10 May 2011

Kisah Teladan : Hargai Dirimu

Assalamualaikum, 

Pada zaman dahulu tinggal seorang nenek tua di sebuah rumah usang di hujung kampung. Rutin harian nenek tua adalah bercucuk tanam sayur-sayuran. Setiap hari nenek tua akan menyiram tanamannya dengan menggunakan air perigi. 

Hargai Dirimu
Kisah Teladan : Hargai Dirimu (Gambar hiasan) - gauravschimar.com
Dua buah baldi digunakan untuk menyiram pokok-pokok itu. Kedua-dua baldi itu diisi penuh dengan air dan diikat pada hujung sebatang kayu untuk dibawa ke tempat tanaman. Sebuah baldi baru manakala satu lagi baldi buruk. 

Pada suatu petang, kedua-dua baldi berbual-bual. 

Baldi baru : "Bertuahnya aku kerana masih baru dan telah berjasa kepada nenek tua. Kamu itu sudah buruk dan bocor pula. Membazir sahaja air yang diisi ke dalam mu keluar di sepanjang jalan menuju ke pokok tanaman."

Baldi baru bermegah dengan kelebihannya. Betapa sedihnya baldi buruk dihina begitu. 

Baldi buruk : "Mungkin benar kata-katamu. Tapi apa dayaku. Sudah nasib rupaku begini."

Lantas baldi buruk meluahkan perasaannya kepada nenek tua.

Baldi buruk : "Aku berasa sedih kerana tidak mampu berbakti kepada nenek sebagaimana  baldi baru lakukan. Aku sudah tua dan bocor pula. Setiap kali nenek mengangkut aku melalui denai-denai, air menitis di sepanjang jalan. Apabila tiba di pokok tanaman, air di dalamku tinggal sedikit". 

Nenek tua : "Jika kau perasan, sengaja aku tanam pokok bunga di sepanjang jalan kerana setiap kali dirimu kubawa, kau akan menyirami pokok bunga itu. Bunga itu hidup subur dan menjadi cantik dan wangi. Sebenarnya kau juga telah berbakti kepadaku"

Betapa terharunya baldi buruk mendengar kata-kata nenek tua. 

* Moral : Allah SWT telah menciptakan setiap hamba-Nya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Oleh itu, jangan pernah merasakan diri kita tidak berguna dan hargai dirimu. 

Kisah Teladan Lain:

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi komen.. ^_^