalkan URL entri anda ke dalam ruangan komen INI
Senang dan mudah bukan?

15 blog yang bertuah akan dipilih oleh random.org dan kepada yang terpilih nanti diminta agar memasukkan blog Mialiana.com ke dalam bloglist mereka juga.

tunggu apa lagi... jom support Mia Liana ya...

^_^

Pemandu Teksi 3 dalam 1

Assalamualaikum, 

Pada hari Ahad yang lepas aku dan keluarga aku singgah di Mydin Putrajaya untuk membelanjakan voucher bernilai RM25.00 yang akan tamat tempoh pada minggu depan (kalau tak guna rugi pula).

Pemandu Teksi 3 dalam 1
Pemandu Teksi 3 dalam 1
Kemudian kami berkelah di Taman Tasik Empangan (bertentangan PICC, Putrajaya). Ketika berehat di pondok tepi tasik, sebuah teksi berhenti betul-betul bertentangan dengan tempat kami duduk bersantai (dia meletak kereta di tepi jalan).

Kelihatan sepasang suami isteri berbangsa asing (aku tak pasti bangsa apa, mungkin Arab) bersama dua orang anak yang masih kecil keluar dari teksi itu. Pemandu teksi juga turut keluar mengiringi keluarga berkenaan.

Rupa-rupanya dia menolong pelancong itu mengambil gambar. Tiba-tiba aku terfikir, pemandu teksi zaman kini 3 dalam 1. Merekalah pemandu teksi, pemandu pelancong dan juga jurugambar. Memang hebat boleh buat 3 dalam 1. 

 ^_^

20 October 2013

Menebus Rebat Touch 'n Go

Assalamualaikum, 

Sudahkah anda menebus rebat Touch 'n Go? Aku mula mendaftar kad Touch 'n Go ketika tinggal di rumah kakak aku di Semenyih (awal tahun 2011). Walaupun memiliki kad, aku lebih selesa membayar tol di lorong tunai untuk pergi dan balik kerja di Putrajaya (pergi balik 4 tol)

Menebus Rebat Touch 'n Go

Kini adik aku pula yang menggunakan kereta aku untuk berulang-alik ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur (pergi balik 4 tol) dan dia menggunakan sepenuhnya kad Touch 'n Go ini. Kad itu juga aku akan gunakan jika membawa mak rawatan doktor di Hospital Putrajaya. 

Menebus Rebat Touch 'n Go

Rupa-rupanya ada rebat tol sebanyak 20% jika menggunakan kad Touch 'n Go melebihi 80 kali pada setiap bulan. Tengahari tadi aku ke Pusat Touch 'n Go untuk menebus rebat berkenaan. Terkejut melihat amaun yang terkumpul sebanyak RM170.44. 

Cara untuk tebus rebat Touch 'n Go sangat mudah, hanya serahkan kad anda kepada staf yang bertugas di kaunter. Rebat Touch 'n Go akan dikreditkan terus ke dalam kad anda. Alhamdulillah walaupun nilainya tak seberapa aku tetap bersyukur.

 ^_^

Bikin Dialog Gambar Minah Ni Kalau Nak Topup RM30

Assalamualaikum,

Malam ini aku nak join segmen oleh blogger Shakira.
Boleh klik gambar comel di atas jika nak join juga
Tamat pada 25/10/2013 (9.00 pagi)

Dialog
"Dah pukul berapa tak sampai lagi ni?  Entah-entah rombongan meminang tersalah pergi meminang anak Mak Gayah. Terpaksa la aku kontrol ayu duduk bersimpuh sampai lenguh kaki ku ini. Huhu.. Nasib baik aku maintain cun.."

 ^_^

Kenapa Harus Curang?

Assalamualaikum,

Kenapa Harus Curang? Entri ini  aku tulis berdasarkan pemerhatian terhadap beberapa orang rakan dan saudara yang bermasalah dalam rumahtangga. Selalunya hubungan ketika mula berkahwin cukup indah dan penuh dengan kesetiaan. 

Kenapa Harus Curang
Kenapa Harus Curang (Gambar hiasan) - Google
Namun kita tidak menduga apa yang akan terjadi di kemudian hari. Kita selalu mengharapkan 'panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari'. Berikut mungkin beberapa faktor kenapa harus curang

1. Kurang kasih sayang dari pasangan
Kadangkala pasangan (suami atau isteri) tiada masa untuk bersama pasangannya. Seandainya seseorang yang lain memberikan perhatian serta mengambil berat terhadap dirinya mungkin dia akan jatuh cinta terhadap orang itu. 

2. Suka membandingkan pasangan dengan orang lain
Setiap hari akan berdepan dengan seseorang (lelaki atau wanita) yang mungkin jauh lebih cantik, kaya atau baik berbanding pasangan kita. Maka timbullah rasa tamak yang seterusnya menyebabkan kita mahukan yang lebih baik atau elok berbanding pasangan. 

3. Merasa bosan dengan pasangan
Terdapat sesetengah individu yang mudah berasa bosan terhadap pasangannya. Mungkin ada sifat pasangannya yang menjengkelkan seperti pemalas atau pengotor. Cara untuk mengatasi kebosanan itu adalah mencari pengganti yang baru yang dirasakan lebih sempurna.  

4. Tiada matlamat hidup yang sebenar
Selalunya orang sebegini tidak faham apakah yang mereka perlukan dalam hidup. Perkahwinan baginya hanya kerana mengikut trend dan memenuhi tuntutan nafsu, bukannya sebagai menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Jadi baginya tidak salah untuk berlaku curang.

Kepada anda yang berhasrat untuk berlaku curang terhadap pasangan (suami atau isteri), cari titik persefahaman antara anda dan pasangan. Binalah keluarga bahagia berlandaskan kepada ajaran al-Quran dan sunnah Rasullullah SAW. 
Nota: Renungilah mata anak-anak yang sedang membesar dan perlukan kasih sayang sempurna. Jangan terlalu mengikut perasaan dan nafsu kerana ianya boleh memusnahkan keharmonian keluarga anda. 
^_^

19 October 2013

Kek Mentega Pemanggang Ajaib

Assalamualaikum,

Kek ini aku buat malam tadi. Resipi kek menggunakan Pemanggang Ajaib ini sesuai kepada sesiapa yang tidak memiliki oven di rumah. Sekurang-kurangnya lepaslah kempunan untuk makan kek buatan sendiri.

Kek Mentega Pemanggang Ajaib
Kek Mentega Pemanggang Ajaib
Kek Mentega Pemanggang Ajaib
Bahan-bahan: 
125 gm mentega
100 gm gula pasir
125 gm tepung gandum
3 biji telur
1 sudu kecil esen vanila
½ sudu kecil serbuk penaik
½ sudu kecil soda bikarbonat

Cara memasak:
1. Pukul mentega bersama gula sehingga kembang
Kek Mentega Pemanggang Ajaib

 2. Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi.
Kek Mentega Pemanggang Ajaib

 3. Masukkan esen vanila,  serbuk penaik dan soda bikarbonat. 
Kek Mentega Pemanggang Ajaib

4. Masukkan tepung gandum dan gaul sehingga sebati. 
Kek Mentega Pemanggang Ajaib

 5. Griskan permukaan dalam Pemanggang Ajaib dengan sedikit mentega. Masukkan adunan ke dalam Pemanggang Ajaib. Tutup Pemanggang Ajaib dan bakar di atas api yang sederhana (balik-balikkan Pemanggang Ajaib) sehingga kek masak .
Kek Mentega Pemanggang Ajaib

Selamat mencuba..

Kerana Sebiji Pinang

Assalamualaikum, 

Jika di kampung aku satu masa dulu kenduri kahwin diadakan secara bergotong-royong. Urusan memasak, mengemas, menghias sehinggalah membasuh pinggan dilakukan bersama dengan bantuan sanak-saudara dan orang kampung.

Kerana Sebiji Pinang
Kerana Sebiji Pinang (Gambar hiasan) - commons.wikimedia.org
Tiba-tiba teringat cerita pensyarah aku mengenai kenakalan beliau ketika masih kanak-kanak dulu. Akibat kenakalannya, satu kampung menderita sakit perut serta cirit-birit. Caranya ambil beberapa biji buah pinang muda dan hiris halus.

Kemudian campurkan hirisan pinang muda itu bersama rendang daging yang sedang dimasak. Pada malam itu pengantin dan semua orang yang makan rendang itu cirit-birit. Niat beliau hanya sekadar suka-suka saja, bukanlah bermaksud untuk meracuni orang kampung. 

Sehingga beliau dewasa tiada seorang pun ahli keluarga dan orang kampung yang tahu rahsia itu. Beliau bercerita kepada aku dan pelajar-pelajar yang lain supaya kami semua mengambil ikhtibar dan tidak mengulangi kenakalannya. 
Nota: Nasihat beliau, jangan sesekali mencuba mengenakan orang lain. Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan. 
^_^

18 October 2013

Hanya kerana Secawan Kopi 'O'

Assalamualaikum, 

Ketika kecil dulu setiap pagi mak aku akan membancuh secawan kopi 'O' untuk arwah ayah. Sebenarnya aku lebih menggemari teh berbanding kopi. Sebabnya aku akan mengalami kesan pelik (rasa pening dan mengantuk) selepas minum kopi. 

Hanya kerana Secawan Kopi 'O'
Hanya kerana Secawan Kopi 'O' (Gambar hiasan) - Google
Rakan sekelas aku ketika sekolah berjaga malam untuk menelaah pelajaran hanya dengan minum kopi. Kepelikan itu aku sedari ketika aku juga mencuba minum kopi untuk berjaga malam dan ternyata rasa tersangat mengantuk. 

Sehinggalah ketika aku menyambung pelajaran di IPTA, rakan sebilik aku memberikan aku sepaket Nescafe 3 in 1. Selepas minum aku rasa mengantuk dan terus tertidur. Sejak itu aku memang akan mengelak untuk minum kopi. Adakah ada di antara anda juga mengalami kepelikan seperti aku? 

^_^

Hati Fleksibel

Assalamualaikum, 

Hati kita ibarat sebuah bekas seperti gelas. Apabila ia telah penuh, pasti tiada ruang untuk mengisi lagi. Seharusnya kita bertindak meregangkan dan tidak telengkupkan bekas itu agar ianya fleksibel dan boleh diisi lagi. 

Hati Fleksibel
Hati Fleksibel (Gambar hiasan) - Google
Belajarlah untuk meregangkan hati dengan melapangkan jiwa untuk menerima sesuatu yang baru. Usah telengkupkan bekas hati kita, lihat dan nilaikan sendiri dengan adil dan saksama apa yang akan diisi dalam hati. 

Pilihlah bahan yang berkualiti dan baik untuk diisi dalam bekas hati kita yang fleksibel ini. Regangkan dan lapangkan hati untuk menerima nasihat dan teguran yang baik. Anggaplah nasihat dan teguran itu untuk memperbaiki diri kita. 

Namun usah sempitkan hati untuk menerima perkara yang buruk. Kelapangan hati membolehkan kita seimbangkan antara kebaikan dan keburukan. Kita masih boleh berkawan dengan manusia yang bermasalah dan berusaha membawa mereka ke arah kebaikan. 

Rujukan: Buku Naiklah Bersama Kami Bahtera Menuju ke Syurga (2013), Irkam Ma'ana, PTS Millennia Sdn. Bhd. 

 ^_^

17 October 2013

Pink Umbrella Walk

Assalamualaikum, 

Maklumat mengenai program ini aku terima melalui emel. Sempena World Breast Cancer Awareness Month, Hospital Pantai Cheras akan menganjurkan “Pink Umbrella Walk”.

Pink Umbrella Walk
Tarikh : 19 Oktober 2013 (Sabtu)
Masa : 8.30 pagi – 1.00 petang
Tempat : Hospital Pantai Cheras – Cheras Leisure Mall
Tema: “SHIELD YOURSELF: Early Detection of Breast Cancer Saves Lives.”
Bayaran penyertaan RM20 per orang dan peserta akan diberikan payung pink. Kutipan duit akan disalurkan terus kepada pesakit kanser payudara. Program ini diharap dapat memupuk kesedaran mengenai pengesanan awal dapat mencegah kanser payudara.

Kepada anda yang tinggal berdekatan serta berkelapangan, jom memeriahkan program ini. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, boleh menghubungi talian 010-2578771 atau 03-9132 2022 ext. 8871/8872/8873 atau emel kepada enquiries@pcmc.com.my.

*Nota : Aku tak dapat pergi kerana ada urusan bersama keluarga di hujung minggu. 

^_^

Ada Polis di Hadapan

Assalamualaikum,

Kisah ini diceritakan semula oleh kawan aku Ain ketika dia dan dua orang kawan aku (Lisa dan Sya) menjalani latihan praktikal. Rumah sewa mereka terletak berhampiran dengan tempat praktikal (5 minit jalan kaki saja).

Ada Polis di Hadapan
Ada Polis di Hadapan (Gambar hiasan) - Google
Pada setiap minggu mereka akan ke pasar minggu (15 minit menaiki motosikal). Selalunya Ain akan meminjam motosikal jiran sebelah rumah mereka dan salah seorang sama ada Lisa atau Sya akan membonceng (hanya Ain yang memiliki lesen).

Tapi pada satu hari itu mereka bertiga menaiki motosikal pergi ke pasar malam (semua badan kurus). Ketika perjalanan pulang kelihatan kenderaan di hadapan mereka bergerak perlahan. "Ada road block ke di hadapan sana?" soal Ain.

Sepantas kilat Sya yang duduk di belakang sekali terjun dari motosikal kerana terkejut. Nasib baik motosikal dibawa perlahan, jika tidak pasti dia akan tercedera. Sya terpaksa berjalan kaki sejauh hampir 1km sebelum Ain dapat mengambilnya.
Moral: Ikutlah peraturan jalanraya yang telah ditetapkan. 
* Semua nama dalam kisah ini bukanlah nama sebenar.

^_^

16 October 2013

Kerana RM2.00

Assalamualaikum, 

Aku menggunakan simkad yang berasingan untuk broadband. Jadi tidak ramai yang tahu nombor ini. Dua hari lepas tiba-tiba ada mesej masuk di inbox broadband aku. Tertera mesej dari Celcom:
Anda telah menerima RM2 dari 0197******. Baki pd 13/10/2013 ialah RM4.42 dan sah sehingga 18/10/2013.
Kerana RM2.00
Kerana RM2.00 (Gambar hiasan) - Google
Memang sah seseorang telah tersalah hantar kredit ke nombor aku. Walaupun nilainya hanya RM2.00 saja, namun hatiku berasa resah. Aku memberanikan diri untuk menghantar mesej kepadanya:
Salam.. Saya ada terima rm2 dari nombor awak.. Awak tersalah share ke?
Niat aku ingin menggantikan kredit itu. Tiba-tiba dia call dan memohon maaf sebab tersalah share kredit ke nombor aku. Katanya tak perlulah aku gantikan kredit itu kerana hanya RM2.00 saja.

Barulah hatiku berasa tenang selepas dia menghalalkannya. Mak aku selalu berpesan, "Walaupun satu sen kita ambil hak orang tanpa keredhaannya, takut jika kita telah memakan rezeki yang haram." 

 ^_^

Wordless Wednesday # 19 - Depan Rumah

Assalamualaikum,

Wordless Wednesday # 19 - Depan Rumah

^_^

15 October 2013

Kata-kata Hikmah - Pengorbanan

Assalamualaikum,

"Kehidupan adalah satu bentuk perjuangan melawan hawa nafsu. Sesiapa yang mampu melawan hawa nafsu, maka Allah akan memberikannya kemenangan dan dipermudahkan segala urusan".

Pengorbanan

 ^_^

14 October 2013

Awas Toksin dalam Badan

Assalamualaikum,

Pernahkah tiba-tiba anda merasakan badan lemah? Ketahuilah mungkin ia disebabkan oleh peningkatan toksin di dalam badan. Selalunya toksin akan disingkirkan melalui hati, kulit, paru-paru, buah pinggang dan najis.

Awas Toksin dalam Badan
Awas Toksin dalam Badan (Gambar hiasan) - Google
Sumber utama toksin termasuklah bahan perisa makanan, sisa bahan pencemar pertanian dalam daging, tanaman, hasil tenusu, kehadiran logam berat dalam makanan laut seperti ikan serta kerang dan air minuman anda. 

Badan juga menghasilkan toksin secara semulajadi daripada proses metabolisme makanan. Bagaimanakah menyingkirkan sisa toksin? Anda boleh lakukan seperti berikut:

1. Berpuasa
Proses detoks toksin dari badan secara semulajadi yang tidak memerlukan kos. 

2. Bersenam
Senaman dapat menyingkirkan toksin melalui peluh. bersenamlah secara teratur sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dan 20 minit setiap sesi. 

3. Banyakkan pengambilan serat
Makan banyak sayur-sayuran, buah-buahan segar dan oat untuk proses penghadaman yang baik (aku suka makan brokoli). 

4. Gunakan air yang ditapis
Air paip mengandungi pelbagai bahan pencemar dan logam. Jadi gunakan air yang ditapis untuk memasak dan minum. Kini terdapat pelbagai jenama penapis air yang boleh didapati di pasaran. 

5. Kurangkan pengambila kafein, alkohol dan rokok
Hadkan pengambilan kafein seharian anda. Seeloknya berhenti merokok untuk kesihatan yang lebih baik. 

6. Kurangkan bahan pewarna dan perisa
Gunakan bahan semulajadi untuk memasak dengan mengurangkan perisa seperti gula, garam dan MSG (kalau nak masak tomyam aku tak gunkan pes segera, selalunya guna tomato je untuk dapatkan rasa masam). 

Selamat mencuba.. 

 ^_^

Bekorban Atau Tekorban?

Assalamualaikum, 

Pengorbanan merupakan usaha secara bersungguh-sungguh untuk mencapai sebuah impian. Pelbagai bentuk pengorbanan dalam kehidupan kita seperti bekorban demi kebahagiaan keluarga, kesejahteraan negara, demi cinta suci dan demi persahabatan.

Bekorban Atau Tekorban
Bekorban Atau Tekorban (Gambar hiasan) - Google
Realiti kehidupan, adakalanya ada yang akan tekorban di dalam memburu impian. Kerana pengorbanan itu hanya bermatlamatkan keseronokan dunia. Pengorbanan ini adalah merugikan dan akan membawa kita ke neraka Allah SWT.

Di dalam aspek mencintai sesama manusia, ada yang sanggup korbankan diri menjadi hamba cinta. Demi cinta maruah tergadai dan hati sanggup dilukai. Sepatutnya kita mengeksploitsi cinta, bukannya dieksploitasi oleh cinta. 

Oleh itu, seharusnya pengorbanan kita di dalam mendapatkan cinta sejati Allah SWT adalah dengan cara melakukan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya secara istiqamah. Mungkin sukar pada mulanya, namun pasti akan merasai kemanisannya di akhirnya.
Nota: Sandarkan pengorbanan mencapai impian dengan niat semata-mata untuk mendapatkan keredhaan dari Allah SWT. 

^_^

13 October 2013

Menjelang Aidiladha

Assalamualaikum, 

Mesti semua rakan-rakan blogger yang bekerja di bandar telah pulang ke kampung masing-masing. Aku dan keluarga tidak pulang ke kampung Aidiladha tahun ini. Sebenarnya dah lama aku tidak pulang ke kampung (kali terakhir balik ketika opah aku meninggal pada 7 Ramadhan lalu).

Menjelang Aidiladha
Menjelang Aidiladha
Terlalu banyak kejadian sedih yang berlaku membuatkan aku rasa tak bersemangat untuk pulang, mungkin itulah pengorbanan perasaan aku. Bukanlah bermaksud aku melupakan asal usul, namun aku perlukan masa untuk bertenang dan insya-Allah aku akan pulang juga. 

Di kesempatan ini aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua rakan-rakan blogger dan pengunjung blog ini. Berhati-hati memandu pulang ke kampung dan semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju. 

 ^_^

12 October 2013

Kisah Harimau Besar

Assalamualaikum, 

Cerita rakyat ini diceritakan oleh arwah Tok Ayah (datuk) aku ketika aku kecil dulu. Walaupun dah lama aku masih mengingatinya. Tak pasti sama ada ianya benar atau rekaan. Mungkin ada di antara anda juga pernah mendengar cerita ini. 

Pada zaman dahulu seorang peniaga berbangsa Cina bernama Ah Seng datang berniaga sayur dan buah seperti cili, terung, limau dan tembikai di hujung kampung. "Telong, limau besar, cili, tembikai.." jerit dia memanggil pelanggan. 

Kisah Harimau Besar
Kisah Harimau Besar (Gambar hiasan) - Google
Jeritannya didengari oleh Pak Mat dan beberapa orang penduduk kampung. Mereka segera berlari ke arah Ah Seng sambil membawa parang panjang."Mana harimau besar tu?" soal Pak Mat. "Haiya.. Mana ada limau besar. Saya berniaga saja." balas Ah Seng. 

Pak Mat dan penduduk kampung kembali ke rumah masing-masing. Keesokan harinya Ah Seng berniaga seperti biasa. Pada hari itu cuaca agak mendung, pelanggan yang datang berkurangan. Seperti biasa dia menjerit memanggil pelanggan. 

Tiba-tiba Ah Seng mendengar bunyi sesuatu memijak daun kering dan muncul seekor harimau, "Tolong, limau besar.." jerit Ah Seng sekuat hati. Pak Mat dan penduduk kampung yang mendengar jeritannya menyangkakan Ah Seng berniaga. 

Tiada sesiapa pun yang mempedulikan jeritannya. Maka tamatlah riwayat hidup seorang manusia bernama Ah Seng. Masa mendengar penghujung cerita ni aku rasa kasihan pada Ah Seng sebab dia tak bersalah pun dalam hal ini. 

*Moral: Dalam kehidupan seharian, selalu kita akan berhadapan dengan sesuatu yang mungkin kita salah faham maksudnya. Oleh itu, seharusnya selidiklah terlebih dahulu kebenarannya. 

^_^

Dah Ditakdirkan Bukan Rezeki

Assalamualaikum,

Sebenarnya aku pernah mendaftar Pakej Komunikasi Belia (PKB) untuk mendapatkan rebat RM200.00 bagi pembelian telefon pintar pada awal tahun dulu. Namun ianya telah tamat tempoh dan aku tak sempat menebusnya.

Dah Ditakdirkan Bukan Rezeki
Dah Ditakdirkan Bukan Rezeki
Pada 7 Oktober yang lepas dibuka untuk memperbaharui pendaftaran memandangkan masih ramai yang belum menebus rebat berkenaan (termasuklah aku). Pendaftaran kali ini perlu melalui wakil penjual yang dilantik oleh syarikat telekomunikasi. 

Jadi pada hari berkenaan aku ke Celcom Centre untuk mendaftar. Malangnya pendaftaran gagal dilakukan kerana sistem SKMM belum diaktifkan. Kemudian aku ke Maxis Centre dan Seng Heng dan diberikan alasan yang sama juga. 

Jauh di sudut hatiku berasa kecewa. "Kenapalah dibuka kepada orang ramai hanya pada 7 Oktober, tapi nak daftar tak diterima pula." keluh hati kecilku. Geram juga bila difikirkan, seolah-olah 'pihak yang berkenaan' tidak ikhlas untuk memberi. 

Namun bila aku fikirkan balik, rezeki kita rahsia Allah SWT. Mungkin memang ditakdirkan ia bukan rezeki aku. Jadi aku harus terima dengan redha. Terus aku beristighfar memandangkan tadi aku mengeluh kecewa.

* Nota: 
Teringat kata-kata Dr. HM Tuah al-haj (penulis buku motivasi kegemaran aku), "Jika dah bukan rezeki kita, masuk ke dalam mulut pun boleh keluar balik." lebih kurang begitulah ayatnya. 

^_^

11 October 2013

Hilangkan Sakit Kepala Secara Semulajadi

Assalamualaikum, 

Pagi tadi aku rasa kurang sihat, tiba-tiba sakit kepala menyerang aku. Aku ni kalau sakit sikit memang tak suka makan ubat sebab ubat tu mengandungi dadah. Kecualilah jika sakit teruk memang aku akan makan juga ubat. 

Hilangkan Sakit Kepala Secara Semulajadi
Hilangkan Sakit Kepala Secara Semulajadi (Gambar hiasan) - Google
Jadi aku mencuba petua semulajadi seperti berikut:

1. Minum banyak air kosong
Kekurangan air dalam badan boleh menyebabkan sakit kepala. Minumlah air secukupnya iaitu melebihi 8 gelas sehari. 

2. Minum secawan teh pekat
Aku membancuh secawan teh pekat dan menambah perahan limau kasturi (boleh juga menggunakan limau nipis atau lemon). 

3. Elakkan menggunakan komputer atau menonton televisyen
Kedua-dua peralatan elektronik itu mengandungi radiasi yang boleh membuatkan kepala sakit. Tutup komputer dan televisyen seketika. Tidur atau keluar bersiar-siar di luar untuk menyedut udara segar. 

4. Senaman minda positif
Sebenarnya senaman ni aku buat kalau tengah sedih. Sakit kepala mungkin disebabkan oleh tekanan. Pejamkan mata. Tarik nafas dalam-dalam sambil menggenggam tangan seperti penumbuk dengan kiraan 5 saat, tahan nafas 5 saat dan lepaskan perlahan-lahan dalam kiraan 5 saat juga (ketika melepaskan nafas itu bayangkan semua tekanan juga dilepaskan pergi).

Alhamdulillah walaupun kesannnya lambat, kini rasa sakit kepala aku semakin berkurangan. Kepada anda yang tak suka makan ubat tu boleh la mencuba petua ini juga. 

 ^_^

10 October 2013

2nd Giveaway & Blogwalking by ahmadhasif.info Sempena Hari Raya Aidil Adha

Assalamualaikum,

Pertama sekali, terima kasih kepada blogger Ahmad Hasif kerana sudi menjemputku untuk join segmen beliau (dah lama beliau jemput, baru hari ni nak join). 
Klik banner di atas untuk join 
"Ceritakan apakah pengalaman yang paling anda tidak boleh lupa mengenai hari raya aidil adha anda."

Cerita aku:
Sebenarnya aku tiada pengalaman menarik pun ketika Aidiladha. Cuma teringat pertama kali menyambut Hari Raya Aidiladha di perantauan ketika belajar di Universiti Malaysia Terengganu (tahun 2005). Masa tu nak balik kampung tiket dah habis. 

Pada tahun itu peti ais di rumah sewa aku mewah dengan daging korban pemberian jiran-jiran. Hari-hari masak daging sampaikan dah tak tahu nak masak menu apa (aku dan 4 orang rakan serumahku bergilir-gilir memasak setiap hari)

Paling aku tak boleh lupa rendang daging rakan serumah aku yang berasal dari Negeri Sembilan masak. Memang menangis makan sebab pedas (nasib baik aku suka pedas). Uniknya dia tak letak daun limau purut atau daun kunyit, tapi daun maman

* Nota: Daun maman tu jika di kampung aku di Hulu Perak orang buat jeruk.

^_^