31 December 2011

Mudah Merealisasikan Azam

Assalamualaikum,

Tahun baru menjelang lagi. Masing-masing sibuk memasang azam baru. Tanpa disedari, azam lama di tahun sebelumnya masih belum tertunai dan akhirnya terkubur. Macam mana nak pastikan supaya azam yang dibina dipraktikkan setiap masa sehingga mencapai sasaran yang ditetapkan?
  • Firstly, mesti tanamkan dalam jiwa keinginan yang ingin dicapai. Semuanya bermula dengan niat sama ada untuk berubah atau mendapatkan sesuatu yang diingini.
  • Tuliskan semua matlamat dalam satu kertas dan tampalkan di setiap tempat yang sering kita lepak-lepak dan semestinya juga dalam diari yang menjadi tempat luahan perasaan.
  • Buat perancangan yang rapi berkenaan kemajuan yang disasarkan untuk setiap matlamat mengikut fasa.
  • Untuk mencapai sesuatu yang diingini, perlulah konsisten dan bersabar. Tiada benda dalam hidup ini yang boleh berubah dengan sekelip mata. Perlu ada usaha berterusan dan tanpa jemu.
  • Sasaran haruslah realistik dan sesuai dengan kemampuan diri kita termasuk masa dan kewangan.
Lihat contoh berikut :

Azam 1:
Jika bermatlamat untuk memiliki sebuah Note Book secara tunai, kita perlu tetapkan masa untuk mengumpul duit. Tuliskan harga tunai sebuah Note Book sebanyak RM 2,500.00. Katakan gaji sebulan RM 2,500.00 dan kita hanya mampu menyimpan sebanyak RM 500.00. Oleh itu, untuk mengumpul RM 2,500.00 kita perlukan masa selama 5 bulan (RM 500.00 X 5 bulan = RM 2,500.00).

Azam 2 :
Jika berazam untuk kurus, tuliskan berat badan sekarang misalnya 65 kg dan anda sasarkan berat sebanyak 55 kg. Sebanyak 10 kg perlu dikurangkan dan anda sasarkan pengurangan berat sebanyak 2 kg setiap bulan. Oleh itu, masa yang diperlukan adalah selama 5 bulan (10 kg / 2 kg / bulan = 5 bulan). Seterusnya tetapkan cara untuk menguruskan badan sama ada banyakkan bersenam dan sediakan jadual makan yang sistematik. Perlulah konsisten dan berdisiplin mengikut perancangan ini.

Mudah bukan?

25 December 2011

Menggapai Bintang di Langit Tinggi

Assalamualaikum,

Begitu sukarnya memperolehi sebuah kejayaan itu. Terlalu banyak dugaan dan rintangan yang harus ditempuhi. Umpama kata-kata pepatah, gunung yang tinggi perlu didaki, lautan yang dalam perlu diselami dan jalanan yang berliku harus diredahi. 

Cita-cita tinggi itu umpama menggapai bintang di langit tinggi. Terlalu mustahil untuk menggantungkannya setinggi itu. Seandainya tidak berdaya untuk menggapainya, sekurang-kurangnya kita sentiasa mendongak ke atas dan bukannya ke bawah. Itu sudah cukup untuk membuatkan diri kita terus melonjak ke atas.


Namun ketahui jugalah kejayaan akan dimiliki seandainya formula berikut dipraktikkan tanpa jemu:


USAHA + RESTU + DOA + TAWAKKAL = KEJAYAAN

Ingatlah, usaha jangan pernah henti dan mohonlah restu dari ayah serta ibu. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT dan akhirnya bertawakkal juga kepada Allah SWT. Sebagai manusia kita hanya merancang dan hanya Allah SWT yang menjadi penentunya.

20 December 2011

20 Disember 2011 - Tarikh Keramat

Assalamualaikum, 

Tanggal 20 Disember 2011 aku bangun pagi dan bersiap-siap ke ofis seperti biasa. Rutin harian sama seperti hari-hari yang lain. Aku mengemaskini laporan dan menyelesaikan urusan-urusan berkaitan syarikat pelabur. 

Masa lunch tadi, tak sangka officemate buat kejutan. Aku keluar jumpa bos di bilik sebelah. Masuk ke bilik je, kelihatan kek, roti john dan nasi kukus di atas meja. Hidangan yang membuka selera. Terima kasih kawan-kawan kerana masih mengingati hari ulang tahun kelahiranku.

Lepas Maghrib tadi Kak Yong iaitu kakak sulung aku mengajak kami ke Sate Kajang Hj. Samuri. Dia belanja kami sekeluarga makan. Birthday hubby Kak Yong pun pada bulan Disember jugak. Alhamdulillah, rezeki tidak ditolak. Berkebetulan tarikh 20 Disember terletak di antara tarikh kemasukan gaji/bonus penjawat awam dan Hari Krismas. So untung juga dapat banyak hadiah sebab masa ni la ada sale di kebanyakan shopping complex.

Terima kasih kepada semua kawan-kawan dan keluarga yang selalu menyokong aku. Tanpa kalian pasti aku tidak akan gagah berdiri seperti sekarang. Semoga pertambahan usia pada tahun ini mematangkan diri aku dan impian aku supaya menjadi lebih baik serta cemerlang di dunia dan akhirat. 

Entri Lain Berkaitan:


17 December 2011

Suci Sekeping Hati

Assalamualaikum, 

Renungkan Hadis berkenaan:

“Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati.” 

Hadis Riwayat : Imam Bukhari dan Imam Muslim

Setiap manusia memiliki seketul daging itu. Di dalamnya tersimpan perasaan yang sukar dimengerti. Disebabkan itu juga, ramai yang terpedaya dengan pujuk rayu syaitan dan rela menjadi hamba serta menurut kemahuannya tanpa berfikir dengan waras. 

Hati adalah pusat bermulanya semua perasaan manusia. Sama ada perasaan kasih sayang, kebencian, dendam, ketenangan dan kepuasan. Elok atau buruk tingkah laku seseorang individu itu bergantung kepada ketulusan hatinya.


Begitu sukar untuk memelihara sekeping hati yang suci. Kerana hati ramai yang tersungkur dan rebah menjadi hamba dunia. Apabila diri dipuji, hati menjadi riak dan angkuh kerana merasakan diri yang terhebat sehingga lupa bersyukur di atas nikmat yang telah dipinjamlan oleh Allah SWT. 

Penyakit hati yang berleluasa mampu menggugat keimanan dan melunturkan ketakwaan. Ukhwah yang terjalin akan terlerai hanya kerana terpedaya dengan bisikan hati yang sentiasa dihasut oleh syaitan laknatullah. Usah biarkan hati terus rosak dan busuk. Oleh itu, bersihkan hati dengan madah dan zikir kepada Allah SWT.

Motivasi Penguat Diri

Assalamualaikum, 

Perjalanan Masih Jauh
Langit tidak selalu cerah, adakalanya mendung dan adakalanya sang suria memancar terang. Begitu jualah kehidupan manusia, tidak selalu gembira dan adakalanya diselubungi kesedihan. Lumrah kehidupan sememangnya begitu.

Jika hari ini kita tergelincir, segeralah bangkit semula kerana terjatuh itu pengalaman biasa yang mematangkan diri kita supaya lebih berhati-hati di masa akan datang. Sesungguhnya jalan untuk menuju kejayaan itu terlalu sukar, jauh dan penuh berliku, perlu melalui pelbagai rintangan. Jika bersabar, pasti kemanisan di akhirnya. 

Aku yakin, setiap yang ditentukan oleh Allah SWT pasti ada hikmah disebaliknya. Kita mengeluh diberikan pokok yang berduri, padahal kita tidak sedar lama-kelamaan ianya akan tumbuh menjadi bunga-bunga yang cantik dan harum. Kesabaran elemen yang paling penting di dalam meniti kehidupan ini.

Oleh itu, usah berputus asa jika gagal dalam kehidupan. Allah SWT Maha Adil terhadap hamba-Nya. Putus asa membuatkan diri kita binasa kerana terpaksa menanggung derita tekanan perasaan. Percayalah pada Rukun Iman yang ke-6 iaitu Percaya pada Qada' dan Qadar. Sentiasa tingkatkan usaha, ubah strategi, selalu berdoa dan akhirnya bertawakal. InsyaAllah kejayaan pasti menjadi milik kita.

15 December 2011

Maafkan Saya - Si Tua Biadap!!!

Assalamualaikum,

Pengalaman masa dalam flight  tadi masih segar dalam ingatan. Flight dari Kuala Terengganu ke KLIA mengambil masa 50 minit. Tiba di KLIA, semua penumpang berebut-rebut untuk keluarkan barangan dari ruangan atas. 

Tiba-tiba ada sesuatu jatuh atas kepala aku. Oh tuhan, rupa-rupanya sebuah notebook menghempap kepalaku. Sakitnya tuhan saja yang tahu. Kelihatan seorang lelaki sedang menggeledah ruangan atas tu. Memang biadap betul lelaki tu sebab dia buat-buat tak tahu je dan tiada ucapan maaf dari mulutnya.


Kita selalu tengok golongan muda yang biadap dengan orang tua. Tapi hari ini aku tengok orang tua yang biadap. Besar sangat ke pangkat dia? Rasanya tak kot sebab dia naik flight pun kelas ekonomi je. Ego je mengatasi segalanya. Kalau la notebook tu jatuh atas kepala dia, baru dia tau sakitnya camna. 

Ketahuilah, hidup kita cuma seketika saja. Jadi, janganlah terlalu bermegah diri dan ego. Nasib kita pada masa akan datang tidak siapa yang tahu. Apa yang kita buat pada orang pada hari ini pasti ada balasannya kelak. Bukan kena bayar pun kalau ucap perkataan MAAF dan takkan jatuh pun maruah kita. 

Penat Beb!!!

Assalamualaikum, 

Kepenatan masih terasa. Sejak Isnin hingga Rabu aku berbengkel di Mahkota Hotel Melaka. Kami perlu menyediakan blueprint untuk program yang dilaksanakan sepanjang RMK-9. First impression sampai je kat hotel tu tak best pun. Lantainya agak kotor dan bilik kami bersidang berbau hapak. Lif sangat sempit dan sampah bersepah-sepah di tepi lif. 

Apa yang aku ingin katakan, harganya tak sepadan dengan kualiti hotel tu. Nasib baik bos aku mood baik sepanjang bengkel berkenaan. Kalau tak mesti pedih telinga mendengar bebelannya. Taste beliau agak tinggi juga sebenarnya.

Musim tengkujuh
Hari Rabu tengah hari, aku bertolak ke KLIA untuk mesyuarat di  Kuala Terengganu. Sesungguhnya aku tersangatlah penat sepanjang minggu ini. Di Kuala Terengganu bermalam di hotel Primula Beach Resort. Hujan turun mencurah-curah dan ombak menggulung di Pantai Batu Buruk, bulan Disember masih musim tengkujuh. 

Petang tadi,  Alhamdulillah tiba di rumah dengan selamat. Esok perlu ke pejabat lagi untuk meneruskan kerja-kerja. So malam ini aku nak merehatkan badan dan menenangkan fikiran. Tak sabar nak tunggu weekend ni, boleh la bersantai. 

11 December 2011

Tentukan Butang Ceria Anda...

Assalamualaikum, 

Mood hari ni ceria.. Aku selalu ingatkan pada diri, walau apa pun yang terjadi hidup harus diteruskan. Sebentar lagi aku akan bergerak ke pejabat. Hari ini bos minta siapkan bahan-bahan untuk bengkel di Melaka bermula 12 hingga 14 Disember ni. 

Senyum seindah suria
Habis je bengkel di Melaka, terus gerak ke KLIA untuk terbang ke Kuala Terengganu. Pada 15 Disember ada meeting di sana. Minggu ni memang jadual agak padat, sebab tu aku harus pastikan mood sentiasa ceria. Kalau kita ceria, Insya Allah semua kerja jadi mudah dan enjoy

Stress hanya akan membuat diri kita rasa marah dan benci pada semua benda. So, ceriakanlah hari-hari anda. Jangan biarkan tekanan menyelubungi diri anda. Cuba cari butang keceriaan diri masing-masing. Misalnya ada orang gembira dan ceria bila dapat makan kek atau menyertai aktiviti lasak atau berjumpa dengan orang tersayang atau macam-macam lagi.. 

10 December 2011

Ke Plaza Low Yatt dengan Tren

Assalamualaikum, 

Nak beli External Hard Disk la rasanya. Bukan apa, pendrive selalu full dan pc plak asyik hang sebab terlalu banyak file yang disimpan.  So cuci la mata di Plaza Low Yatt, saja-saja survey dulu sementara tunggu gaji masuk. 

Aku drive dari rumah ke Komuter Serdang and parking la kereta di situ. Tak bestnya parking ditutup sebab ada renovation la plak. So parking je kereta  di depan restoren apa ntah, dekat dengan Mines jugak la. Dari situ menapak guna fly over ke stesen komuter. 

Tunggu punya la lama, dengan cuaca yang sangat panas dan umat manusia yang ramai. Stress juga la bila toleh kiri kanan ada je manusia dengan macam-macam style. Aku memilih tunggu di area yang memang dikhaskan untuk kaum Hawa sahaja. Kiranya kerajaan menitikberatkan juga kebajikan kaum wanita terutamanya di tempat awam macam ni. 

Komuter
Tren sampai je, berpusu-pusu berebut masuk. Memang dah penuh macam ikan sardin dalam tin. Yang tak bestnya, ada la juga kaum Adam yang sesat kat dalam tren tu. Adakah dia sengaja atau tak perasan? Huhu.. Memang rasa tak selesa coz terpaksa berdiri rapat dengan dia. Syukur sebab sampai je di Mid Valley ada la penjaga stesen yang menghalau budak lelaki tu. Padan muka..

Budak lelaki yang sesat dalam coaches wanita
Tiba di stesen Bandar Tasik Selatan, kena tukar naik LRT ke stesen Hang Tuah plak. Dari stesen Hang Tuah, menapak naik tangga ke KL Monorail dan turun di stesen Imbi. Sampai je kat stesen Imbi, jalan kaki terus ke Plaza Low Yatt tu.

KL Monorail
LRT
Sesi mencuci mata bermula, banyak juga pilihan External Hard Disk di sini dengan pelbagai jenama. Harganya pun di tahap yang sederhana. Kalau 500GB harganya dalam range RM180-250. Sayangnya aku tak dapat beli lagi minggu ni. Tunggu dapat gaji akhir bulan ni la kot. 

Ramai orang di Low Yatt
Lewat petang baru sampai rumah. Perjalanan balik yang sama macam pergi tadi juga. Perjalanan yang sangat memenatkan. Aku memang tak biasa drive sendiri kalau ke KL. Mesti kena naik tren atau tumpang member. Mungkin sebab takut kot.. Or tak biasa dengan area sana. 

Entri Lain Berkaitan: 

07 December 2011

Gelapnya!!!

Assalamualaikum..

Mood malam ni, feel kepenatan. Aku baru balik dari mengambil rakan di LCCT. Masa on the way tadi, aku ikut jalan Putrajaya-Dengkil. Surprise, masuk je sempadan Putrajaya lampu jalan semua off dan keadaan sememangnya sangat gelap. Masa exit Putrajaya ke Dengkil pun tiada lampu jalan juga. Waktu malam-malam memang kurang kereta yang masuk ke Putrajaya, so bertambah la kegelapan. 

Tiba-tiba aku rasa something menyentuh sisi side mirror sebelah aku. Masa tu had laju macam biasa, 80km/jam coz had laju dalam area Putrajaya memang maksimum 80km/jam. Rupa-rupanya ada orang melintas tapi menyentuh sisi kereta. Fuh, nasib baik tak langgar orang tadi.

Dah la gelap, sunyi plak tu
Pendapat aku la, pihak yang berkenaan harus mengambil tindakan sewajarnya dengan cara menyalakan lampu jalan di kawasan tersebut. Perlu berfikir bagi pihak pejalan kaki yang bakal menjadi mangsa jika kegelapan menyelubungi alam. Kalau nak berjimat pun agak-agak la, jangan sampai meragut nyawa insan tak berdosa.

03 December 2011

Bah Besar di Kajang

Assalamualaikum,

Kepenatan akibat mengharungi trafik ketika balik dari kerja masih terasa.. Aku bekerja di Putrajaya dan tinggal di Semenyih. Sudah menjadi perkara biasa balik kerja ketika masih jam, tapi takde la sampai 2 atau 3 jam macam ni. Rasanya hari ini yang paling teruk selain yang aku pernah alami masa TNB buat kerja tempoh hari. 

Bayangkan, jalanraya 2 lorong dah jadi 5 lorong disebabkan kesesekan luar biasa ni. Dari jauh kelihatan lampu siren berkelip-kelip dan polis trafik sedang berdiri. Rupa-rupanya berlaku banjir kilat di tengah-tengah jalan. Air melimpah sehingga ke paras betis. Aku je yang tak baca berita.. 

Suka hati je kereta ni dipandu laju-laju..
Ada yang tak best, terdapat kereta yang masih kurang ajar dan sellfish. Masih nak cilok-cilok walaupun situasi sangat bahaya. Ada ke patut dia bawa kereta laju-laju meredah air tu, hampir-hampir melanggar polis trafik yang sedang bertugas. Inikah Rakyat Malaysia? Jawab sendiri. 

Alhamdulillah, selamat juga sampai rumah setelah hampir 3 jam meredah trafik yang sesak. Pendapat peribadi aku, setiap perancangan untuk membangunkan sesuatu kawasan terutamanya yang melibatkan penebangan pokok/ hutan dan pembinaan rumah baru perlu dirancang dan dikaji terlebih dahulu kesan pada masa depan.

Kawasan hutan merupakan kawasan tadahan air yang juga berfungsi mengawal ekosistem. Inilah akibatnya jika pembangunan diutamakan tanpa mengambilkita impak pada masa hadapan. Namun perlu diingat, manusia hanya merancang, hanya Allah SWT penentu segalanya. Kembali kepada qada dan qadar serta hukum alam. 

01 December 2011

Stress Lagi?

Assalamualaikum,

Selagi masih bernafas, hidup wajib diteruskan. Itulah ayat ringkas namun mampu membangkitkan motivasi. Hidup kita sebenarnya singkat je, hanya sebagai platform untuk menuju ke alam yang kekal abadi (akhirat). Aku percaya ramai insan yang tidak dapat lari dari stress di dalam meniti hidup yang penuh cabaran dan pancaroba.

Hari ini aje aku kena buat banyak kerja dalam satu masa. Terasa sangat penat otak ini menyiapkan tugasan serta berfikir tanpa henti. Kerja datang bertimpa-timpa sehingga diri ini dirasakan tersangatlah stress. Apa yang aku fikirkan, apa je kerja yang dilakukan mesti ada cabaran tersendiri. So  kalau tukar kerja lain pun mesti ada je risikonya. 

Apa yang boleh dilakukan, cuba positifkan diri sendiri. Katakan pada diri, "Aku lakukan kerja ini setakat yang aku mampu dengan sebaik mungkin". Insya Allah hati jadi ikhlas dan ceria untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. 


Setiap masalah mesti ada penyelesaiannya. So jangan lari dari masalah tersebut. Hadapilah dengan hati yang lapang walaupun ianya menyakitkan hati. Hanya berusaha dan berdoa agar dimudahkan oleh Allah SWT untuk menghadapi masalah berkenaan. Doa senjata orang Mukmin. 

Ada ketikanya kita malu untuk meluahkan perasaan atau masalah kita kepada orang lain. Cubalah mencari seorang sahabat yang boleh kita berkongsi suka dan duka. Kerana "sahabat yang baik itu umpama minyak wangi, baunya wangi serta menyenangkan kita". Jika dia tak mampu tolong selesaikan masalah kita pun, sekurang-kurangnya dia dapat mendengar. 

Selalulah ingat bahawa walau susah macam mana pun kita, ada insan lain yang lebih susah dari kita. Usah merasakan diri kita yang paling malang dalam dunia ni. Lihatlah orang yang berada di bawah kita.  Kerana setiap manusia diuji Allah SWT dengan ujian yang berbeza-beza (ujian susah dan senang).