29 December 2012

Jom Buat Durian Crepe

Assalamualaikum,

Semenjak dua menjak ni macam-macam produk dihasilkan dari inovasi buah durian. Keropok, ais krim dan cucur perisa durian memang dah lama orang buat. Tapi baru-baru ni ada produk baru iaitu durian goreng dan  durian crepe. Durian crepe begitu popular dan mendapat permintaan tinggi. 

Aku nak share resipi durian crepe yang aku dapat dari kawan baik aku jugak. 

Durian Crepe hijau
Bahan-bahan Crepe:
250 gm tepung gandum
3 biji telur
500 ml santan
1 sudu teh esen pandan
1 sudu teh pewarna hijau atau kuning

Cara Membuat Crepe:
  1. Semua bahan disatukan dalam mangkuk dan digaul.
  2. Kisar sehingga halus dan tapis.
  3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. 
  4. Tuangkan 1 senduk adunan (nipis). Ia tak perlu dibalikkan.
  5. Ulangi langkah 4 sehingga habis. 

Bahan-bahan Filing:
Isi durian secukupnya - diasingkan dari biji dan dilumatkan sedikit
1 cawan non dairy whipping cream

Cara Membuat Filing:
  1. Pukul whipping cream dalam mixer sehingga kental. 

Cara Membungkus Crepe: 
  1. Letakkan sekeping crepe di atas dulang. 
  2. Letakkan whipping cream di atasnya.
  3. Kemudian letakkan isi durian di atasnya.
  4. Tutup semula dengan whipping cream.
  5. Lipat crepe.
  6. Ulangi langkah 1 hingga 5 sehingga semua kepingan crepe habis.
  7. Sejukkan dalam peti sejuk dan sedia untuk dimakan. 
Selamat mencuba..

Entri Lain Berkaitan:

22 December 2012

Jom Balik Kampung Makan Durian

Assalamualaikum,

Akhirnya dapat pulang ke kampung untuk makan durian fresh. Aku sekeluarga berkampung di rumah opah aku. Aku sampai kat rumah opah aku je dah banyak kereta mak saudara dan sepupu aku. Kami tak berjanji pun nak balik sama, macam ada gerak hati je nak serang dusun durian sama-sama.. 

Perjalanan ke dusun durian perlu mendaki bukit. Nasib baik ada jalan bertar walaupun sempit, bolehlah kereta viva aku yang comel ni mendaki. Misi memungut buah durian diteruskan dengan jayanya. Best dapat makan sepuas-puasnya. Finally satu bonet kereta aku dipenuhi dengan buah durian.

Satu bonet durian
Sepanjang perjalanan balik ke KL tu memang kelemasan juga dengan bau yang semerbak. Sesekali kena buka tingkap kereta sekejap untuk naturalkan balik udara. Sebelum balik aku ada petik daun pandan untuk nyah bau durian kat dalam kereta setelah sampai nanti. 

Entri Lain:

10 December 2012

Saya Sayang Awak

Assalamualaikum,

Kesedihan akibat kehilangan orang tersayang pasti pernah dirasai oleh setiap insan. Namun, pernahkah kita menghargai orang yang tersayang ketika dia masih ada? Tidak semua orang tahu erti sebuah PENGHARGAAN.. Ianya dianggap perkara remeh dan sering diambil mudah. 

Sebenarnya penghargaan lebih tinggi nilainya jika dibandingkan dengan wang ringgit dan emas permata. Cuba ingat semula, berapa kali kita berbual dengan ahli keluarga kita setiap hari atau kita memuji mereka? Ternyata hari-hari yang penuh kesibukan membuatkan kita lupa menghargai mereka. 


Kita selalu menyangka penghargaan itu materialistik. Tapi sebenarnya ianya lebih dari itu, ianya satu perasaan dalaman untuk mengasihi dan memberi. Adakalanya kita tidak menghargai apa yang berada di depan mata kita sehinggalah kita kehilangannya. 

Oleh itu, hargailah orang yang disayangi dengan kata-kata yang lembut. Sekurang-kurangnya, ucapkanlah "Saya sayang awak" dan luangkanlah masa bersama walaupun seketika. Jangan sampai kita kehilangan orang yang kita SAYANG. Menangis air mata darah sekalipun, ia pasti tidak akan kembali. 

30 November 2012

Testimoni Alpha Lipid SDII

Assalamualaikum,

Alpha Lipid SDII
Alpha Lipid SDII
Aku nak share pengalaman aku sendiri menggunakan Alpha Lipid SDII. Kakak aku yang memperkenalkan produk ni kepada aku sebab dia jadi ahli. Harga yang aku beli dengan kakak aku satu tin RM160.00. Perisa  Alpha Lipid SDII tu vanila. Satu tin mengandungi 420 gm.

Cara minumnya mudah saja hanya minum 4 kali sehari iaitu pagi, tengahari, petang dan malam. Tapi aku hanya minum 3 kali sehari je sebab rutin harian yang sibuk. Aku minum pada waktu pagi, tengahari dan malam je. Hanya campurkan 2 sudu (sudu telah tersedia dalam tin) dan shake bersama air yang telah didinginkan dalam peti sejuk. Memang sedap dan segar rasanya.

Cara pemakanan plak perlu elakkan makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mee, bihun, kentang, roti, gula, buah-buahan dan makanan yang sama jenis dengannya. Hanya boleh makan makanan berprotein iaitu ikan, ayam, telur, daging, udang dan semua jenis sayur hijau. Senaman ringan juga digalakkan. Hanya 20 gm atau kurang karbohidrat yang boleh diambil setiap hari.

Hasilnya aku rasa badan aku lebih bertenaga. Nak solat pun rasa selesa sebab kaki dah tak rasa lenguh. Berat badan aku sebelum mengambil Alpha Lipid SDII 75kg. Ianya turun kepada 68kg setelah 3 tin aku habiskan. Jangkamasa aku mula ambil pada 1 November 2012 dan habis pada 28 November 2012. Aku hanya mengamalkan senaman secara tarian selama 15-20 minit setiap hari.

Memang tak dinafikan, ianya berkesan terhadap badan aku. Namun, jika diperhatikan corak pemakanan yang digunakan untuk diet ni sebenarnya sama seperti Diet Atkins (klik sini) yang diperkenalkan oleh Dr. Robert C.Atkins. Diet Atkins adalah pemakanan dengan melebihkan protein dan ianya membantu seseorang individu untuk mengurangkan berat badan melalui konsep pembakaran karbohidrat dan lemak dalam badan.

16 November 2012

Langgani Broadband Celcom Prepaid

Sebelum ini saya menggunakan internet Celcom Postpaid RM68.00 sebulan. Kini saya menggunakan  internet Celcom prepaid kerana ia fleksibel dan bebas untuk tambah nilai pada bila-bila masa. Dengan penggunaan prepaid juga saya tidak terikat dengan sebarang komitmen.

Topup Broadband Celcom Prepaid


Dengan pelan internet Celcom prepaid, anda juga boleh melanggan pelan internet mengikut bajet dan keperluan. Pelan yang ditawarkan adalah seperti berikut:

  1. Bulanan RM58 - 4GB
  2. Bulanan RM38 - 2GB
  3. Bulanan RM25 - 1GB
  4. Mingguan RM10 - 500MB
  5. Harian RM5 - 300MB

Cara Topup Broadband Celcom Prepaid sila klik di bawah: 

30 July 2012

Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M)

Assalamualaikum,

Logo SL1M
Aku nak kongsikan satu program yang telah dilancarkan oleh pihak Kerajaan Malaysia khusus untuk graduan lepasan ijazah yang baru tamat pengajian atau masih belum mendapat pekerjaan. 

Program yang dimaksudkan adalah Program Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M). Objektif  program ini adalah untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran (employability) atau keupayaan graduan untuk mendapat pekerjaan.

Kerajaan telah memutuskan untuk memperluaskan program ini sebagai program SL1M melalui penglibatan Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan pihak swasta secara corporate social responsibility (CSR). Untuk maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan dan borang permohonan dalam program ini, anda bolehlah melayari Laman Web Unit Perancang Ekonomi (EPU) - http://www.epu.gov.my/sl1m_about. 

04 January 2012

Makanan untuk Rambut Kusam

Assalamualaikum,

Rambut adalah mahkota kepada setiap wanita. Memiliki rambut yang sihat serta cantik berkilau pasti menjadi idaman setiap wanita. 


Selain daripada penjagaan luaran, tabiat pemakanan seimbang serta nutrien penting akan menghasilkan rambut yang sihat. Berikut nutrien-nutrien penting yang diperlukan oleh rambut anda:

1) Besi
Fungsi : Membawa oksigen yang mencukupi ke rambut. Kekurangan zat besi mengakibatkan kekurangan oksigen pada rambut dan ubun-ubun.
Sumber makanan : Daging merah dan sayuran berdaun gelap.

2) Zink
Fungsi : Mencegah rambut gugur dan membantu membina protein rambut.
Sumber makanan : Daging dan makanan laut.

3) Tembaga
Fungsi : Diperlukan dalam proses pigmentasi rambut sehingga rambut akan bewarna semulajadi.
Sumber makanan : Kerang-kerangan, hati, sayur-sayuran segar, kekacang dan daging.

4) Vitamin A
Fungsi : Mencegah keguguran rambut.
Sumber makanan : Buah-buahan dan sayur-sayuran seperti lobak dan contaloupe.

5) Protein
Fungsi : Membina blok rambut.
Sumber makanan : Daging dan makanan laut.

6) Vitamin B dan Vitamin C
Fungsi : Melancarkan peredaran darah serta menguatkan rambut. Pertumbuhan rambut menjadi lebih baik dan setiap helaian rambut menjadi lembut, tidak terputus serta warna tidak kusam. 
Sumber makanan : Buah-buahan sitrus seperti lemon, limau dan strawberi kaya dengan vitamin C serta sayur-sayuran berdaun gelap. 

7) Vitamin E
Fungsi : Merupakan antioksida yang menghasilkan kulit yang sihat dan membaiki jaringan kulit yang baik untuk pertumbuhan rambut. 
Sumber makanan : Minyak sayur kekacang dan hati.

8) Asid lemak dan air
Fungsi : Rambut memerlukan nutrien asid lemak dan air mencukupi untuk pertumbuhan yang baik.
Sumber makanan : Asid lemak Omega 3 dari ikan Salmon dan Tuna.

03 January 2012

Tips Atasi Malas

Assalamualaikum,

Perasaan malas adalah sesuatu yang normal dan pasti pernah dirasai oleh setiap orang tidak kira seorang pelajar, pekerja mahupun seorang suri rumah. Adakalanya perasaan itu akan mengganggu prestasi kerja kita jika ianya berlarutan untuk tempoh masa yang lama. 


Bagaimana untuk mengatasi perasaan malas?
  • Amalkan senaman dan pemakanan yang seimbang. Dapatkan rehat dan tidur yang cukup. Semuanya bermula dengan tenaga fizikal anda. 
  • Selalu ingatkan diri kita kenapa harus bekerja. Jadikan sasaran hidup dan impian anda sebagai sumber inspirasi yang seterusnya membangkitkan motivasi untuk menjadi rajin. 
Apa yang perlu dilakukan jika anda rasa malas untuk melakukan segalanya?
  • Senaraikan semua tugasan yang perlu diselesaikan. Pastikan otak bersih dari segala kekusutan.
  • Rancang jadual kerja dan tentukan apa tugasan yang perlu diselesaikan. Rancangan haruslah realistik.
  • Laksanakan tugasan yang dirancang tanpa bertangguh lagi. Mulakan dari tugasan yang mudah sebagai motivasi  untuk melaksanakan tugas yang lain. 
Sekiranya langkah-langkah di atas tidak berkesan, berkemungkinan perasaan malas terlalu mendalam dalam diri anda. Adakalanya perasaan malas itu diakibatkan oleh tekanan perasaan. Jika tertekan, cuba kongsikan perasaan itu dengan seseorang yang dipercayai. Yang paling penting, pastikan perasaan anda sentiasa positif melalui beribadat atau membaca bahan-bahan motivasi. 

02 January 2012

Kuruskan Badan Tanpa Ubat

Assalamualaikum,

Pengambilan ubat untuk menguruskan badan tentunya merbahaya kepada kesihatan kita. Tambahan pula kebanyakan lambakan ubat yang terdapat di pasaran tidak mendapat pengiktirafan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kuruskan Badan Tanpa Ubat
Kuruskan Badan Tanpa Ubat (Gambar hiasan) - herbalpelangsing.com
Sebelum ini telah dibincang mengenai kenapa perlu kurus. Kali ini akan dibincangkan mengenai cara untuk kuruskan badan tanpa ubat. Beberapa tips kuruskan badan tanpa ubat adalah seperti berikut:
1) Sediakan diari khas untuk kuruskan badan
Rekodkan dalam diari mengenai kekerapan dan kuantiti anda makan, tahap kelaparan yang memerlukan anda makan, dan perasaan ketika makan. Setelah beberapa lama membuat catatan, perhati dan kenal pasti untuk memperbaiki tabiat pemakanan yang sihat. Diari ini juga boleh membuatkan anda lebih fokus dan lebih komited terhadap pelan diet anda. 

2) Setkan dalam minda keinginan kuruskan badan
Harus diingat, anda akan menggunakan tubuh anda sehingga hari tua, oleh itu adalah penting untuk anda mengekalkan kesihatannya agar dapat terus bertahan. Ramai orang lebih berjaya menurunkan berat badan dalam jangka masa panjang apabila mereka setkan dalam minda tujuan utama untuk kurus adalah untuk kekal sihat dan cergas. 

3) Makan secara tetap mengikut jadual untuk kuruskan badan
Makanlah secara tetap dalam kuantiti yang sedikit tetapi mengikut jadual (kerap). Pengurangan pengambilan makanan secara drastik akan menyebabkan tubuh kita terkejut dan seterusnya otot dalam tubuh akan dibakar bagi menggantikan makanan. Akibatnya kadar metabolisma tubuh akan menurun dan kita akan makan dengan lebih banyak. 

4) Usah abaikan sarapan pagi untuk kuruskan badan
Pengambilan sarapan pagi adalah penting kerana ianya menstabilkan paras hormon dan gula dalam darah. Sarapan pagi juga menyebabkan kadar metabolisma meningkat untuk membakar kalori. Ambil semangkuk bijirin penuh kerana ia membekalkan sumber tenaga kepada tubuh kita. 

5) Kawal kuantiti makanan untuk kuruskan badan
Gunakan pinggan bersaiz kecil dan rata ketika mengambil makanan. Penuhkan sayur terlebih dahulu dan seterusnya sedikit nasi dan lauk pauk. Elakkan makan sambil menonton tv kerana anda tidak akan perasan kuantiti makanan yang diambil. 

6) Nikmatilah makanan untuk kuruskan badan
Amalkan makan secara perlahan-lahan dan jangan gelojoh. Kunyahlah makanan kepada cebisan kecil sebelum menelannya untuk memudahkan sistem penghadaman. Tubuh akan menghantar isyarat kepuasan ke otak sekiranya makanan dinikmati. 

7) Amalkan minum kosong untuk kuruskan badan
Sifat semulajadi air sebagai agen pembersih dalam tubuh. Air menyahtoksin segala kekotoran dari badan. Amalan meminum sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong setiap hari. 

8) Kurangkan pengambilan berikut untuk kuruskan badan: 
   a) Garam
Kandungan garam yang tinggi dalam badan menyebabkan badan air memerlukan banyak air dan akibatnya banyak air berkumpul dalam tubuh kita. Oleh itu, pengurangan makanan bergaram akan mengurangkan berat kita yang disebabkan pengumpulan air. 

   b) Gula
Penggunaan gula dalam makanan dan minuman perlu dikawal. Tahukah anda satu sudu teh gula mengandungi sehingga 32 kilo kalori. Kurangkan manis dalam makanan serta minuman, lebihkan manis dalam senyuman. Elakkan meminum minuman bergas kerana kandungan gulanya sangat tinggi. Tahukah anda, kandungan dalam 1 tin (435 ml) minuman bergas mengandungi 9 sudu teh gula? Ianya sangat tidak baik untuk diet anda. 

   c) Lemak dan penambah perisa
Makanan berlemak perlu dikurangkan di dalam memastikan diet anda berjaya. Pilihlah ikan jika dibandingkan dengan ayam. Sekiranya memilih ayam, buang lemak dan kulit terlebih dahulu sebelum ianya dimasak. Snek ringan yang sememangnya kaya dengan penambah perisa juga perlu dikurangkan pengambilannya. Penggunaan minyak dan marjerin juga perlu dikurangkan dalam masakan dan makanan anda. 

9) Ubah cara memasak untuk kuruskan badan
Lupakan kaedah menggoreng dengan minyak masak. Sebaliknya tukar kepada kaedah merebus, mengukus dan membakar. 

10) Jadikan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai snek untuk kuruskan badan
Buah dan sayur tinggi kandungan vitamin serta mineral dan rendah lemak. Jika berasa lapar, amalkan mengudap buah-buahan. Misalnya potong kiub buah betik dan simpan dalam peti ais. Apabila berasa lapar, keluarkan dari peti ais dan boleh dimakan segera bagi menggantikan snek ringan. Amalan meminum segelas air limau nipis selepas makan menggalakkan pembakaran lemak kerana kandungan asid sitrik dalam buah limau nipis. 

11) Lakukan aktiviti fizikal secara konsisten untuk kuruskan badan
Aktiviti fizikal boleh dilakukan samaada di dalam atau di luar rumah. Berikut beberapa aktiviti serta kalori yang dibakar oleh seorang dewasa berat 68kg beraktiviti selama sejam:

   a) Berbasikal statik = 380 kalori
   b) Berjalan pantas = 300 kalori
   c) Bermain bola keranjang (agresif) = 450 kalori
   d) Mengemas rumah = 240 kalori
   e) Berkebun = 320 kalori
   f) Aerobik = 405 kalori
   g) Bermain Ping Pong = 280 kalori
  h)  Bersauna (15 minit) = 400-600 kalori
   i) Berbasikal (30 minit) =  250 – 500 kalori
   j) Jogging (30 minit) = 300 kalori
   k) Berenang (30 minit) = 400 kalori

Oleh itu, hanya kita yang mampu mengubah diri kita untuk menjadi lebih cergas dan sihat. Semoga tips kuruskan badan tanpa ubat yang dikongsikan ini bermanfaat untuk anda amalkan dalam kehidupan seharian.