31 December 2015

Kurus dengan Kos Murah

Assalamualaikum, 

Untuk kurus tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi. Anda juga tidak perlu membayar mahal untuk ke kelas senaman atau membeli peralatan senaman yang mahal serta canggih. Dengan kos yang murah anda juga mampu menurunkan berat badan.

Kurus dengan Kos Murah
Kurus dengan Kos Murah - Sumber gambar aibaba.com
Sebelum ini dikongsikan mengenai kuruskan badan tanpa ubat di dalam entri yang lalu. Beberapa tips untuk kurus dengan kos yang murah adalah seperti berikut:

1. Kurus dengan senaman di rumah

Anda tidak perlu ke gymnasium berbayar untuk kurus. Lakukan sendiri senaman seperti aerobik atau tarian di rumah dengan kos murah. Dapatkan rakaman dari sumber seperti youtube. Jika anda suka melakukan kerja rumah, ini juga peluang baik untuk kurus. Jadikan kerja rumah seperti menyapu sampah, mengelap dan membasuh sebagai senaman yang menyihatkan. 


2. Kurus dengan kemudahan sedia ada

Tidak perlu membeli alat senaman yang mahal. Sebaliknya gunakan kemudahan sedia ada di sekeliling rumah anda untuk kurus. Jika rumah anda ada tangga, gunakan ia untuk senaman naik turun tangga. Bagi anda yang memiliki basikal, rajinkan diri untuk mengayuh basikal bagi membakar kalori. 


3. Kurus dengan makanan kesihatan semulajadi

Makanan kesihatan yang siap diproses selalunya mahal. Apa kata anda memilih makanan kesihatan semulajadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih murah dan mudah didapati. Buah dan sayur juga kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral. Makanlah buah-buahan dan sayur-sayuran tanpa berasa ragu kerana kandungan kalorinya juga rendah. 


4. Kurus dengan amalkan petua tradisional

Tanyakan kepada orang tua yang anda kenal mengenai petua tradisional yang mereka amalkan untuk menguruskan badan atau mengekalkan bentuk badan. Selain daripada menggunakan bahan semulajadi yang mudah didapati, petua tradisional juga tidak menggunakan bahan kimia berbahaya dan tidak memerlukan kos yang tinggi. 


Oleh itu, banyak cara untuk kurus tanpa menggunakan kos yang mahal dan ada di antaranya telah pun anda amalkan dalam kehidupan seharian. Paling penting adalah keazaman dan usaha yang berterusan tanpa jemu untuk kurus. 

^_^

30 December 2015

Stesen Minyak Shell dan Kereta Axia

Assalamualaikum, 

Ini bukan entri untuk promosi stesen minyak Shell atau kereta Axia. Petang itu saya pulang dari tempat kerja dan saya perasan minyak kereta sudah hampir habis. Jadi saya singgah di stesen minyak kegemaran saya iaitu Shell untuk mengisi minyak kereta. 


Selepas memberhentikan kereta, saya membuka tempat mengisi minyak dan keluar dari kereta. "Kakak bawa kereta baru ke? Berapa mahu isi minyak?" pekerja warga Bangladesh menyoal saya. Saya selalu singgah di stesen minyak itu, mungkin dia sudah kenal muka saya. 

"Ya, isi RM50.00 saja." Saya membalas sambil menghulurkan duit RM50.00 dan kad Bonus Link kepadanya. "Macam mana mahu isi minyak?" Tiba-tiba pekerja itu menyoal saya sambil tersenyum. Saya bingung seketika. Baru saya perasan, rupa-rupanya saya tidak membuka tempat minyak, tetapi bonet. 

Saya terpaksa membeli kereta Axia ini disebabkan tempat kerja saya dan adik saya tidak sama dan jaraknya jauh di antara satu sama lain. Kereta Viva saya serahkan kepada adik. Hanya kereta Axia yang mampu saya beli sebagai kereta kedua memandangkan Viva masih berbaki dua tahun untuk habis dibayar. 

Nota: Jika terdapat pengangkutan awam seperti LRT atau ERL ke tempat kerja saya atau adik saya, pasti saya tidak membeli kereta Axia berkenaan. Namun kini tambang pengangkutan awam juga sudah naik. 

^_^

26 December 2015

Peperiksaan Oh Peperiksaan

Assalamualaikum, 

Disember bulan yang penuh dengan aktiviti. Pagi ini baru saya berpeluang membuka blog dan menulis sesuatu. Sebelum ini saya pernah ceritakan mengenai kesibukan saya dengan peperiksaan dan kursus. Keputusan Peperiksaan Undang-undang Kerajaan telah keluar.

Keputusan peperiksaan Undang-undang Kerajaan
Seperti yang dijangkakan, keputusan untuk Kertas dua saya kandas. Teringat kembali ketika saya menjawab soalan kertas dua tempoh hari, saya rasa nak menangis ketika membaca soalan. Walaupun peperiksaan ini open book, adalah perlu saya membawa bahan rujukan yang tepat.

Buku yang sepatutnya saya beli untuk kertas dua
Sumber gambar lelong.com.my
Bila difikirkan semula memang saya kurang persediaan. Sepatutnya saya membawa buku Perlembagaan dan Undang-undang untuk kertas dua. Namun saya tidak berjaya mendapatkan buku itu kerana sold out di beberapa kedai buku dan MPH sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Saya ada juga bertanya pada senior yang pernah menduduki peperiksaan ini, namun buku mereka juga telah dipinjam lebih awal oleh rakan-rakan yang lain. Akhirnya saya dapat meminjam buku bertajuk Panduan Undang-undang Umum dari rakan kakak saya.

Namun maklumat di dalam buku berkenaan tidak dapat membantu saya menjawab soalan sepenuhnya. Selepas ini saya perlu mencari buku rujukan berkenaan lebih awal kerana semestinya saya akan mengulangi peperiksaan ini pada tahun hadapan.

 ^_^

09 December 2015

Perbaharui Roadtax Kereta dengan MYEG

Assalamualaikum, 

Tahun ini adalah tahun ke dua saya memperbaharui roadtax kereta Viva saya menggunakan perkhidmatan MYEG. Berdasarkan kepada pengalaman saya, memperbaharui roadtax kereta melalui MYEG adalah mudah dan menjimatkan berbanding melalui agen insurans. 


Sebelum ini saya menggunakan khidmat agen insurans setiap kali ingin memperbaharui roadtax kereta. Masuk tahun ke-6 saya terfikir untuk mencuba perkhidmatan MYEG. Berikut saya kongsikan cara kali pertama saya memperbaharui roadtax dan insurans kereta melalui MYEG:

Menghubungi MYEG 

Saya telah menghubungi MYEG di talian 03-7801 8888. Pihak MYEG meminta maklumat berkenaan nombor kereta, nombor kad pengenalan dan alamat emel. Saya meminta sebutharga nilai kereta yang diinsurans dan tambahan insurans untuk cermin kereta. 


Menerima emel dari MYEG

Saya menerima emel sebutharga bagi roadtax dan lesen. Pada tahun ini kereta Viva saya telah menjangkau usia 6 tahun. Setakat ini saya belum pernah membuat tuntutan insurans, jadi NCD (no claim discount) telah mencecah 55%. Jumlah yang perlu dibayar hanya RM420 (berbanding harga yang ditawarkan oleh agen insurans RM600). Jadi saya sudah jimat sebanyak RM180. 


Membayar kepada MYEG

Setelah bersetuju dengan harga berkenaan, saya membayar melalui perbankan internet (saya menggunakan CIMB Clicks). Lebih kurang sejam selepas pembayaran, pihak MYEG menghubungi saya dan meminta maklumat iaitu no. casis kereta dan alamat. 


Menerima roadtax dari MYEG

Pada keesokan harinya saya sudah menerima roadtax kereta berkenaan. Ianya dihantar terus oleh runner MYEG ke pintu rumah mengikut alamat yang diberikan (tempoh masa penghantaran tertakluk kepada hari cuti umum).


Setakat ini saya berpuas hati dengan perkhidmatan memperbaharui roadtax kereta yang disediakan oleh pihak MYEG. Selain daripada mudah dan menjimatkan wang, saya boleh fokus melakukan kerja seperti biasa kerana tidak perlu risau memikirkan roadtax kereta. 

Nota: Harga insurans kereta pada tahun ini tidak banyak berbeza dengan tahun lepas disebabkan wujudnya GST. 

^_^

06 December 2015

Kisah Lawak

Assalamualaikum,

Salam hujung minggu kepada anda semua. Kali ini saya kongsikan beberapa kisah lawak untuk bacaan santai di hujung minggu. Kisah ini hanya rekaan dn tiada kena-mengena dengan individu yang hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kisah Lawak 1: Motosikal

Tiga orang lelaki menaiki sebuah motosikal dan telah ditahan oleh polis trafik. Namun penunggang motosikal tidak berhenti dan menjerit kepada polis trafik berkenaan. 


Penunggang motosikal : Dah tak muat, kami dah bertiga. Jalan dulu tuan!!!
Polis trafik : ???


Kisah Lawak 2: Mangga

Seorang suri rumah pergi ke pasar untuk membeli barangan dapur. Tiba-tiba dia ternampak buah mangga.


Suri rumah : Berapa harga sebiji buah mangga ini?
Penjual : RM2.50 kak..
Suri rumah : RM2.50? Mahalnya harga..
Penjual : Harganya memang mahal kerana dijamin manis.
Suri rumah : Bagaimana kalau rasanya masam?
Penjual : Kalau masam tak perlu membayar.
Suri rumah : Kalau begitu, minta sepuluh biji mangga yang masam.
Penjual : ???


Kisah Lawak 3: Panadol

Sam melihat Joe membancuh kopi dan memasukkan sebiji panadol ke dalamnya. Dia berasa hairan dan segera bertanya kepada Joe. 


Sam : Kenapa kau masukkan panadol ke dalam air kopi itu?
Joe : Ooo.. Kopi inikan panas. Letak panadol kurang la sikit panasnya.
Sam : ???

Kisah Lawak 4: Cermin Mata

Ben mengalami masalah rabun dan telah berjumpa dengan doktor mata. Doktor mencadangkan supaya Ben memakai cermin mata bagi mengatasi masalahnya.


Ben : Selepas pakai cermin mata nanti, bolehkah saya membaca seperti orang lain?
Doktor : Oh, sudah tentu boleh.
Ben : Gembiranya saya. Sebenarnya sudah lama saya buta huruf, akhirnya boleh juga saya membaca.
Doktor : ???


Kisah Lawak 5 : Singa

Pada suatu hari seorang pemburu pergi memburu di hutan. Tiba-tiba dia ternampak seekor singa. Kerana terkejut, pemburu itu tidak sempat mengangkat senapangnya. Pemburu hanya mampu berdoa. Dia menjeling ke arah singa dan ternampak singa juga sedang berdoa. 


Pemburu : Ah, leganya. Singa baik rupanya. Tolong lepaskan aku.
Singa : Singa baik selalu baca doa sebelum makan.
Pemburu : ???


Semoga terhibur membaca kisah lawak ini.. 

Diolah dari sumber asal lawak2u.wordpress.com

p.s: Maaf tidak dapat blogwalking kebelakangan ini kerana agak sibuk dengan kerja dan kursus. InsyaAllah saya akan membalas kunjungan anda nanti.

^_^

01 December 2015

8 Tips Mengekalkan Kesihatan

Assalamualaikum,

Kesihatan yang baik adalah penting bagi mendapatkan tubuh yang cergas dan otak yang cerdas. Adalah penting untuk setiap individu mengekalkan tahap kesihatan yang baik dengan cara menjaga fizikal dan emosinya.


Kali ini saya kongsikan 8 tips yang dapat mengekalkan tahap kesihatan seperti berikut:

Sihat dengan sikap optimistik dan positif

Selalu berfikiran positif dan bersikap optimistik untuk mengekalkan tahap kesihatan mental yang baik. 


Sihat dengan kawal marah

Belajar untuk bersabar dan mengawal kemarahan agar emosi stabil dan tenang. 


Sihat dengan kurangkan lemak, minyak, gula dan garam

Pengambilan lemak, minyak, gula dan garam yang berlebihan boleh membahayakan kesihatan. Hadkan pengambilan makanan-makanan ini untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik. 


Sihat dengan berhenti merokok

Merokok boleh menyebabkan kanser paru-paru dan gejala penyakit yang lain. Berhenti merokok untuk mengekalkan kesihatan yang baik dan agar hidup lebih bermakna. 


Sihat dengan pengambilan air 

Air yang mencukupi adalah penting untuk melancarkan sistem penghadaman, menyingkirkan toksin dari badan, mengurangkan selera makan dan mengekalkan kelembapan kulit. Minum air sekurang-kurangnya 3 liter setiap hari. 


Sihat dengan bergerak aktif

Bergerak aktif setiap hari dapat mengekalkan kesihatan. Bersenam sekurang-kurang 3 kali seminggu 20 minit setiap sesi. Jika tiada masa bersenam, cuba luangkan waktu untuk melakukan senaman naik turun tangga atau berlari setempat.


Sihat dengan tidur mencukupi

Pastikan anda mendapat rehat dan tidur yang mencukupi untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Tidur sekurang-kurangnya 4 hingga 6 jam setiap malam. 


Sihat dengan menjaga kebersihan

Pastikan anda menggosok gigi dan mandi sekurang-kurangnya 2 kali setiap hari. Basuh tangan dengan sabun selepas ke tandas dan sebelum memasak dan makan. Kebersihan mencerminkan personaliti diri seseorang. 


Hanya kita yang mampu mengubah diri kita menjadi lebih baik atau sebaliknya. Oleh itu, ubahlah cara hidup bagi mengekalkan kesihatan yang baik dan berterusan. Apabila tubuh badan dan mental sihat, aktiviti dan kerja seharian juga akan menjadi lebih lancar. 

^_^