26 November 2015

Terima Kasih Blogger Yana Yani Sudi Review

Assalamualaikum,

Sudah lama rasanya blog Mizz Aiza tidak direview. Review ini telah dibuat oleh blogger +Yana Yani kerana saya menjadi pengomen ke sembilan yang yang tersenarai dalam carta top pengomen blog beliau. 

Review yang dibuat oleh blogger Yana Yani
Blogger Yana Yani merupakan salah seorang ahli Grup Mama Bloggers Malaysia. Blog beliau banyak menceritakan mengenai kisah santai bersama sepasang anak beliau iaitu Afif dan Aisyah serta keluarganya. Boleh baca kisah menarik Afif mengenai hobinya yang suka memancing dalam artikel bertajuk Melepaskan Gian memancing

Selain itu juga, beliau ada menulis mengenai pandangan peribadinya mengenai sesuatu isu atau perkara. Antaranya beliau telah menulis artikel yang bertajuk Benarkah Perkhidmatan Hospital Kerajaan Teruk? Blogger Yana Yani seorang yang mesra dan peramah. Kunjungan anda ke blog beliau pasti akan dibalas. Boleh klik banner di bawah untuk ke blog beliau. 

http://iamaproudmama.blogspot.my/
Terima kasih diucapkan kepada blogger Yana Yani kerana sudi review blog saya. Semoga ukhwah yang terjalin di antara kita terus berkekalan walaupun tidak pernah bersua muka. Selamat maju jaya kepada Yana Yani!!!

^_^

25 November 2015

Wordless Wednesday # 33 - Kucing

Assalamualaikum,

Kucing
Bersantai di luar tingkap berhampiran lif tingkat 13
Kucing
Corak bulu badannya saya panggil warna tiga rasa
Kucing
Corak di wajahnya ada dua
Nota: Kucing-kucing ini saya jumpa berhampiran rumah sewa saya. Tidak pasti mereka ada tuan atau tidak. Tapi saya pasti akan memberikan mereka makan apabila berjumpa mereka. 

 ^_^

24 November 2015

Tukar Cigarrate Lighter Kereta Viva

Assalamualaikum, 

Baru-baru ini tempat pengecas bateri telefon (cigarrate lighter) di kereta Viva saya tidak berfungsi. Kebetulan ketika saya servis kereta di Perodua Bandar Tun Razak, saya meminta mereka memeriksanya. Rupa-rupanya ia telah rosak.


Namun mereka memaklumkan saya perlu memesan cigarrate lighter itu memandangkan stok tiada. Setelah menunggu selama lebih seminggu, pihak Perodua menelefon saya dan meminta saya pergi ke Perodua Bandar Tun Razak untuk memasangnya.

Harga cigarrate lighter ini RM26.40 (tidak termasuk 6% GST). Setelah ditambah dengan kos pemasangan dan 6% GST harganya menjadi RM38.05 (kos pemasangan sebanyak RM11.00). Untung jika pandai pasang sendiri, tak perlu bayar kos pemasangan. 

Nota: Saya perasan sejak adanya GST, kebanyakan alat ganti dan perkhidmatan Perodua juga semakin mahal.

 ^_^

23 November 2015

Banjir Kilat

Assalamualaikum, 

Kejadian ini berlaku pada minggu lepas. Pada hari itu saya meletakkan kereta jauh dari tempat kerja kerana saya kerja syif pagi (tempat kereta terhad dan hanya untuk staf syif petang yang pulang lewat malam). Pada petang itu tiba-tiba hujan turun mencurah-curah. 

Hujan telah berhenti
Tidak sampai sejam air longkang berhampiran tempat saya meletakkan kereta melimpah dan berlakulah banjir kilat. Ada staf dari bahagian lain memaklumkan beberapa buah kereta yang diletak di situ telah dinaiki air hingga memasuki ruang dalam kereta. 

Sampai ke kereta setelah harungi air
Di dalam hati saya berdoa agar kereta saya dalam keadaan baik. Syif saya tamat pada jam 4 petang dan ketika itu hujan sudah gerimis. Saya terus bergegas ke tempat meletak kereta. Syukur apabila melihat kereta saya hanya dinaiki air hingga paras tayar. 

Hujan gerimis ketika perjalanan pulang
Mungkin kerana saya meletakkan kereta di bahagian yang agak tinggi dan jauh dari longkang. Kasihan pada tuan kereta yang keretanya dimasuki air. Namun saya terpaksa mengharungi air di paras betis untuk mengambil kereta.

Nota: Hujan adalah rahmat dan bersyukur kerana adanya hujan. 

 ^_^

22 November 2015

Manfaat Sarapan Pagi

Assalamualaikum

Ramai orang yang menganggap  sarapan pagi adalah tidak penting. Mungkin ada yang memberi alasan tidak sempat bersarapan kerana perlu cepat ke tempat kerja atau terlalu sibuk memulakan tugasan pada waktu pagi. Sedangkan sarapan pagi memberi banyak manfaat kepada seseorang. 


Beberapa manfaat sarapan pagi adalah seperti berikut:

Sarapan pagi memberikan tenaga

Ketika sedang lapar badan akan rasa lemah dan tidak bertenaga. Sarapan pagi dengan sedikit makanan berkarbohidrat seperti roti memberikan tenaga. Namun jangan makan berlebihan kerana ia mungkin menyebabkan mengantuk dan malas. 


Sarapan pagi menghindarkan penyakit

Pengambilan sarapan pagi secara rutin dan teratur mampu mengawal kadar gula dalam darah sekaligus mengurangkan risiko terkena penyakit kencing manis. Masalah angin dalam badan juga boleh diatasi jika anda mengambil sarapan pagi. Angin akan menyebabkan kepala menjadi pening dan gastrik. 


Sarapan pagi mengawal berat badan

Pengambilan sarapan pagi mampu mencegah anda makan lebih banyak sepanjang hari. Perut yang kenyang mengurangkan keinginan anda makan banyak dan sekaligus dapat mengawal berat badan. 


Oleh itu, walau sesibuk mana pun anda, luangkan waktu untuk mengambil sarapan pagi seperti dua keping roti yang disapu nipis dengan mentega atau secawan oat. Jika tidak sempat bersarapan di rumah, pastikan anda mengambil sarapan di tempat kerja. 

^_^

20 November 2015

Hormati Pekerjaan Orang Lain

Assalamualaikum,

Setiap pekerjaan baik yang dilakukan dalam dunia ini pasti ada kepentingan kepada agama, bangsa dan negara. Kerja juga dikira sebagai ibadah jika dilakukan dengan jujur dan ikhlas kerana Allah swt. Walaupun bidang kerja berbeza, seharusnya kita menghormati kerja orang lain.


Saya terfikir untuk menulis entri ini selepas melihat situasi di mana apabila beberapa agensi ditugaskan untuk satu misi, namun mereka tidak bersepakat membuat keputusan. Sehingga ada pihak yang mempertikaikan kenapa tidak boleh. Sedangkan keputusan dibuat berasaskan Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan.

Seharusnya mereka menghormati pekerjaan orang lain. Jangan hanya kerana alasan bekerja perlu ada budi bicara, mereka sanggup membahayakan keselamatan negara. Walau apa pun alasannya, undang-undang tetap perlu dipatuhi.

Nota: Rasa geram dengan seseorang yang mempertikaikan keputusan saya, sedangkan saya bekerja mengikut SOP. Katanya saya perlu ada budi bicara, tapi bagi saya undang-undang perlu dipatuhi dan tiada kompromi. 

 ^_^

17 November 2015

Model Kasut Saya

Assalamualaikum,

Rambangnya mata apabila melihat kasut ketika JCard Member Day. Diskaun yang diberi memang murah dan berbaloi. Kebetulan ketika itu memang saya sedang mencari kasut baru (kasut bertutup) untuk dipakai di tempat kerja. 

Rambang mata melihat kasut
Di dalam entri yang lalu saya pernah ceritakan mengenai membeli mesin basuh di Jaya Jusco. Selepas membeli mesin basuh, saya mengajak adik saya ke bahagian kasut. Setiap kali membeli kasut pasti saya akan membawa adik bersama.

Kaki adik saya saiz 4
Ini kerana kebanyakan kasut yang dipamerkan untuk dicuba bersaiz kecil dan sesuai untuk dicuba oleh gadis kaki 'Cinderella' sahaja. Mujurlah adik saya merelakan dirinya untuk menjadi model kasut saya. 

Tidak seperti wanita lain, saya memiliki saiz kaki yang agak besar iaitu 8 atau 9. Oleh itu, saya akan meminta adik mencuba terlebih dahulu dan bertanya pendapatnya samaada kasut berkenaan selesa dipakai. Kemudian barulah saya meminta jurujual mencari saiz kasut saya. 

^_^

15 November 2015

Kisah Lawak Belajar Bahasa Inggeris

Assalamualaikum,

Belajar Bahasa Inggeris adalah sesuatu yang menyeronokkan. Kisah lawak yang saya kongsikan pada kali ini hanyalah sekadar suka-suka sahaja dan tiada kena-mengena dengan insan yang hidup atau telah meninggal dunia.


Kisah 1: Guru Bahasa Inggeris

Cikgu Nina mengajar Bahasa Inggeris bagi Tahun 1 di sebuah sekolah. Pada suatu hari dia telah memberi tugasan kepada murid-murid iaitu setiap orang perlu mencari 3 perkataan dalam Bahasa Inggeris. 


Ketika perjalanan pulang, Salman salah seorang murid ternampak sepasang suami isteri keluar dari kereta dan menjerit antara satu sama lain. Dia terdengar lelaki itu menjerit "Shut up you!!!". Apabila tiba di rumah dia bertanya kepada ayahnya, "Shut up you itu Bahasa Inggeris ke ayah?" Ayahnya menjawab, "Ya". 'Dah dapat satu perkataan', kata Salman di dalam hati. 


Selepas mandi dan makan, Salman menonton televisyen cerita Superman. Ketika Superman mahu terbang, dia menyebut "Superman!!!". Salman bertanya lagi kepada ayahnya, "Superman itu Bahasa Inggeris ke ayah?" Ayahnya menjawab, "Ya". 'Nampaknya aku dah dapat dua perkataan,' kata Salman di dalam hati. 


Selepas menonton televisyen, Salman pergi ke perpustakaan. Dia ternampak seorang lelaki dan perempuan sedang bertengkar kerana berebut sebuah buku. Perempuan itu berkata "Ladies first". Setelah pulang ke rumah, dia bertanya lagi kepada ayahnya dan ayahnya memberitahu itu juga Bahasa Inggeris. 


Maka Salman berasa lega kerana telah berjaya mencari 3 perkataan Bahasa Inggeris pada hari itu. Pada hari yang berikutnya adalah kelas Bahasa Inggeris Cikgu Nina. Tiba giliran Cikgu Nina menyoal Salman. 


Cikgu Nina : Salman, did you get the words?
Salman : Yes, teacher.
Cikgu Nina : Good, what is your first word?
Salman : Shut up you !!!
Cikgu Nina : What did you say? Are you mad? Who do you think you are?
Salman : Superman !!!
Cikgu Nina : Get out from this class!
Salman : Ladies First..


Kisah 2: Balik dari Luar Negara

Samad baru menamatkan pelajarannya di luar negara dan telah pulang ke Malaysia. Dia telah diuji oleh ayahnya yang tidak tahu berbahasa Inggeris.


Ayah : Samad, apa sebutan buku dalam Bahasa Inggeris?
Samad : De buk (merujuk kepada the book)
Ayah : Kalau pen?
Samad : De pen (merujuk kepada the pen)


Jadi ayahnya membuat kesimpulan bahawa setiap perkataan Bahasa Melayu hanya perlu di tambah 'de' dan perkataan dipendekkan depannya saja (setelah dia mendengar 'de buk' dan 'de pen').

Ketika di tempat kerjanya, si ayah ingin menunjukkan kehebatannya berbahasa inggeris kepada rakan sekerjanya juga yang tidak tahu berbahasa Inggeris.


Ayah : Aku sudah boleh berbahasa Inggeris. Rupanya Bahasa Inggeris sangat mudah dipelajari.
Rakan sekerja : Betul ke?
Ayah : Betul la.
Rakan sekerja : Kalau begitu macam mana nak sebut kambing makan rumput, kuda lari lari dalam bahasa inggeris?
Ayah : Oh, senang saja.
Rakan sekerja : Apa dia?
Ayah : De kam mak rum, de kud lar lar.


Diolah dari sumber ceritalawakje.blogspot.com dan lawakinternet.blogspot.my

Boleh juga membaca:


^_^

14 November 2015

Cara Langgan Mobile Internet Maxis Bulanan

Assalamualaikum,

Jika dahulu saya menulis blog dan blogwalking menggunakan laptop. Namun kini saya terpaksa menggunakan smartphone memandangkan saya tidak mampu untuk membawa laptop bersama. Untuk internet, saya memilih prepaid Maxis.

Langgan Mobile Internet Maxis Bulanan


1. Taip *100# dan tekan kekunci dial.

2. Akan keluar paparan menu di bawah. Pilih Pas Internet.

3. Pilih Mobile Internet.

3. Terdapat pilihan untuk harian (1 hari), mingguan (7 hari) dan bulanan (30 hari). 

4. Pilih untuk 30 hari iaitu samaada:
  • RM20 untuk 500MB + 500MB;
  • RM30 untuk 1.5GB + 1.5GB; atau
  • RM48 untuk 3GB +3GB
Contohnya pilih 'RM30 untuk 1.5GB + 1.5GB'

5. Akan keluar paparan seperti di bawah. Pilih Teruskan

6. Keluar paparan seperti berikut:

7. Tunggu mesej dari Maxis. Setelah mendapat mesej pengesahan, anda boleh terus menggunakan internet. 

Nota: Internet masih boleh digunakan walaupun telah mencapai had kuota. Namun kelajuannya diperlahankan. 

 ^_^

13 November 2015

Beli Mesin Basuh Panasonic

Assalamualaikum,

Pada minggu lepas saya telah mengunjungi Jaya Jusco Maluri untuk membeli mesin basuh. Kebetulan pada hari berkenaan ada JCard Member Day. Jadi selain daripada dapat kumpul mata kad Jaya Jusco, saya juga dapat voucher pembelian (setiap pembelian RM100.00 dapat voucher RM10.00).

Mesin basuh Panasonic muatan 7.5kg

Sudah siap dipasang di rumah

Sebelum ini saya membasuh pakaian dengan tangan. Maklumlah orang bujang pakaian tak banyak sangat. Setakat basuh baju sendiri dan mak sahaja. Namun sejak kebelakangan ini saya tidak sempat untuk membasuh pakaian kerana kesibukan kerja dan kursus. 

Sehingga saya terpaksa membasuh pakaian di dobi layan diri berhampiran rumah. Ketika itu saya mula terfikir untuk membeli mesin basuh sendiri. Saya telah membuat tinjauan di beberapa kedai menjual barang elektrik seperti Tesco, Aeon Big, Jaya Jusco dan Seng Heng. 

Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli mesin basuh jenama Panasonic muatan 7.5kg dengan harga RM759.00 di Jaya Jusco Maluri. Setelah tempahan dan pembayaran dibuat, penghantaran ke rumah dibuat oleh pengilang Panasonic sendiri.

Nota: Setakat ini saya berpuas hati dengan mesin basuh ini. Muatan 7.5kg ini cukuplah untuk membasuh pakaian saya, mak dan adik. 

^_^

12 November 2015

Jaga Adab

Assalamualaikum, 

Kejadian ini berlaku ketika saya memandu ke tempat kerja pada pagi tadi. Saya memandu di lorong tengah dengan had laju 90km/jam. Tiba-tiba sebuah kereta dari lorong laju menukar ke lorong tengah tanpa memberikan isyarat. Mujurlah saya sempat membrek.


Kebetulan sebuah motosikal juga sedang berada di hadapan saya dan dia juga sempat mengelak. Namun motosikal itu terus mengekori kereta sambil penunggangnya menunjukkan isyarat lucah. Mungkin dia marah kerana motosikalnya telah dihimpit.

Kereta itu membelok ke susur jalan dan motosikal terus mengekorinya. Manakala saya memandu ke arah yang berlainan untuk terus ke tempat kerja saya. Saya tidak pasti apa yang berlaku kepada kedua-dua mereka selepas itu. Harap-harap tiada kejadian buruk yang terjadi. 

Apa yang saya perhatikan, terdapat segelintir pemandu yang tidak menghormati pengguna jalan raya lain. Selain membahayakan nyawa sendiri, mereka juga sebenarnya membahayakan nyawa orang lain. Kepada semua pemandu, berhemahlah ketika memandu.

Nota: Kata orang, jika ingin melihat sikap sebenar seseorang, lihat ketika dia sedang marah dan memandu. Mungkin ada benarnya. 

 ^_^

10 November 2015

Makanan untuk Gigi Cantik

Assalamualaikum, 

Selain dari memiliki wajah yang cantik, gigi yang cantik juga penting kepada seseorang. Gigi yang cantik dan putih menunjukkan pemiliknya seorang yang pembersih. Di samping itu juga, ianya pasti akan meningkatkan keyakinan diri seseorang.

Makanan untuk Gigi Cantik

Sebelum ini saya pernah kongsikan mengenai mencegah nafas berbau di dalam entri yang lalu. Beberapa makanan untuk gigi cantik adalah seperti berikut:

Susu untuk gigi cantik

Susu kaya dengan kalsium dan fosfor yang baik untuk menguatkan enamel gigi. 


Ikan Salmon untuk gigi cantik

Kandungan asid lemak omega 3 dan fosfor di dalam ikan Salmon juga bermanfaat menguatkan enamel gigi. 


Lobak merah dan epal untuk gigi cantik

Lobak merah dan epal mampu untuk menanggalkan plak pada gigi serta merangsang air liur untuk membersihkan gigi. 


Strawberi  untuk gigi cantik

Kunyah strawberi kerana ia menghasilkan asid malik apabila dikunyah yang bermanfaat untuk memutihkan gigi. 


Nanas  untuk gigi cantik

Enzim semulajadi di dalam nanas berfungsi menghilangkan plak gigi sekaligus menyingkirkan bakteria yang melekat pada gigi. 


Selain daripada pemilihan makanan untuk gigi cantik seperti di atas, penjagaan gigi secara rutin iaitu memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari juga adalah perlu bagi mendapatkan gigi yang cantik dan putih. 

^_^

3D GIVEAWAY BY IY&SYARIZWAN

Assalamualaikum, 

Segmen yang saya akan ikuti pada kali ini dianjurkan oleh blogger Ikhwan dan Syarizwan. Saya ikuti sebagai sokongan kepada mereka dan memandangkan syarat pun mudah. 

3D GIVEAWAY BY IY&SYARIZWAN
Tarikh segmen : 2.11.2015 hingga 29.11.2015

Hadiah yang ditawarkan unik dan menarik seperti berikut:
- 1 3D puzzle untuk top referral. 
- 4 3D puzzle menerusi khidmat random.org.
- Hadiah misteri untuk peserta pertama.

Jom bersama-sama memeriahkan segmen ini. 

p.s:  Saya sudah lama tidak mengikuti segmen disebabkan syarat yang perlu like Facebook atau Twitter. Ini kerana kini saya tidak memiliki akaun Facebook atau Twitter. Mohon maaf kepada rakan-rakan blogger yang menjemput. 

 ^_^

07 November 2015

Saya Belum Berkahwin

Assalamualaikum, 

Pada tahun ini saya mengunjungi Ekspo Buku Islam Antarabangsa di Putrajaya bersama mak dan adik saya. Kali ini saya pergi pada waktu petang selepas pulang dari kerja. Kekangan waktu kerja, kursus dan peperiksaan kebelakangan ini menghadkan masa saya untuk bersama mak dan adik saya. 


Ketika saya melalui ruang pameran buku kanak-kanak, seorang wanita menyapa saya. "Puan dah ada anak ke?" Soal wanita itu. "Anak? Saya kahwin pun belum lagi." Spontan sahaja saya menjawab. "Oh, maafkan saya." Balas wanita itu. Saya hanya tersenyum dan terus berlalu.

Saya ceritakan peristiwa itu kepada adik saya. "Agaknya kakak nampak tua." usik adik saya sambil ketawa. Saya tidak menyalahkan wanita itu kerana wanita seusia saya memang patut memiliki sekurang-kurangnya dua atau tiga orang anak. Tapi yang saya ada kini hanya anak tekak dan anak mata sahaja. 

Tidak banyak buku yang saya beli kerana kebanyakan buku sudah saya beli sebelum ini. Tawaran harga amat berpatutan seperti novel-novel terbitan Karangkraf dijual dengan harga serendah RM5.00 sebuah dan potongan harga buku sehingga 50% boleh didapati di pameran PTS. 

Saya suka membaca buku-buku motivasi terutamanya yang ditulis oleh Dr. HM Tuah, Ustaz Pahrol Juoi dan Datuk Kazim Elias. Buku-buku tulisan mereka amat mudah untuk saya fahami mesej yang ingin disampaikan. Perkongsian pelbagai pengalaman suka dan duka juga sangat menarik untuk dibaca. 

 ^_^

01 November 2015

Jom Langsing dengan Buah

Assalamualaikum, 

Buah-buahan kaya dengan vitamin dan serat yang baik untuk kesihatan. Amalan makan buah-buahan mampu untuk mendapatkan tubuh yang langsing. Sebelum ini saya pernah kongsikan mengenai turunkan berat badan dengan serat di dalam entri lalu. 

 Langsing dengan Buah

Buah-buahan ini boleh dimakan terus selepas dipotong atau dikisar menjadi jus. Beberapa jenis buah yang sesuai untuk melangsingkan badan adalah seperti berikut:

Langsing dengan buah pisang

Pisang adalah mengenyangkan dan mudah dicerna. Makan pisang sebelum makan makanan lain mampu membuatkan perut berasa kenyang dengan cepat. 


Langsing dengan buah nanas

Nanas kaya dengan vitamin C dan beberapa enzim yang baik untuk pencernaan. Selain dimakan mentah, nanas juga boleh dibuat jus dengan cara mengisar isi nanas dengan sedikit air dan madu. 


Langsing dengan buah betik

Betik mengandungi vitamin dan enzim yang baik untuk sistem pencernaan. Kandungan kalori yang rendah dalam buah betik pasti tidak akan mengganggu diet anda. 


Langsing dengan buah epal hijau

Epal hijau baik untuk anda yang ingin kekal langsing. Ianya juga bermanfaat untuk melancarkan penghadaman. Minum epal hijau yang dikisar bersama saleri bagi membuang toksin. 


Langsing dengan buah avokado

Avokado mengandungi lemak tidak tepu yang berupaya mengurangkan rasa lapar. Perut anda pasti akan berasa kenyang dalam jangka masa lama setelah makan avokado.  


Selain dari buah-buahan di atas, anda boleh makan buah-buahan lain seperti anggur, limau, strawberi dan tembikai. Kandungan kalori di dalam buah-buahan adalah rendah dan amat sesuai dimakan oleh anda yang sedang berdiet dan ingin kekal langsing

p.s: Saya kembali bekerja setelah hampir seminggu bekursus. InsyaAllah saya akan mula membalas kunjungan anda. 

^_^