17 January 2016

Tukar Side Mirror Kereta Viva

Sudah lama saya tidak bercerita mengenai kereta Viva saya. Kini adik saya menggunakan kereta berkenaan untuk ke tempat kerjanya. Baru-baru ini side mirror sebelah tempat duduk pemandu telah longgar. Saya tidak pasti kenapa ianya terjadi. Apa yang pasti ianya perlu dibaiki dengan segera kerana adik saya perlu menggunakan kereta itu untuk ke tempat kerjanya.

Tukar Side Mirror Kereta Viva
Pekerja kedai aksesori kereta sedang memasang side mirror kereta
Saya segera menelefon Perodua Bandar Tun Razak, mereka memaklumkan harga satu side mirror RM377.80 (termasuk GST) dan tambahan kos sebanyak RM80.00 untuk upah pasang. Jika saya bersetuju, mereka perlu membuat pesanan dan stok akan sampai dalam masa dua minggu. 

Saya merasakan harga berkenaan di luar kemampuan saya dan masa menunggu dua minggu adalah terlalu lama. Saya juga bertanya beberapa buah kedai aksesori kereta di sekitar Cheras namun harganya antara RM300.00-350.00. 
Tukar Side Mirror Kereta Viva
Jumlah harga RM150.00
Akhirnya seorang rakan mencadangkan sebuah kedai aksesori kereta di Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Setelah bertanya, harganya hanya RM150.00 termasuk GST dan kos pemasangan. Saya bersetuju dengan harga berkenaan dan kebetulan ketika itu stok ada. Tidak sampai setengah jam mereka siap memasangnya. 

Nota: Rakan saya memaklumkan, side mirror berkenaan bukan original. Namun saya berpuas hati setakat ini kerana tiada bezanya dengan yang original. 

^_^

11 January 2016

Petua Segarkan Buah dan Sayur

Assalamualaikum,

Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan tubuh anda. Namun ada masanya buah dan sayur yang disimpan menjadi kurang segar untuk dimakan.


Sebelum ini saya pernah kongsikan mengenai manfaat buah. Beberapa jenis sayur dan buah boleh dikembalikan kesegarannya adalah seperti berikut:

1. Segarkan epal

Epal yang dipotong mudah berubah warna coklat seperti telah rosak. Rendamkan buah epal yang telah dipotong di dalam mangkuk berisi air sejuk yang dicampur sedikit garam. Pasti epal yang dipotong tetap segar dan tidak berubah warna.


2. Segarkan jagung

Jagung yang disimpan dalam plastik mungkin kurang manis apabila dimasak. Rendam jagung dalam air dingin selama sejam dan simpan dalam peti sejuk. Apabila hendak memasaknya, masak dengan api besar supaya jagung cepat masak dan rasa manisnya tidak hilang. 


3. Segarkan tomato

Buah tomato yang terlalu masak akan menjadi lembik dan kelihatan tidak segar. Rendamkan tomato di dalam air sejuk yang dicampur sedikit garam. Kemudian simpan di dalam peti sejuk semalaman. Anda akan mendapati tomato kembali segar.


4. Segarkan tauge

Campurkan perahan limau nipis di dalam air rendaman tauge. Simpan di dalam peti sejuk dan tauge akan segar walau disimpan lama. Namun jangan lupa untuk menukar air rendaman pada setiap hari. 


5. Segarkan brokoli

Brokoli yang disimpan akan berubah menjadi warna kekuningan. Untuk menyegarkannya kembali, rendam brokoli di dalam mangkuk berisi air sejuk selama sejam. Brokoli akan kembali hijau dan segar. 


Oleh itu, anda masih boleh menikmati buah dan sayur segar tanpa perlu membeli yang baharu. Namun perlu dipastikan buah dan sayur tidak busuk kerana nutrien di dalamnya akan berkurangan dan mungkin menyebabkan keracunan makanan.

Nota: Jika anda ada petua segarkan buah dan sayur yang lain, boleh kongsikan di sini.. 

^_^

08 January 2016

Pengalaman ke IKEA Cheras

Entri ini sudah lama terperam dalam deraf. Saya berkesempatan ke IKEA Cheras pada Disember lalu. Sebelum itu saya pernah mencuba pergi ketika minggu pertama pembukaannya, namun saya tidak sanggup menghadapi kesesakan lalulintas yang luar biasa dan berpatah balik ke rumah.

IKEA Cheras
Kebetulan pada hari yang lain saya bercuti pada hari kerja (saya bekerja syif tidak semestinya bercuti pada hari Sabtu atau Ahad). Kesempatan itu saya gunakan untuk mencuci mata melihat barangan di IKEA Cheras

Tempat meletak kereta selesa dan banyak
Pelbagai pilihan permaidani
Untuk bilik anak-anak
Pelbagai pilihan cadar dan bantal
Dekorasi bilik air yang menarik
Variasi tempat menggantung baju
Pelbagai pilihan pokok dan tumbuhan luar rumah
Tuliskan nombor rak dan boleh cari sendiri barangan di rak
Secara keseluruhannya kemudahan yang disediakan di IKEA Cheras adalah selesa dan sesuai kepada semua golongan pelanggan. Bagi anda yang suka mendeko rumah sendiri bolehlah berkunjung ke IKEA kerana terdapat pelbagai pilihan dengan harga yang berpatutan.

^_^