31 December 2015

Kurus dengan Kos Murah

Assalamualaikum, 

Untuk kurus tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi. Anda juga tidak perlu membayar mahal untuk ke kelas senaman atau membeli peralatan senaman yang mahal serta canggih. Dengan kos yang murah anda juga mampu menurunkan berat badan.

Kurus dengan Kos Murah
Kurus dengan Kos Murah - Sumber gambar aibaba.com
Sebelum ini dikongsikan mengenai kuruskan badan tanpa ubat di dalam entri yang lalu. Beberapa tips untuk kurus dengan kos yang murah adalah seperti berikut:

1. Kurus dengan senaman di rumah

Anda tidak perlu ke gymnasium berbayar untuk kurus. Lakukan sendiri senaman seperti aerobik atau tarian di rumah dengan kos murah. Dapatkan rakaman dari sumber seperti youtube. Jika anda suka melakukan kerja rumah, ini juga peluang baik untuk kurus. Jadikan kerja rumah seperti menyapu sampah, mengelap dan membasuh sebagai senaman yang menyihatkan. 


2. Kurus dengan kemudahan sedia ada

Tidak perlu membeli alat senaman yang mahal. Sebaliknya gunakan kemudahan sedia ada di sekeliling rumah anda untuk kurus. Jika rumah anda ada tangga, gunakan ia untuk senaman naik turun tangga. Bagi anda yang memiliki basikal, rajinkan diri untuk mengayuh basikal bagi membakar kalori. 


3. Kurus dengan makanan kesihatan semulajadi

Makanan kesihatan yang siap diproses selalunya mahal. Apa kata anda memilih makanan kesihatan semulajadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih murah dan mudah didapati. Buah dan sayur juga kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral. Makanlah buah-buahan dan sayur-sayuran tanpa berasa ragu kerana kandungan kalorinya juga rendah. 


4. Kurus dengan amalkan petua tradisional

Tanyakan kepada orang tua yang anda kenal mengenai petua tradisional yang mereka amalkan untuk menguruskan badan atau mengekalkan bentuk badan. Selain daripada menggunakan bahan semulajadi yang mudah didapati, petua tradisional juga tidak menggunakan bahan kimia berbahaya dan tidak memerlukan kos yang tinggi. 


Oleh itu, banyak cara untuk kurus tanpa menggunakan kos yang mahal dan ada di antaranya telah pun anda amalkan dalam kehidupan seharian. Paling penting adalah keazaman dan usaha yang berterusan tanpa jemu untuk kurus. 

^_^

30 December 2015

Stesen Minyak Shell dan Kereta Axia

Assalamualaikum, 

Ini bukan entri untuk promosi stesen minyak Shell atau kereta Axia. Petang itu saya pulang dari tempat kerja dan saya perasan minyak kereta sudah hampir habis. Jadi saya singgah di stesen minyak kegemaran saya iaitu Shell untuk mengisi minyak kereta. 


Selepas memberhentikan kereta, saya membuka tempat mengisi minyak dan keluar dari kereta. "Kakak bawa kereta baru ke? Berapa mahu isi minyak?" pekerja warga Bangladesh menyoal saya. Saya selalu singgah di stesen minyak itu, mungkin dia sudah kenal muka saya. 

"Ya, isi RM50.00 saja." Saya membalas sambil menghulurkan duit RM50.00 dan kad Bonus Link kepadanya. "Macam mana mahu isi minyak?" Tiba-tiba pekerja itu menyoal saya sambil tersenyum. Saya bingung seketika. Baru saya perasan, rupa-rupanya saya tidak membuka tempat minyak, tetapi bonet. 

Saya terpaksa membeli kereta Axia ini disebabkan tempat kerja saya dan adik saya tidak sama dan jaraknya jauh di antara satu sama lain. Kereta Viva saya serahkan kepada adik. Hanya kereta Axia yang mampu saya beli sebagai kereta kedua memandangkan Viva masih berbaki dua tahun untuk habis dibayar. 

Nota: Jika terdapat pengangkutan awam seperti LRT atau ERL ke tempat kerja saya atau adik saya, pasti saya tidak membeli kereta Axia berkenaan. Namun kini tambang pengangkutan awam juga sudah naik. 

^_^

26 December 2015

Peperiksaan Oh Peperiksaan

Assalamualaikum, 

Disember bulan yang penuh dengan aktiviti. Pagi ini baru saya berpeluang membuka blog dan menulis sesuatu. Sebelum ini saya pernah ceritakan mengenai kesibukan saya dengan peperiksaan dan kursus. Keputusan Peperiksaan Undang-undang Kerajaan telah keluar.

Keputusan peperiksaan Undang-undang Kerajaan
Seperti yang dijangkakan, keputusan untuk Kertas dua saya kandas. Teringat kembali ketika saya menjawab soalan kertas dua tempoh hari, saya rasa nak menangis ketika membaca soalan. Walaupun peperiksaan ini open book, adalah perlu saya membawa bahan rujukan yang tepat.

Buku yang sepatutnya saya beli untuk kertas dua
Sumber gambar lelong.com.my
Bila difikirkan semula memang saya kurang persediaan. Sepatutnya saya membawa buku Perlembagaan dan Undang-undang untuk kertas dua. Namun saya tidak berjaya mendapatkan buku itu kerana sold out di beberapa kedai buku dan MPH sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Saya ada juga bertanya pada senior yang pernah menduduki peperiksaan ini, namun buku mereka juga telah dipinjam lebih awal oleh rakan-rakan yang lain. Akhirnya saya dapat meminjam buku bertajuk Panduan Undang-undang Umum dari rakan kakak saya.

Namun maklumat di dalam buku berkenaan tidak dapat membantu saya menjawab soalan sepenuhnya. Selepas ini saya perlu mencari buku rujukan berkenaan lebih awal kerana semestinya saya akan mengulangi peperiksaan ini pada tahun hadapan.

 ^_^

09 December 2015

Perbaharui Roadtax Kereta dengan MYEG

Assalamualaikum, 

Tahun ini adalah tahun ke dua saya memperbaharui roadtax kereta Viva saya menggunakan perkhidmatan MYEG. Berdasarkan kepada pengalaman saya, memperbaharui roadtax kereta melalui MYEG adalah mudah dan menjimatkan berbanding melalui agen insurans. 


Sebelum ini saya menggunakan khidmat agen insurans setiap kali ingin memperbaharui roadtax kereta. Masuk tahun ke-6 saya terfikir untuk mencuba perkhidmatan MYEG. Berikut saya kongsikan cara kali pertama saya memperbaharui roadtax dan insurans kereta melalui MYEG:

Menghubungi MYEG 

Saya telah menghubungi MYEG di talian 03-7801 8888. Pihak MYEG meminta maklumat berkenaan nombor kereta, nombor kad pengenalan dan alamat emel. Saya meminta sebutharga nilai kereta yang diinsurans dan tambahan insurans untuk cermin kereta. 


Menerima emel dari MYEG

Saya menerima emel sebutharga bagi roadtax dan lesen. Pada tahun ini kereta Viva saya telah menjangkau usia 6 tahun. Setakat ini saya belum pernah membuat tuntutan insurans, jadi NCD (no claim discount) telah mencecah 55%. Jumlah yang perlu dibayar hanya RM420 (berbanding harga yang ditawarkan oleh agen insurans RM600). Jadi saya sudah jimat sebanyak RM180. 


Membayar kepada MYEG

Setelah bersetuju dengan harga berkenaan, saya membayar melalui perbankan internet (saya menggunakan CIMB Clicks). Lebih kurang sejam selepas pembayaran, pihak MYEG menghubungi saya dan meminta maklumat iaitu no. casis kereta dan alamat. 


Menerima roadtax dari MYEG

Pada keesokan harinya saya sudah menerima roadtax kereta berkenaan. Ianya dihantar terus oleh runner MYEG ke pintu rumah mengikut alamat yang diberikan (tempoh masa penghantaran tertakluk kepada hari cuti umum).


Setakat ini saya berpuas hati dengan perkhidmatan memperbaharui roadtax kereta yang disediakan oleh pihak MYEG. Selain daripada mudah dan menjimatkan wang, saya boleh fokus melakukan kerja seperti biasa kerana tidak perlu risau memikirkan roadtax kereta. 

Nota: Harga insurans kereta pada tahun ini tidak banyak berbeza dengan tahun lepas disebabkan wujudnya GST. 

^_^

06 December 2015

Kisah Lawak

Assalamualaikum,

Salam hujung minggu kepada anda semua. Kali ini saya kongsikan beberapa kisah lawak untuk bacaan santai di hujung minggu. Kisah ini hanya rekaan dn tiada kena-mengena dengan individu yang hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kisah Lawak 1: Motosikal

Tiga orang lelaki menaiki sebuah motosikal dan telah ditahan oleh polis trafik. Namun penunggang motosikal tidak berhenti dan menjerit kepada polis trafik berkenaan. 


Penunggang motosikal : Dah tak muat, kami dah bertiga. Jalan dulu tuan!!!
Polis trafik : ???


Kisah Lawak 2: Mangga

Seorang suri rumah pergi ke pasar untuk membeli barangan dapur. Tiba-tiba dia ternampak buah mangga.


Suri rumah : Berapa harga sebiji buah mangga ini?
Penjual : RM2.50 kak..
Suri rumah : RM2.50? Mahalnya harga..
Penjual : Harganya memang mahal kerana dijamin manis.
Suri rumah : Bagaimana kalau rasanya masam?
Penjual : Kalau masam tak perlu membayar.
Suri rumah : Kalau begitu, minta sepuluh biji mangga yang masam.
Penjual : ???


Kisah Lawak 3: Panadol

Sam melihat Joe membancuh kopi dan memasukkan sebiji panadol ke dalamnya. Dia berasa hairan dan segera bertanya kepada Joe. 


Sam : Kenapa kau masukkan panadol ke dalam air kopi itu?
Joe : Ooo.. Kopi inikan panas. Letak panadol kurang la sikit panasnya.
Sam : ???

Kisah Lawak 4: Cermin Mata

Ben mengalami masalah rabun dan telah berjumpa dengan doktor mata. Doktor mencadangkan supaya Ben memakai cermin mata bagi mengatasi masalahnya.


Ben : Selepas pakai cermin mata nanti, bolehkah saya membaca seperti orang lain?
Doktor : Oh, sudah tentu boleh.
Ben : Gembiranya saya. Sebenarnya sudah lama saya buta huruf, akhirnya boleh juga saya membaca.
Doktor : ???


Kisah Lawak 5 : Singa

Pada suatu hari seorang pemburu pergi memburu di hutan. Tiba-tiba dia ternampak seekor singa. Kerana terkejut, pemburu itu tidak sempat mengangkat senapangnya. Pemburu hanya mampu berdoa. Dia menjeling ke arah singa dan ternampak singa juga sedang berdoa. 


Pemburu : Ah, leganya. Singa baik rupanya. Tolong lepaskan aku.
Singa : Singa baik selalu baca doa sebelum makan.
Pemburu : ???


Semoga terhibur membaca kisah lawak ini.. 

Diolah dari sumber asal lawak2u.wordpress.com

p.s: Maaf tidak dapat blogwalking kebelakangan ini kerana agak sibuk dengan kerja dan kursus. InsyaAllah saya akan membalas kunjungan anda nanti.

^_^

01 December 2015

8 Tips Mengekalkan Kesihatan

Assalamualaikum,

Kesihatan yang baik adalah penting bagi mendapatkan tubuh yang cergas dan otak yang cerdas. Adalah penting untuk setiap individu mengekalkan tahap kesihatan yang baik dengan cara menjaga fizikal dan emosinya.


Kali ini saya kongsikan 8 tips yang dapat mengekalkan tahap kesihatan seperti berikut:

Sihat dengan sikap optimistik dan positif

Selalu berfikiran positif dan bersikap optimistik untuk mengekalkan tahap kesihatan mental yang baik. 


Sihat dengan kawal marah

Belajar untuk bersabar dan mengawal kemarahan agar emosi stabil dan tenang. 


Sihat dengan kurangkan lemak, minyak, gula dan garam

Pengambilan lemak, minyak, gula dan garam yang berlebihan boleh membahayakan kesihatan. Hadkan pengambilan makanan-makanan ini untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik. 


Sihat dengan berhenti merokok

Merokok boleh menyebabkan kanser paru-paru dan gejala penyakit yang lain. Berhenti merokok untuk mengekalkan kesihatan yang baik dan agar hidup lebih bermakna. 


Sihat dengan pengambilan air 

Air yang mencukupi adalah penting untuk melancarkan sistem penghadaman, menyingkirkan toksin dari badan, mengurangkan selera makan dan mengekalkan kelembapan kulit. Minum air sekurang-kurangnya 3 liter setiap hari. 


Sihat dengan bergerak aktif

Bergerak aktif setiap hari dapat mengekalkan kesihatan. Bersenam sekurang-kurang 3 kali seminggu 20 minit setiap sesi. Jika tiada masa bersenam, cuba luangkan waktu untuk melakukan senaman naik turun tangga atau berlari setempat.


Sihat dengan tidur mencukupi

Pastikan anda mendapat rehat dan tidur yang mencukupi untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Tidur sekurang-kurangnya 4 hingga 6 jam setiap malam. 


Sihat dengan menjaga kebersihan

Pastikan anda menggosok gigi dan mandi sekurang-kurangnya 2 kali setiap hari. Basuh tangan dengan sabun selepas ke tandas dan sebelum memasak dan makan. Kebersihan mencerminkan personaliti diri seseorang. 


Hanya kita yang mampu mengubah diri kita menjadi lebih baik atau sebaliknya. Oleh itu, ubahlah cara hidup bagi mengekalkan kesihatan yang baik dan berterusan. Apabila tubuh badan dan mental sihat, aktiviti dan kerja seharian juga akan menjadi lebih lancar. 

^_^

26 November 2015

Terima Kasih Blogger Yana Yani Sudi Review

Assalamualaikum,

Sudah lama rasanya blog Mizz Aiza tidak direview. Review ini telah dibuat oleh blogger +Yana Yani kerana saya menjadi pengomen ke sembilan yang yang tersenarai dalam carta top pengomen blog beliau. 

Review yang dibuat oleh blogger Yana Yani
Blogger Yana Yani merupakan salah seorang ahli Grup Mama Bloggers Malaysia. Blog beliau banyak menceritakan mengenai kisah santai bersama sepasang anak beliau iaitu Afif dan Aisyah serta keluarganya. Boleh baca kisah menarik Afif mengenai hobinya yang suka memancing dalam artikel bertajuk Melepaskan Gian memancing

Selain itu juga, beliau ada menulis mengenai pandangan peribadinya mengenai sesuatu isu atau perkara. Antaranya beliau telah menulis artikel yang bertajuk Benarkah Perkhidmatan Hospital Kerajaan Teruk? Blogger Yana Yani seorang yang mesra dan peramah. Kunjungan anda ke blog beliau pasti akan dibalas. Boleh klik banner di bawah untuk ke blog beliau. 

http://iamaproudmama.blogspot.my/
Terima kasih diucapkan kepada blogger Yana Yani kerana sudi review blog saya. Semoga ukhwah yang terjalin di antara kita terus berkekalan walaupun tidak pernah bersua muka. Selamat maju jaya kepada Yana Yani!!!

^_^

25 November 2015

Wordless Wednesday # 33 - Kucing

Assalamualaikum,

Kucing
Bersantai di luar tingkap berhampiran lif tingkat 13
Kucing
Corak bulu badannya saya panggil warna tiga rasa
Kucing
Corak di wajahnya ada dua
Nota: Kucing-kucing ini saya jumpa berhampiran rumah sewa saya. Tidak pasti mereka ada tuan atau tidak. Tapi saya pasti akan memberikan mereka makan apabila berjumpa mereka. 

 ^_^

24 November 2015

Tukar Cigarrate Lighter Kereta Viva

Assalamualaikum, 

Baru-baru ini tempat pengecas bateri telefon (cigarrate lighter) di kereta Viva saya tidak berfungsi. Kebetulan ketika saya servis kereta di Perodua Bandar Tun Razak, saya meminta mereka memeriksanya. Rupa-rupanya ia telah rosak.


Namun mereka memaklumkan saya perlu memesan cigarrate lighter itu memandangkan stok tiada. Setelah menunggu selama lebih seminggu, pihak Perodua menelefon saya dan meminta saya pergi ke Perodua Bandar Tun Razak untuk memasangnya.

Harga cigarrate lighter ini RM26.40 (tidak termasuk 6% GST). Setelah ditambah dengan kos pemasangan dan 6% GST harganya menjadi RM38.05 (kos pemasangan sebanyak RM11.00). Untung jika pandai pasang sendiri, tak perlu bayar kos pemasangan. 

Nota: Saya perasan sejak adanya GST, kebanyakan alat ganti dan perkhidmatan Perodua juga semakin mahal.

 ^_^

23 November 2015

Banjir Kilat

Assalamualaikum, 

Kejadian ini berlaku pada minggu lepas. Pada hari itu saya meletakkan kereta jauh dari tempat kerja kerana saya kerja syif pagi (tempat kereta terhad dan hanya untuk staf syif petang yang pulang lewat malam). Pada petang itu tiba-tiba hujan turun mencurah-curah. 

Hujan telah berhenti
Tidak sampai sejam air longkang berhampiran tempat saya meletakkan kereta melimpah dan berlakulah banjir kilat. Ada staf dari bahagian lain memaklumkan beberapa buah kereta yang diletak di situ telah dinaiki air hingga memasuki ruang dalam kereta. 

Sampai ke kereta setelah harungi air
Di dalam hati saya berdoa agar kereta saya dalam keadaan baik. Syif saya tamat pada jam 4 petang dan ketika itu hujan sudah gerimis. Saya terus bergegas ke tempat meletak kereta. Syukur apabila melihat kereta saya hanya dinaiki air hingga paras tayar. 

Hujan gerimis ketika perjalanan pulang
Mungkin kerana saya meletakkan kereta di bahagian yang agak tinggi dan jauh dari longkang. Kasihan pada tuan kereta yang keretanya dimasuki air. Namun saya terpaksa mengharungi air di paras betis untuk mengambil kereta.

Nota: Hujan adalah rahmat dan bersyukur kerana adanya hujan. 

 ^_^

22 November 2015

Manfaat Sarapan Pagi

Assalamualaikum

Ramai orang yang menganggap  sarapan pagi adalah tidak penting. Mungkin ada yang memberi alasan tidak sempat bersarapan kerana perlu cepat ke tempat kerja atau terlalu sibuk memulakan tugasan pada waktu pagi. Sedangkan sarapan pagi memberi banyak manfaat kepada seseorang. 


Beberapa manfaat sarapan pagi adalah seperti berikut:

Sarapan pagi memberikan tenaga

Ketika sedang lapar badan akan rasa lemah dan tidak bertenaga. Sarapan pagi dengan sedikit makanan berkarbohidrat seperti roti memberikan tenaga. Namun jangan makan berlebihan kerana ia mungkin menyebabkan mengantuk dan malas. 


Sarapan pagi menghindarkan penyakit

Pengambilan sarapan pagi secara rutin dan teratur mampu mengawal kadar gula dalam darah sekaligus mengurangkan risiko terkena penyakit kencing manis. Masalah angin dalam badan juga boleh diatasi jika anda mengambil sarapan pagi. Angin akan menyebabkan kepala menjadi pening dan gastrik. 


Sarapan pagi mengawal berat badan

Pengambilan sarapan pagi mampu mencegah anda makan lebih banyak sepanjang hari. Perut yang kenyang mengurangkan keinginan anda makan banyak dan sekaligus dapat mengawal berat badan. 


Oleh itu, walau sesibuk mana pun anda, luangkan waktu untuk mengambil sarapan pagi seperti dua keping roti yang disapu nipis dengan mentega atau secawan oat. Jika tidak sempat bersarapan di rumah, pastikan anda mengambil sarapan di tempat kerja. 

^_^

20 November 2015

Hormati Pekerjaan Orang Lain

Assalamualaikum,

Setiap pekerjaan baik yang dilakukan dalam dunia ini pasti ada kepentingan kepada agama, bangsa dan negara. Kerja juga dikira sebagai ibadah jika dilakukan dengan jujur dan ikhlas kerana Allah swt. Walaupun bidang kerja berbeza, seharusnya kita menghormati kerja orang lain.


Saya terfikir untuk menulis entri ini selepas melihat situasi di mana apabila beberapa agensi ditugaskan untuk satu misi, namun mereka tidak bersepakat membuat keputusan. Sehingga ada pihak yang mempertikaikan kenapa tidak boleh. Sedangkan keputusan dibuat berasaskan Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan.

Seharusnya mereka menghormati pekerjaan orang lain. Jangan hanya kerana alasan bekerja perlu ada budi bicara, mereka sanggup membahayakan keselamatan negara. Walau apa pun alasannya, undang-undang tetap perlu dipatuhi.

Nota: Rasa geram dengan seseorang yang mempertikaikan keputusan saya, sedangkan saya bekerja mengikut SOP. Katanya saya perlu ada budi bicara, tapi bagi saya undang-undang perlu dipatuhi dan tiada kompromi. 

 ^_^

17 November 2015

Model Kasut Saya

Assalamualaikum,

Rambangnya mata apabila melihat kasut ketika JCard Member Day. Diskaun yang diberi memang murah dan berbaloi. Kebetulan ketika itu memang saya sedang mencari kasut baru (kasut bertutup) untuk dipakai di tempat kerja. 

Rambang mata melihat kasut
Di dalam entri yang lalu saya pernah ceritakan mengenai membeli mesin basuh di Jaya Jusco. Selepas membeli mesin basuh, saya mengajak adik saya ke bahagian kasut. Setiap kali membeli kasut pasti saya akan membawa adik bersama.

Kaki adik saya saiz 4
Ini kerana kebanyakan kasut yang dipamerkan untuk dicuba bersaiz kecil dan sesuai untuk dicuba oleh gadis kaki 'Cinderella' sahaja. Mujurlah adik saya merelakan dirinya untuk menjadi model kasut saya. 

Tidak seperti wanita lain, saya memiliki saiz kaki yang agak besar iaitu 8 atau 9. Oleh itu, saya akan meminta adik mencuba terlebih dahulu dan bertanya pendapatnya samaada kasut berkenaan selesa dipakai. Kemudian barulah saya meminta jurujual mencari saiz kasut saya. 

^_^

15 November 2015

Kisah Lawak Belajar Bahasa Inggeris

Assalamualaikum,

Belajar Bahasa Inggeris adalah sesuatu yang menyeronokkan. Kisah lawak yang saya kongsikan pada kali ini hanyalah sekadar suka-suka sahaja dan tiada kena-mengena dengan insan yang hidup atau telah meninggal dunia.


Kisah 1: Guru Bahasa Inggeris

Cikgu Nina mengajar Bahasa Inggeris bagi Tahun 1 di sebuah sekolah. Pada suatu hari dia telah memberi tugasan kepada murid-murid iaitu setiap orang perlu mencari 3 perkataan dalam Bahasa Inggeris. 


Ketika perjalanan pulang, Salman salah seorang murid ternampak sepasang suami isteri keluar dari kereta dan menjerit antara satu sama lain. Dia terdengar lelaki itu menjerit "Shut up you!!!". Apabila tiba di rumah dia bertanya kepada ayahnya, "Shut up you itu Bahasa Inggeris ke ayah?" Ayahnya menjawab, "Ya". 'Dah dapat satu perkataan', kata Salman di dalam hati. 


Selepas mandi dan makan, Salman menonton televisyen cerita Superman. Ketika Superman mahu terbang, dia menyebut "Superman!!!". Salman bertanya lagi kepada ayahnya, "Superman itu Bahasa Inggeris ke ayah?" Ayahnya menjawab, "Ya". 'Nampaknya aku dah dapat dua perkataan,' kata Salman di dalam hati. 


Selepas menonton televisyen, Salman pergi ke perpustakaan. Dia ternampak seorang lelaki dan perempuan sedang bertengkar kerana berebut sebuah buku. Perempuan itu berkata "Ladies first". Setelah pulang ke rumah, dia bertanya lagi kepada ayahnya dan ayahnya memberitahu itu juga Bahasa Inggeris. 


Maka Salman berasa lega kerana telah berjaya mencari 3 perkataan Bahasa Inggeris pada hari itu. Pada hari yang berikutnya adalah kelas Bahasa Inggeris Cikgu Nina. Tiba giliran Cikgu Nina menyoal Salman. 


Cikgu Nina : Salman, did you get the words?
Salman : Yes, teacher.
Cikgu Nina : Good, what is your first word?
Salman : Shut up you !!!
Cikgu Nina : What did you say? Are you mad? Who do you think you are?
Salman : Superman !!!
Cikgu Nina : Get out from this class!
Salman : Ladies First..


Kisah 2: Balik dari Luar Negara

Samad baru menamatkan pelajarannya di luar negara dan telah pulang ke Malaysia. Dia telah diuji oleh ayahnya yang tidak tahu berbahasa Inggeris.


Ayah : Samad, apa sebutan buku dalam Bahasa Inggeris?
Samad : De buk (merujuk kepada the book)
Ayah : Kalau pen?
Samad : De pen (merujuk kepada the pen)


Jadi ayahnya membuat kesimpulan bahawa setiap perkataan Bahasa Melayu hanya perlu di tambah 'de' dan perkataan dipendekkan depannya saja (setelah dia mendengar 'de buk' dan 'de pen').

Ketika di tempat kerjanya, si ayah ingin menunjukkan kehebatannya berbahasa inggeris kepada rakan sekerjanya juga yang tidak tahu berbahasa Inggeris.


Ayah : Aku sudah boleh berbahasa Inggeris. Rupanya Bahasa Inggeris sangat mudah dipelajari.
Rakan sekerja : Betul ke?
Ayah : Betul la.
Rakan sekerja : Kalau begitu macam mana nak sebut kambing makan rumput, kuda lari lari dalam bahasa inggeris?
Ayah : Oh, senang saja.
Rakan sekerja : Apa dia?
Ayah : De kam mak rum, de kud lar lar.


Diolah dari sumber ceritalawakje.blogspot.com dan lawakinternet.blogspot.my

Boleh juga membaca:


^_^

14 November 2015

Cara Langgan Mobile Internet Maxis Bulanan

Assalamualaikum,

Jika dahulu saya menulis blog dan blogwalking menggunakan laptop. Namun kini saya terpaksa menggunakan smartphone memandangkan saya tidak mampu untuk membawa laptop bersama. Untuk internet, saya memilih prepaid Maxis.

Langgan Mobile Internet Maxis Bulanan


1. Taip *100# dan tekan kekunci dial.

2. Akan keluar paparan menu di bawah. Pilih Pas Internet.

3. Pilih Mobile Internet.

3. Terdapat pilihan untuk harian (1 hari), mingguan (7 hari) dan bulanan (30 hari). 

4. Pilih untuk 30 hari iaitu samaada:
  • RM20 untuk 500MB + 500MB;
  • RM30 untuk 1.5GB + 1.5GB; atau
  • RM48 untuk 3GB +3GB
Contohnya pilih 'RM30 untuk 1.5GB + 1.5GB'

5. Akan keluar paparan seperti di bawah. Pilih Teruskan

6. Keluar paparan seperti berikut:

7. Tunggu mesej dari Maxis. Setelah mendapat mesej pengesahan, anda boleh terus menggunakan internet. 

Nota: Internet masih boleh digunakan walaupun telah mencapai had kuota. Namun kelajuannya diperlahankan. 

 ^_^

13 November 2015

Beli Mesin Basuh Panasonic

Assalamualaikum,

Pada minggu lepas saya telah mengunjungi Jaya Jusco Maluri untuk membeli mesin basuh. Kebetulan pada hari berkenaan ada JCard Member Day. Jadi selain daripada dapat kumpul mata kad Jaya Jusco, saya juga dapat voucher pembelian (setiap pembelian RM100.00 dapat voucher RM10.00).

Mesin basuh Panasonic muatan 7.5kg

Sudah siap dipasang di rumah

Sebelum ini saya membasuh pakaian dengan tangan. Maklumlah orang bujang pakaian tak banyak sangat. Setakat basuh baju sendiri dan mak sahaja. Namun sejak kebelakangan ini saya tidak sempat untuk membasuh pakaian kerana kesibukan kerja dan kursus. 

Sehingga saya terpaksa membasuh pakaian di dobi layan diri berhampiran rumah. Ketika itu saya mula terfikir untuk membeli mesin basuh sendiri. Saya telah membuat tinjauan di beberapa kedai menjual barang elektrik seperti Tesco, Aeon Big, Jaya Jusco dan Seng Heng. 

Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli mesin basuh jenama Panasonic muatan 7.5kg dengan harga RM759.00 di Jaya Jusco Maluri. Setelah tempahan dan pembayaran dibuat, penghantaran ke rumah dibuat oleh pengilang Panasonic sendiri.

Nota: Setakat ini saya berpuas hati dengan mesin basuh ini. Muatan 7.5kg ini cukuplah untuk membasuh pakaian saya, mak dan adik. 

^_^

12 November 2015

Jaga Adab

Assalamualaikum, 

Kejadian ini berlaku ketika saya memandu ke tempat kerja pada pagi tadi. Saya memandu di lorong tengah dengan had laju 90km/jam. Tiba-tiba sebuah kereta dari lorong laju menukar ke lorong tengah tanpa memberikan isyarat. Mujurlah saya sempat membrek.


Kebetulan sebuah motosikal juga sedang berada di hadapan saya dan dia juga sempat mengelak. Namun motosikal itu terus mengekori kereta sambil penunggangnya menunjukkan isyarat lucah. Mungkin dia marah kerana motosikalnya telah dihimpit.

Kereta itu membelok ke susur jalan dan motosikal terus mengekorinya. Manakala saya memandu ke arah yang berlainan untuk terus ke tempat kerja saya. Saya tidak pasti apa yang berlaku kepada kedua-dua mereka selepas itu. Harap-harap tiada kejadian buruk yang terjadi. 

Apa yang saya perhatikan, terdapat segelintir pemandu yang tidak menghormati pengguna jalan raya lain. Selain membahayakan nyawa sendiri, mereka juga sebenarnya membahayakan nyawa orang lain. Kepada semua pemandu, berhemahlah ketika memandu.

Nota: Kata orang, jika ingin melihat sikap sebenar seseorang, lihat ketika dia sedang marah dan memandu. Mungkin ada benarnya. 

 ^_^

10 November 2015

Makanan untuk Gigi Cantik

Assalamualaikum, 

Selain dari memiliki wajah yang cantik, gigi yang cantik juga penting kepada seseorang. Gigi yang cantik dan putih menunjukkan pemiliknya seorang yang pembersih. Di samping itu juga, ianya pasti akan meningkatkan keyakinan diri seseorang.

Makanan untuk Gigi Cantik

Sebelum ini saya pernah kongsikan mengenai mencegah nafas berbau di dalam entri yang lalu. Beberapa makanan untuk gigi cantik adalah seperti berikut:

Susu untuk gigi cantik

Susu kaya dengan kalsium dan fosfor yang baik untuk menguatkan enamel gigi. 


Ikan Salmon untuk gigi cantik

Kandungan asid lemak omega 3 dan fosfor di dalam ikan Salmon juga bermanfaat menguatkan enamel gigi. 


Lobak merah dan epal untuk gigi cantik

Lobak merah dan epal mampu untuk menanggalkan plak pada gigi serta merangsang air liur untuk membersihkan gigi. 


Strawberi  untuk gigi cantik

Kunyah strawberi kerana ia menghasilkan asid malik apabila dikunyah yang bermanfaat untuk memutihkan gigi. 


Nanas  untuk gigi cantik

Enzim semulajadi di dalam nanas berfungsi menghilangkan plak gigi sekaligus menyingkirkan bakteria yang melekat pada gigi. 


Selain daripada pemilihan makanan untuk gigi cantik seperti di atas, penjagaan gigi secara rutin iaitu memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari juga adalah perlu bagi mendapatkan gigi yang cantik dan putih. 

^_^

3D GIVEAWAY BY IY&SYARIZWAN

Assalamualaikum, 

Segmen yang saya akan ikuti pada kali ini dianjurkan oleh blogger Ikhwan dan Syarizwan. Saya ikuti sebagai sokongan kepada mereka dan memandangkan syarat pun mudah. 

3D GIVEAWAY BY IY&SYARIZWAN
Tarikh segmen : 2.11.2015 hingga 29.11.2015

Hadiah yang ditawarkan unik dan menarik seperti berikut:
- 1 3D puzzle untuk top referral. 
- 4 3D puzzle menerusi khidmat random.org.
- Hadiah misteri untuk peserta pertama.

Jom bersama-sama memeriahkan segmen ini. 

p.s:  Saya sudah lama tidak mengikuti segmen disebabkan syarat yang perlu like Facebook atau Twitter. Ini kerana kini saya tidak memiliki akaun Facebook atau Twitter. Mohon maaf kepada rakan-rakan blogger yang menjemput. 

 ^_^

07 November 2015

Saya Belum Berkahwin

Assalamualaikum, 

Pada tahun ini saya mengunjungi Ekspo Buku Islam Antarabangsa di Putrajaya bersama mak dan adik saya. Kali ini saya pergi pada waktu petang selepas pulang dari kerja. Kekangan waktu kerja, kursus dan peperiksaan kebelakangan ini menghadkan masa saya untuk bersama mak dan adik saya. 


Ketika saya melalui ruang pameran buku kanak-kanak, seorang wanita menyapa saya. "Puan dah ada anak ke?" Soal wanita itu. "Anak? Saya kahwin pun belum lagi." Spontan sahaja saya menjawab. "Oh, maafkan saya." Balas wanita itu. Saya hanya tersenyum dan terus berlalu.

Saya ceritakan peristiwa itu kepada adik saya. "Agaknya kakak nampak tua." usik adik saya sambil ketawa. Saya tidak menyalahkan wanita itu kerana wanita seusia saya memang patut memiliki sekurang-kurangnya dua atau tiga orang anak. Tapi yang saya ada kini hanya anak tekak dan anak mata sahaja. 

Tidak banyak buku yang saya beli kerana kebanyakan buku sudah saya beli sebelum ini. Tawaran harga amat berpatutan seperti novel-novel terbitan Karangkraf dijual dengan harga serendah RM5.00 sebuah dan potongan harga buku sehingga 50% boleh didapati di pameran PTS. 

Saya suka membaca buku-buku motivasi terutamanya yang ditulis oleh Dr. HM Tuah, Ustaz Pahrol Juoi dan Datuk Kazim Elias. Buku-buku tulisan mereka amat mudah untuk saya fahami mesej yang ingin disampaikan. Perkongsian pelbagai pengalaman suka dan duka juga sangat menarik untuk dibaca. 

 ^_^

01 November 2015

Jom Langsing dengan Buah

Assalamualaikum, 

Buah-buahan kaya dengan vitamin dan serat yang baik untuk kesihatan. Amalan makan buah-buahan mampu untuk mendapatkan tubuh yang langsing. Sebelum ini saya pernah kongsikan mengenai turunkan berat badan dengan serat di dalam entri lalu. 

 Langsing dengan Buah

Buah-buahan ini boleh dimakan terus selepas dipotong atau dikisar menjadi jus. Beberapa jenis buah yang sesuai untuk melangsingkan badan adalah seperti berikut:

Langsing dengan buah pisang

Pisang adalah mengenyangkan dan mudah dicerna. Makan pisang sebelum makan makanan lain mampu membuatkan perut berasa kenyang dengan cepat. 


Langsing dengan buah nanas

Nanas kaya dengan vitamin C dan beberapa enzim yang baik untuk pencernaan. Selain dimakan mentah, nanas juga boleh dibuat jus dengan cara mengisar isi nanas dengan sedikit air dan madu. 


Langsing dengan buah betik

Betik mengandungi vitamin dan enzim yang baik untuk sistem pencernaan. Kandungan kalori yang rendah dalam buah betik pasti tidak akan mengganggu diet anda. 


Langsing dengan buah epal hijau

Epal hijau baik untuk anda yang ingin kekal langsing. Ianya juga bermanfaat untuk melancarkan penghadaman. Minum epal hijau yang dikisar bersama saleri bagi membuang toksin. 


Langsing dengan buah avokado

Avokado mengandungi lemak tidak tepu yang berupaya mengurangkan rasa lapar. Perut anda pasti akan berasa kenyang dalam jangka masa lama setelah makan avokado.  


Selain dari buah-buahan di atas, anda boleh makan buah-buahan lain seperti anggur, limau, strawberi dan tembikai. Kandungan kalori di dalam buah-buahan adalah rendah dan amat sesuai dimakan oleh anda yang sedang berdiet dan ingin kekal langsing

p.s: Saya kembali bekerja setelah hampir seminggu bekursus. InsyaAllah saya akan mula membalas kunjungan anda. 

^_^

29 October 2015

Kerana Segelas Susu

Assalamualaikum,

Pada suatu hari seorang pengembara telah melewati sebuah perkampungan terpencil dan dia berasa sangat haus. Tiba-tiba pengembara itu terlihat sebuah rumah dan segera mengetuk pintunya. "Tok.. Tok.. Tok.." Pintu dibuka dan keluar seorang anak kecil.


"Pakcik sedang mengembara dan terasa haus. Boleh pakcik minta segelas air kosong?" Ketika itu anak kecil bersendirian di rumah. Anak kecil segera masuk ke dapur dan mengambil air yang diminta. Dia teringat pesan ibunya supaya memberikan yang terbaik kepada tetamu. Dia ternampak di atas meja terdapat segelas susu.

Lantas dia mengambil susu itu dan memberikannya kepada pengembara. "Terima kasih anak. Saya hanya inginkan segelas air kosong untuk menghilangkan dahaga. Tapi kamu telah memberikan kepada saya segelas susu,". Anak kecil itu tersenyum dan membalas," Ibu saya berpesan supaya memberikan yang terbaik kepada tetamu,".

Tahun berganti tahun, anak kecil itu telah pun membesar menjadi seorang remaja. Tiba-tiba dia diserang oleh penyakit kanser usus dan dimasukkan ke hospital. Doktor meminta supaya remaja itu menjalani pembedahan. Setelah pembedahan selamat dilakukan, doktor menyerahkan bil rawatan dan pembedahan kepada ibu remaja itu.

Alangkah terkejutnya ibu remaja itu apabila melihat kos rawatan dan pembedahan anaknya. Ibu remaja itu meneliti satu-persatu sehingga tiba pada jumlah besar yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM40,000.00. Namun yang paling mengejutkan apabila melihat pada bahagian bawah bil.

'Kos rawatan telah dibayar dengan segelas susu'. Itulah ayat yang tertera di atas bil itu. Rupa-rupanya doktor yang membedah remaja berkenaan adalah pengembara yang pernah singgah di rumah remaja itu pada suatu ketika dahulu. Begitulah buat baik pasti akan dibalas baik akhirnya. 

p.s: Kisah ini dikongsikan oleh salah seorang penceramah ketika saya menghadiri Kursus Transformasi Minda (PTM). Maafkan saya kerana tidak dapat blogwalking ke  blog anda buat masa ini kerana saya masih sedang bekursus.

^_^

24 October 2015

Luruskan Rambut Secara Tradisional

Assalamualaikum, 

Kini terdapat pelbagai teknologi moden untuk meluruskan rambut. Namun kekerapan meluruskan rambut boleh menyebabkan rambut rosak akibat penggunaan bahan kimia. Apa kata sesekali cuba gunakan kaedah tradisional untuk meluruskan rambut.

Luruskan Rambut Secara Tradisional

Kini anda tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar dan tidak lagi bimbang dengan bahan kimia berbahaya untuk mendapatkan rambut yang lurus. Cuba gunakan kaedah tradisional seperti berikut:

Luruskan rambut dengan telur

Campur dua biji telur dengan sedikit tepung gandum. Gaul sebati sehingga menjadi pes. Lembapkan rambut anda dengan sedikit air dan sapukan pes tadi di seluruh rambut sehingga rata. 


Sikat rambut menjadi lurus dan biarkan pes kering di rambut selama lebih kurang 30 minit. Akhirnya bilas rambut dengan air bersih. Lakukan dua kali seminggu. 


Luruskan rambut dengan santan kelapa

Perah pati santan daripada sebiji kelapa. Campurkan pati santan ini dengan sedikit perahan air limau nipis. Simpan campuran di dalam peti sejuk sehingga ia bertukar menjadi krim pekat. 


Sapukan krim santan pekat ini di kulit kepala dan seluruh rambut. Biarkan selama lebih kurang satu jam. Akhirnya bilas dengan air bersih. Lakukan tiga kali seminggu. 


Semoga perkongsian tips meluruskan rambut secara tradisional ini boleh dicuba sendiri di rumah. Lakukan secara konsisten dan pasti akan melihat perubahannya. Jika anda ada cara tradisional yang lain untuk luruskan rambut bolehlah kongsikan di sini. 

^_^

21 October 2015

Segmen Blogwalking by Mirza Syazwina

Assalamualaikum,

Sudah lama saya tidak mengikuti segmen anjuran rakan blogger. Segmen ini dianjurkan oleh Mirza Syazwina. 

Segmen Blogwalking by Mirza Syazwina

Ada hadiah misteri menanti peserta bertuah. Jom join ramai-ramai. 

 ^_^

20 October 2015

Nombor dan Kejayaan

Assalamualaikum,


Entri ini saya dapat dari rakan saya. Pernakah anda terfikir, apakah yang menyebabkan kejayaan? 

Jika:
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

bersamaan dengan:
1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26

Maka:
H+A+R+D+W+O+R+K;
8+1+18+4+23+15+18+11=98%

K+N+O+W+L+E+D+G+E;
11+14+15+23+12+5+4+7+5=96%

L+O+V+E;
12+15+22+5 = 54%

L+U+C+K ;
12+21+3+11 = 47%

Tiada Satu pun 100%. Apa yang 100%?

Wang? Tidak!
M+O+N+E+Y= 13+15+14+5+25=72%

Leadership? NO!
L+E+A+D+E+R+S+H+I+P= 12+5+1+4+5+18+19+8+9+16=97%

Setiap masalah boleh diselesaikan dengan mengubah "ATTITUDE"... (sikap ) kita.
A+T+T+I+T+U+D+E ;
1+20+20+9+20+21+4+5 = 100%

Oleh itu, ATTITUDE kita terhadap kehidupan dan pekerjaanlah yang membuat kita 100% berjaya.. 

Akan tetapi..
SAYANG ALLAH;
19+1+25+1+14+7 1+12+12+1+8 = 101%
Mengatasi semuanya..

Nota: Saya baru habis exam. InsyaAllah saya akan blogwalking ke blog anda nanti..

^_^

19 October 2015

Jom Atasi Tekanan secara Pantas

Assalamualaikum,

Tekanan bukan hanya dihadapi oleh golongan dewasa tetapi juga kanak-kanak dan remaja. Tekanan yang keterlaluan boleh menyebabkan penyakit berbahaya seperti darah tinggi dan serangan jantung. Sebaiknya segera atasi tekanan yang dihadapi agar ianya tidak berlarutan.

Atasi Tekanan secara Pantas

Kesibukan kerja pasti membuatkan anda ingin mengatasi tekanan dengan cara yang pantas. Beberapa cara mengatasi tekanan secara pantas adalah seperti berikut:

Hadapi tekanan dengan bertenang 

Pejamkan mata sambil menarik nafas dalam-dalam, tahan seketika dan lepaskan. Usah terlalu memikirkan masalah yang dialami. Jika anda beragama Islam, banyakkan beristighfar.


Hadapi tekanan dengan coklat

Ini bukan bermaksud anda bebas makan coklat sepuasnya ketika tertekan. Makan sepotong coklat dengan membiarkannya cair dalam mulut. Coklat dapat meningkatkan hormon endorfin yang mampu membuatkan rasa tenang.


Hadapi tekanan dengan muzik

Dengarlah muzik kegemaran yang menenangkan. Bagi yang beragama Islam, dengarkan alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Pasti tekanan akan berkurangan dan jiwa menjadi tenang.


Hadapi tekanan dengan aromaterapi

Aromaterapi yang sesuai untuk tekanan adalah lavender. Bau lavender yang segar pasti dapat menenangkan fikiran sekaligus meredakan tekanan yang dihadapi.


Hadapi tekanan dengan senaman

Lakukan senaman ringan dengan menggerakkan anggota badan. Senaman dapat melancarkan peredaran darah dari jantung ke seluruh anggota badan dan otak sekaligus menenangkan fikiran. 


Oleh itu, jangan cepat melatah sekiranya diuji dengan pelbagai masalah dan dugaan. Sebaiknya berfikirlah secara rasional ketika sedang tertekan dan elakkan bertindak secara negatif. Hanya anda yang mampu mengawal tekanan yang dihadapi.

^_^ 

18 October 2015

Kisah Lawak Kahwin

Assalamualaikum, 

Perkahwinan adalah penyatuan dua hati dan perkongsian suka duka. Kali ini saya akan kongsikan beberapa kisah lawak berkaitan kahwin. Kisah ini selalu terjadi di awal, pertengahan dan penghujung perkahwinan.

Kisah Lawak Kahwin

Kisah 1 : Dapat anak

Awal Perkahwinan
Isteri : "Ayang mengandung.."
Suami : "Tak sabar abang nak tengok anak kita nanti.."


Pertengahan Perkahwinan
Isteri : "Abang tolong buatkan susu untuk anak.."
Suami : "Abang mengantuk.. Ayang tolong buatkan la.."


Penghujung Perkahwinan
Isteri : "Cuba abang tegur perangai anak kita tu.."
Suami : "Eh.. Anak awakkan.. Mesti la ikut perangai maknya.."


Kisah 2 : Tolong isteri

Awal Perkahwinan
Isteri : "Ayang masak, abang tolong kemas rumah ye.."
Suami : "OK.. Demi ayang boleh saja."


Pertengahan Perkahwinan
Isteri : "Ayang masak, abang tolong kemas rumah ye.."
Suami : "Saya penat, awak ajelah yang buat.."


Penghujung Perkahwinan
Isteri : "Ayang masak, abang tolong kemas rumah ye.."
Suami : "Apa kata awak masak, awak kemas dan awak buat semuanya.. Saya nak keluar dengan maid baru kita.."


Kisah 3 : Pergi shopping

Awal Perkahwinan

Isteri : "Jom kita pergi shopping.."
Suami : "Jom.. Mesti ayang bosan duduk di rumah.."


Pertengahan Perkahwinan
Isteri : "Jom kita pergi shopping"
Suami : "Abang penat la.. Ayang pergi sendiri ya.. Drive la sendiri atau naik LRT ke, teksi ke.."


Penghujung Perkahwinan
Isteri : "Jom kita pergi shopping"
Suami : "Apa shopping moping


Kisah 4 : Isteri tak pandai masak

Awal Perkahwinan

Isteri : "Ayang tak pandai masak.."
Suami : "Takpe ayang, biar abang tolong masakkan.."


Pertengahan Perkahwinan
Isteri : "Ayang tak pandai masak.."
Suami : "Awak masak je apa-apa pun.."


Penghujung Perkahwinan
Isteri : "Ayang tak pandai masak.."
Suami : "Apa kata awak bakar je dapur tu.." 


Kisah 5 : Hari jadi isteri

Awal Perkahwinan

Isteri : "Abang nak bagi hadiah apa sempena hari jadi ayang?"
Suami : "Apa yang ayang inginkan abang akan bagi.."


Pertengahan Perkahwinan
Isteri : "Abang nak bagi hadiah apa sempena hari jadi ayang?"
Suami : "Tiap-tiap tahun saya bagi awak hadiah.. Tak cukup lagi ke?"


Penghujung Perkahwinan
Isteri : "Abang nak bagi hadiah apa sempena hari jadi ayang?"
Suami : "Hadiah kompang nak tak?"


Entri ini sekadar suka-suka sahaja, jadi jangan ambil serius. Realitinya seharusnya suami isteri saling melengkapi antara satu sama lain dan bertoleransi bagi mengekalkan kebahagiaan rumahtangga yang dibina.

Diolah dari sumber ikahwin.com

Boleh juga membaca:

^_^

17 October 2015

Kenapa Air Laut Bewarna Biru?

Assalamualaikum, 

Air laut terdiri daripada pelbagai garam dan mineral seperti klorida, natrium, kalium, magnesium, sulfat dan kalsium. Hampir 70% daripada permukaan bumi diliputi oleh air laut. Lazimnya kita akan melihat air laut bewarna biru pada pandangan mata.

Kenapa Air Laut Bewarna Biru


Tahukah anda kenapa air laut bewarna biru?
Air laut bewarna biru kerana laut yang bertentangan dengan langit menjadikan air laut bewarna biru. Warna biru terhasil akibat pantulan  gelombang panjang sinar ultraviolet. Jika diperhatikan, air laut kelihatan bewarna biru di bahagian tengah lautan. Namun apabila kita menghampirinya, ia sebenarnya bewarna putih jernih.

Laut menyediakan habitat untuk pelbagai haiwan dan tumbuhan akuatik seperti ikan, mikroorganisma, alga dan banyak lagi. Ianya juga membekalkan sumber makanan untuk manusia seperti ikan, udang, sotong rumpai laut dan pelbagai lagi jenis makanan.

Oleh itu, bersyukurlah dengan nikmat kurniaan Allah SWT dengan cara menjaga kebersihan alam sekitar dan mengelakkan pencemaran di lautan dan daratan. Khazanah ini seharusnya dipelihara agar ianya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang. 

^ _^

15 October 2015

Turunkan Berat Badan dengan Serat

Assalamualaikum,

Serat adalah nutrien yang murah dan mudah didapati dari sumber buah-buahan, sayur-sayuran dan beberapa jenis bijirin. Tahukah anda, serat dapat membantu melawaskan proses pencernaan dan mengelakkan sembelit?


Kepada anda yang ingin menurunkan berat badan juga boleh mengambil makanan berserat kerana ia memberi rasa kenyang yang lebih lama dan sekaligus mengurangkan keinginan anda untuk makan dengan lebih banyak.

Beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat adalah seperti limau, epal, pisang, pear, lobak merah, brokoli, prun dan kekacang. Serat juga boleh didapati dalam bijirin seperti oat, gandum, jagung dan roti.

Oleh itu, amalkan pengambilan serat yang mencukupi bagi melancarkan sistem pencernaan. Jadikan amalan makan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai rutin anda. Apabila sistem penghadaman baik, pasti tubuh menjadi sihat dan sekaligus langsing.

^_^

14 October 2015

Salam Maal Hijrah 1437

Assalamualaikum,

Hijrah Rasulullah saw dan para sahabat dari kota Mekah ke kota Madinah merupakan pembinaan langkah baru bagi menghadapi cabaran yang mendatang. Umat Islam terdahulu telah berjihad secara habis-habisan dan mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia. 

Salam Maal Hijrah

Hijrah pada masa kini meliputi pelbagai aspek seperti menuntut ilmu, berdakwah, berjihad, mencari nafkah dan pelbagai lagi. Kini tiba giliran kita untuk memberi sumbangan kepada agama Islam agar ianya terus berkembang dan dihormati. 

Untuk terus maju, umat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya berserah nasib kepada takdir semata-mata. Mereka harus memiliki kekuatan spiritual, fizikal, moral dan daya cipta. Umat Islam wajib menuntut ilmu bagi memajukan diri mereka sendiri. 

Setiap umat Islam harus menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan sanggup berkorban demi mencapai cita-cita. Mereka juga perlu memperkukuhkan kekuatan akidah, fizikal dan material diri masing-masing bagi melahirkan umat Islam yang soleh dan seimbang. 

Oleh itu, jika umat Islam terdahulu boleh melangkah maju, mengapa kita tidak boleh. Sesungguhnya Maal Hijrah merupakan satu permulaan yang sesuai untuk kita terus melangkah maju ke hadapan. Salam Maal Hijrah saya ucapkan kepada semua. 

 ^_^

13 October 2015

Kenapa Nyawa Jadi Pertaruhan?

Assalamualaikum, 

Saya tertarik untuk menulis mengenai tajuk ini apabila saban hari melalui kawasan berkenaan ketika menghantar adik saya pergi bekerja. Pasti saya akan melihat situasi yang sama. Di susur masuk ke tempat kerja adik saya terdapat jalan sehala yang agak sempit.


Namun ada penunggang motosikal yang berani mempertaruhkan nyawa melawan arus untuk keluar melalui susur masuk itu. Sedangkan ketika itu kenderaan seperti kereta dan bas silih-berganti masuk ke situ. Setiap kali melihat motosikal melawan arus pasti jantung saya akan berdegup kencang. 

Sebelum ini sudah berlaku kemalangan melibatkan motosikal dan kereta di tempat berkenaan. Penunggang motosikal (suami dan isteri) telah meninggal dunia ketika bertembung dengan sebuah kereta. Ngeri sungguh kemalangan itu kerana kesan darah masih kelihatan di atas jalan raya selepas beberapa hari kemalangan itu berlaku. 

Persoalannya, kenapa sanggup mereka mempertaruhkan nyawa semata-mata ingin cepat? Tidakkah mereka terfikir perbuatan mereka mengundang bahaya? Bukan sahaja bahaya kepada mereka, tetapi juga pemandu lain yang mungkin tidak sempat mengelak. 

 ^_^

12 October 2015

10 Jangan yang Perlu dihindari

Assalamualaikum, 

Sejak dari kecil lagi kebanyakan ibu bapa akan menyebut perkataan jangan apabila anaknya membuat sesuatu perkara yang tidak baik. Ini menunjukkan betapa besarnya kesan perkataan jangan bagi menidakkan sesuatu perkara atau perbuatan. 

Jangan

Namun dalam bebarapa hal, perkataan jangan harus dihindari seperti berikut:
  1. Jangan menunggu kaya untuk bersedekah, sebaliknya bersedekahlah dan pasti anda akan semakin kaya.
  2. Jangan menunggu bahagia untuk tersenyum, sebaliknya tersenyumlah dan pasti anda akan berasa bahagia. 
  3. Jangan menunggu contoh untuk anda bergerak mengikutinya, sebaliknya bergeraklah dan pasti anda akan menjadi contoh untuk diikuti. 
  4. Jangan menunggu kejayaan untuk bersyukur, sebaliknya bersyukurlah dan pasti akan bertambah kejayaan anda. 
  5. Jangan menunggu untuk dicintai, sebaliknya belajarlah untuk mencintai dan pasti anda akan dicintai. 
  6. Jangan menunggu kaya untuk hidup tenang, sebaliknya hiduplah tenang dan pasti rezeki serta kekayaan akan datang.
  7. Jangan menunggu untuk membiasakan diri melakukan sesuatu, sebaliknya biasakan diri untuk melakukannya dan pasti anda akan terbiasa. 
  8. Jangan menunggu orang mempedulikan diri kita, sebaliknya pedulikan orang terlebih dahulu dan pasti anda akan dipedulikan. 
  9. Jangan menunggu termotivasi untuk kita berubah, sebaliknya berubahlah dan pasti anda akan termotivasi. 
  10. Jangan menunggu ada kerja baru bekerja, sebaliknya bekerjalah dan barulah anda ada kerja. 
Kesimpulannya bertindaklah secara proaktif di dalam memulakan sesuatu perkara yang baik dan positif. Mulakan langkah perubahan tanpa mengharapkan orang lain. Oleh itu, hindari 10 jangan seperti di atas untuk terus maju ke hadapan. 

^_^

10 October 2015

Pencuri Punya Pasal

Assalamualaikum,

Peristiwa ini terjadi ketika saya sekeluarga pulang ke kampung melalui jalan lama (bukan lebuh raya). Kebiasaannya kami akan singgah di surau atau masjid berhampiran untuk menunaikan solat. 


Saya memandu menyusuri jalan raya dan ternampak papan tanda menunjukkan masjid. Saya bercadang untuk berhenti solat di masjid berkenaan memandangkan jam sudah menghampiri 2.30 petang.

Namun yang menimbulkan persoalan apabila mendapati pintu pagar masjid dikunci dengan mangga. Kebetulan seorang pakcik melalui kawasan itu dan saya segera bertanya, "Assalamualaikum pakcik, kenapa dikunci pintu pagar masjid?".

"Waalaikummusalam, kat sini selalu berlaku kecurian tabung masjid. Sebab itu AJK masjid terpaksa mengunci pintu pagar setiap kali selesai menunaikan solat fardhu berjemaah," baru saya faham setelah pakcik itu menjelaskan.

Nampaknya kes kecurian di surau atau masjid semakin berleluasa sehingga sukar dibendung. Walaupun dipasang CCTV sekalipun, pencuri masih berani untuk mencuri atau melakukan jenayah.

*Nota: Jika pencuri berkenaan sedar Allah swt melihat apa yang dia lakukan, pasti dia tidak berani mencuri atau melakukan jenayah lain.

 ^_^

08 October 2015

Petua Elak Ikan Goreng Melekat pada Kuali

Assalamualaikum, 

Ikan goreng adalah menu yang ringkas dan cepat disediakan. Namun ada masanya ikan yang digoreng akan melekat pada kuali dan akhirnya menjadi hancur apabila dibalikkan.

Elak Ikan Melekat Pada Kuali

Pada kali ini saya akan kongsikan beberapa petua mengelak ikan yang digoreng melekat pada kuali seperti berikut:

Kuali bersih elak ikan melekat pada kuali

Pastikan kuali yang digunakan untuk menggoreng ikan dibasuh bersih. Jika terdapat sisa masakan pada kuali, ia akan hangit apabila kuali dipanaskan dan seterusnya menyebabkan ikan melekat padanya. 


Minyak panas elak ikan melekat pada kuali

Pastikan minyak masak benar-benar panas sebelum ikan digoreng. Ikan mudah melekat pada kuali yang minyak tidak cukup panas. 


Asam keping elak ikan melekat pada kuali

Panaskan minyak masak dan masukkan dua keping asam keping ke dalamnya. Apabila minyak cukup panas, goreng ikan seperti biasa. Asam keping boleh dikeluarkan atau dibiarkan sahaja. 


Garam elak ikan melekat pada kuali

Ketika memanaskan minyak masak di dalam kuali, taburkan sedikit garam halus. Setelah minyak benar-benar panas, goreng ikan seperti biasa. 


Hampas kelapa elak ikan melekat pada kuali

Kuali baru mungkin juga menyebabkan ikan goreng melekat. Sebelum kuali digunakan, goreng sedikit hampas kelapa sehingga kekuningan. Kemudian basuh kuali sehingga bersih dan bolehlah menggoreng ikan seperti biasa. 


Diharap perkongsian ini dapat menyelesaikan masalah ikan digoreng melekat pada kuali. Jika anda ada petua mengelak ikan goreng melekat di kuali yang lain boleh kongsikan di sini. 

^_^