31 July 2013

Terima Kasih Lagi

Assalamualaikum,

Sebelum ini aku ada terima kad raya pertama dari blogger Chipmunk (chipmunkandbarney.blogspot.com). Alhamdulillah petang semalam(30/7/2013) terima kad raya dari blogger Ejulz (kampung-kameq.blogspot.com) dan petang tadi (31/7/2013) dari blogger Kathy (coretanhatikathy.blogspot.com). 

Kad raya dari blogger Ejulz
Kad raya dari blogger Ejulz
Kad raya dari blogger Kathy
Kad raya dari blogger Kathy

Petang semalam juga (30/7/2013) alhamdulillah aku telah menerima hadiah teka dan menang dari blogger Fiza (ourmemoria.blogspot.com). 
Hadiah dari blogger Fiza
Hadiah dari blogger Fiza
Jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka semua. Aku amat-amat menghargainya. 

^_^

Wordless Wednesday #14 - Al-Quran

Assalamualaikum,

Jom baca al-Quran


p.s: Jom memperbanyakkan membaca al-quran.. 

^_^

Murtabak Mini Pemanggang Ajaib

Assalamualaikum, 

Murtabak Mini Pemanggang Ajaib ni aku cuba buat pada hari ahad yang lalu untuk berbuka puasa bersama family kakak aku. Resipi asal memasak menggunakan kuali leper aku ambil dari myresipi. Aku ubahsuai kaedah memasak menggunakan Pemanggang Ajaib.

Murtabak Mini Pemanggang Ajaib
Murtabak Mini Pemanggang Ajaib
Bahan-bahan Inti:
100 gram isi ayam - dicincang
2 biji ubi kentang (saiz sederhana) - dipotong dadu kecil
1½ sudu rempah kari daging - dibancuh dengan sedikit air
1 biji bawang besar (saiz sederhana) - dipotong dadu kecil 
1 ulas bawang putih - dipotong dadu kecil
sedikit daun sup
2 sudu kecil garam
2 biji telur
sedikit minyak (untuk menggoreng)

Bahan-bahan Kulit:
Kulit popia (aku guna 9 keping) 

Cara-cara Memasak: 
Inti:
1) Masukkan sedikit minyak ke dalam Pemanggang Ajaib,tumiskan bawang besar dan bawang putih.

2) Masukkan rempah kari dan masak sehingga pecah minyak.

3) Masukkan ayam dan masak sehingga masak.

4) Kemudian masukkan kentang dan perasakan dengan sedikit garam (boleh juga tambah serbuk perasa jika suka - aku memang tak suka guna serbuk perasa). Masak sehingga kentang empuk dan akhir sekali masukkan daun sup. Kemudian angkat inti dan basuh Pemanggang Ajaib. 
Murtabak Mini Pemanggang Ajaib

5) Pukul telur dalam mangkuk dan gaulkan bersama inti yang telah dimasak dan kacau sehingga sebati.

Cara Membungkus:
1) Ambil kulit popia dan masukkan 2 sudu besar inti murtabak. Kemaskan di bahagian tepi (aku main lipat je bahagian tepi supaya tak terbuka).

2) Panaskan sedikit minyak di dalam Pemanggang Ajaib. Goreng murtabak sehingga masak di kedua-dua bahagian. Aku dapat 9 keping  murtabak.
Murtabak Mini Pemanggang Ajaib

Selamat mencuba..

Resipi Pemanggang Ajaib (dah dicuba):

^_^

Ramadhan Give Away

Assalamualaikum, 

GIVEAWAY MAZATUL AZURA

Pertama sekali terima kasih diucapkan kepada beliau kerana sudi menjemputku untuk menyertai giveaway beliau. Walaupun hari ni tarikh akhir, aku akan join juga untuk menyokong beliau. Yang penting, syaratnya pun sangat mudah iaitu hanya follow blog beliau sahaja.. 

Hadiah-hadiah yang ditawarkan:
Kain pasang - Batik Canting (RM130)
Saguhati untuk 5 orang
Top Refferal akan menerima Hadiah Misteri..

Tarikh tamat : 31 Julai 2013

So masih sempat nak join lagi di saat akhir. 

Jika berminat nak join, boleh klik sini ----> Mazatul Azura

^_^

30 July 2013

Kisah Aku dan Kad Raya Pertama

Assalamualaikum,

Rasa janggal pula bila sudah lama tidak menulis di blog ini.  Kesibukan aku di atas urusan keluarga selama beberapa hari ini membataskan waktu aku untuk berblog. Mohon maaf kerana tidak sempat berkunjung kembali ke blog rakan-rakan. 

Insya-Allah hari ini dan esok sedaya upaya aku akan membalas kunjungan rakan-rakan blogger dan follow kembali blogger yang sudi follow di sini. Komen kalian untuk entri sebelum ini akan aku publish satu persatu iaitu setelah blogwalking

Kad Raya Chipmunk

Kad raya pertama dari blogger telah selamat sampai pada hari Sabtu (27/7/2013) yang lalu dari blogger Chipmunk (Aisya). Jutaan terima kasih diucapkan kepada beliau di atas ingatan tulus ikhlas. Aku amat-amat menghargainya. 

^_^

27 July 2013

Serba Salah Nak Balik Beraya

Assalamualaikum,

Entah mengapa mood aku untuk pulang berhari raya di kampung pada tahun ini sangat hambar. Hatiku rasa berdebar-debar, sedih dan sangat kecewa bila mengingatkan apa yang telah berlaku. Semakin dibiarkan semakin menjadi-jadi pula perasaan ini.

Tolong
Tolong!!! (Gambar hiasan) - antiagingremedies.org
Ketika pulang ke kampung menziarahi jenazah arwah opah aku meninggal pada 7 Ramadhan yang lalu,  aku singgah di rumah tinggalan arwah ayah. Alangkah terkejut apabila mendapati ruangan dapur kosong, semua peralatan elektrik lesap (mungkin pencuri bawa lori angkut semua).

Ini bukanlah kali pertama rumah aku dipecah masuk, dah lebih dari 10 kali (berbelas kali sebenarnya), tapi yang aku sempat buat laporan polis hanya 5 kali. Kali terakhir aku buat laporan ketika pulang berhari raya tahun 2012. Setiap kali kena ceroboh memang ada benda yang hilang.

Aku nekad mencari lori untuk memindahkan baki barangan yang tinggal ke rumah saudara aku dan sedekahkan je apa yang patut. Tak dinafikan memang kedudukan rumah aku agak terpencil memudahkan pencuri untuk menjalankan aktiviti mereka.

Teringat perbualan aku dengan pegawai penyiasat polis ketika membuat laporan di balai polis dulu, "Selalunya kes pecah rumah ni penagih dadah yang buat." kata polis tu. "Polis tak boleh ke ambil tindakan?" aku menyoal. "Tugas kami tangkap mereka bila cukup bukti. Jika positif dadah, kami serahkan kepada pusat serenti untuk pemulihan." balas polis tu.

Perasaan aku di saat ini geram kerana tidak mampu melakukan apa-apa. Memang menyusahkan orang betul 'sampah masyarakat' ni. Kalau ikutkan hati aku yang tengah marah ni nak je aku tangkap mereka bagi makan harimau atau buaya ke (kejam betul aku)

Persoalan sama ada aku harus pulang beraya di kampung atau beraya di perantauan masih bermain di minda aku. Untuk apa aku harus pulang? "Jangan lari dari masalah, hadapilah walaupun perit." pesan mak aku. Tapi adakah aku setabah itu? 

^_^

Ramadhan Giveaway by ZZ

Assalamualaikum,

Pertama sekali terima kasih diucapkan kepada blogger Fiza kerana sudi tag diri ini untuk join segmen ni. Hari ini baru aku merajinkan diri untuk join segmen. 

Tarikh tutup : 30 Julai 2013

Boleh klik banner di atas jika anda berminat untuk join juga.

^_^

26 July 2013

Sentuhan Seekor Anjing

Assalamualaikum,

Pernah disentuh anjing? Pekerjaan aku suatu ketika dahulu perlu masuk ke ladang bagi memantau pembinaan kemudahan asas oleh syarikat swasta yang mendapat bantuan kerajaan. Peristiwa ini terjadi ketika aku ke salah satu projek sangkar perikanan di Lahad Datu, Sabah. 

Sentuhan Seekor Anjing
Sentuhan Seekor Anjing (Gambar hiasan) - komar.org
Ketika aku sedang leka merakamkan gambar di sekitar kawasan ladang itu, tanpa aku sedari seekor anjing menghampiri aku. Tiba-tiba terasa sesuatu menyentuh kaki aku dan kelihatan seekor anjing merenung manja ke arah aku. "Tolong.." spontan aku menjerit sebab terkejut. 

Pemilik ladang segera datang dan menghalau anjing itu. Sepanjang perjalanan balik ke hotel aku berbual dengan beberapa orang staf (semua staf lelaki, aku seorang je perempuan)"Perlu ke saya samak seluar saya yang disentuh anjing tadi?" aku menyoal. "Tak perlu samak jika seluar awak dan anjing tu dalam keadaan kering." balas salah seorang staf.  

Bagi menguatkan lagi kata-kata staf itu, aku telah merajinkan diri untuk google mengenai perkara itu. Benarlah kata staf itu, jika tersentuh anjing dalam keadaan kita dan anjing tu kering tidak perlulah menyamak. 

Sumber : Islam Grid.gov

^_^

25 July 2013

Menggoda atau Tergoda?

Assalamualaikum, 

Adik jangan menggoda, Jangan tunjuk lawa, Biar cantik di mata, Manis budi bahasa
Bila dia merayu, Jangan lupa diri, Nampak macam pemalu, Sudah ada isteri
Abang apa kurangnya, Suka nak melaram, Bikin hati adik naik geram
(Petikan lirik lagu Joget Sayang di Sayang nyanyian Anita Sarawak)

Adakalanya mungkin ada yang tersalah langkah dengan mewujudkan hubungan terlarang dengan gadis, jejaka, isteri atau suami orang. Siapakah yang harus dipersalahkan? Lelaki atau wanita? Jawapannya tentulah jika bertepuk sebelah tangan pasti tak berbunyi.

Menggoda atau Tergoda
Menggoda atau Tergoda (Gambar hiasan) - Google
"Dia yang menggoda aku dulu. Takkan aku nak menolak." kata si lelaki dengan penuh keegoan. "Tapi dia yang tergoda dengan keayuan dan kelembutan aku. Bukan niat aku untuk menggoda dia pun" jawab si wanita pula. 

Oleh itu, sama ada lelaki atau wanita, usah menggoda dan tergoda. Semua itu adalah tipu daya syaitan agar anda terlanjur dengan pujuk rayunya. Berkahwinlah secara baik kerana salah satu dari hikmah perkahwinan adalah mencegah kemungkaran. 

Bagi yang sudah berumahtangga, setialah kepada isteri atau suami anda. Hargailah orang yang anda sayang dengan menjaga hati dan perasaannya agar tidak terluka dengan perbuatan anda. Kenangkan balik pengorbanan suami atau isteri anda di dalam melayari bahtera rumah tangga bersama anda. Carilah titik persefahaman.

(Auto publish)
^_^

24 July 2013

Miss Him..

Assalamualaikum,

Hari ini 24 Julai 2013 genaplah 18 tahun aku kehilangan insan yang aku sayangi iaitu ayahanda tersayang (kisah di sini). Bermakna 18 tahun juga aku menyambut Ramadhan dan Syawal tanpa dia di sisi. Sudah lama juga aku tidak mengunjungi pusara ayah di saat Syawal tiba disebabkan keuzuran. 

Gambar lama arwah ayah
Teringat ketika mula memasuki sekolah menengah dahulu aku sering mempersoalkan kenapa orang lain ada ayah yang menghantar dan menjemput mereka ke sekolah, sedangkan aku terpaksa bangun awal pagi untuk menaiki bas pergi dan balik ke sekolah.

"Kakak mesti tabah hadapi ujian dari Allah SWT. Dia lebih sayangkan ayah. Ayah hanya dipinjamkan kepada kita. Sekurang-kurangnya kakak diberi peluang untuk merasai kasih sayang ayah walaupun seketika." mak selalu memujuk aku dengan kata-kata itu. 

Serius, aku amat merindui arwah ayah aku. Segala jasa dan pengorbananya sehingga ke hembusan nafas yang terakhir tak akan aku lupakan. Hanya iringan doa dan bacaan ayat suci al-Quran yang mampu aku titipkan kepadanya. Al-fatihah untuk dia.. 


Wordless Wednesday #13 - Bayang-bayang

Assalamualaikum,

Bayang-bayang


^_^

23 July 2013

Kisah Raya Tahun 2012

Assalamualaikum,

Sejak mak tinggal bersama aku, kami pulang beraya di kampung menjelang hari raya pertama (jalanraya dah tak sibuk masa tu). Tentunya kami menginap di rumah tinggalan arwah ayah di kampung. Aku telah berjanji untuk beraya bersama kakak aku sekeluarga di kampung (kakak aku pun dari Kuala Lumpur)

Petang hari raya kedua kakak aku mengajak ke rumah saudara kami di Gerik. Tentunya seronok sesekali dapat berhari raya bersama saudara. Kami keluar selepas waktu Asar dan pulang semula ke rumah lebih kurang jam 11.00 malam. 

Pintu tidak bertutup rapat
Pintu tidak bertutup rapat (Gambar hiasan) - kizgarden.blogspot.com
Alangkah terkejutnya apabila sampai di rumah, pintu tidak bertutup rapat. "Mak lupa tutup pintu ke?" aku menyoal. "Rasanya dah tutup dan kunci tadi." balas mak aku. "Adik pun dah check tadi. Memang berkunci elok." balas adik aku pula mengiyakan kata-kata mak. 

Masuk je ke dalam rumah memang terkejut sebab rumah dah dipecah masuk. Pencuri tu selongkar barangan anak saudara lelaki aku dan curi barangan seperti syampu, perfume dan deodoran. Barang kakak aku pula sampul duit raya yang telah siap diisi duit bernilai keseluruhan lebih kurang RM300.00 dan kotak berisi kerongsang baru dibeli hilang. Nasib baik aku, mak dan adik tak tinggalkan barangan beharga di rumah tu. 

First time aku hubungi nombor 999 memandangkan aku tak tahu nombor telefon terus polis daerah. Tengah malam tu juga polis penyiasat tiba dan melakukan siasatan. "Tiada kesan cap jari ditemui. Mungkin dia pakai sarung tangan." balas polis tu.

Malam tu nak tidur pun tak lena sebab takut (sebenarnya ini kali ke-5 polis datang ke rumah aku. Sebelum ni memang dah kerap rumah aku dipecah masuk. Kami memang jarang pulang ke rumah itu). Itulah salah satu kisah berhari raya yang tak akan aku lupakan. 

^_^

22 July 2013

Susah Nak Puaskan Hati Semua Orang

Assalamualaikum,

Adakalanya kita dah cuba buat yang terbaik, namun masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kita. Terutamanya di dalam menjalankan kerja, selalunya kita akan menyiapkan tugasan yang diamanahkan sebaik mungkin. 

Contoh yang paling mudah ketika menyediakan slide pembentangan untuk mesyuarat bersama Ketua Pengarah. Siang malam kita bertungkus-lumus berusaha untuk mengumpulkan maklumat dan menyiapkan slide itu agar ianya sempurna.

Pembentangan slide
Bersemangat  (Gambar hiasan) - Google
Tapi bila tiba hari mesyuarat lain pula senarionya. "I tak setuju dengan cadangan yang you kemukakan tu. Ianya akan merugikan jabatan kita. I nak you buat semula." kata Ketua Pengarah. Memang rasa kecewa mendengarnya, seolah-olah hasil kerja kita tidak dihargai dan seperti 'sampah' sahaja. Lebih malu apabila kita ditegur di hadapan semua Pengarah Bahagian. 

Oleh itu, bersabarlah walau apa pun kritikan mereka kepada kita. Kentalkan hati untuk menerima teguran itu, anggap ianya teguran yang positif dan membina. Memang susah kita nak puaskan hati semua orang. Teringat kata-kata bos lama aku, "Sebenarnya gaji yang you all terima setiap bulan tu memang dah termasuk untuk dikritik dan dimarahi." 

^_^

21 July 2013

7 Tips Cegah Diabetes

Assalamualaikum,

Diabetes terjadi apabila pankreas seseorang itu tidak dapat menghasilkan atau menghasilkan hanya sedikit insulin. Apabila insulin sedikit, kadar gula di dalam badan akan melebihi keperluan (insulin berfungsi menukarkan glukosa/ kanji/ makanan kepada tenaga). (1)

Pepatah ada mengatakan, "Mencegah lebih baik daripada merawat". Jadi seeloknya kita berusaha untuk mencegah penyakit ini sebelum terkena. Bagaimanakah cara untuk mencegah diabetes?(2)

1. Pantau Body Mass Index (BMI)
Cara pengiraan BMI : 

2. Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran
Hadkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak. 

3. Bergerak aktif 
- Bersenamlah secara rutin. 
- Sekurangnya-kurang 20 minit setiap sesi, 3 kali seminggu. 

4. Hindari rokok dan alkohol
Katakan tidak kepada rokok dan alkohol. 

5. Ketahui faktor risiko yang ada pada anda
- Berumur ≥ 30 tahun
- BMI lebih ≥ 25kg/m2
- Wanita yang mempunyai sejarah diabetes ketika hamil
- Wanita yang melahirkan bayi ≥ 4kg
- Menghidap hipertensi 

6. Jalani pemeriksaan saringan diabetes secara rutin
- Jika anda berisiko, sila jalani saringan diabetes setahun sekali. 
- Anda mungkin menghidap diabetes jika bacaan sampel darah ketika puasa menunjukkan ≥ 7.0 mmol/L 

7. Dapatkan pertolongan untuk mengubah gaya hidup anda
- Dapatkan sokongan dari ahli keluarga dan rakan-rakan. 
- Minta bantuan dari anggota kesihatan di klinik.


Sumber : 
(1) Buku (Panduan Membelai Diri Indah di Mata, Patonah Chai Choh, Alaf 21 Sdn. Bhd.)
(2) Pamplate Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
(3) Gambar (Google)




^_^

20 July 2013

Telur Dadar Pemanggang Ajaib

Assalamualaikum,

Tiada idea memasak untuk bersahur? Cubalah masak telur dadar menggunakan Pemanggang Ajaib. Telur dadar merupakan masakan yang simple dan boleh juga dipanggil 'lauk kecemasan' (sebab kalau dah takde lauk lain telur dadar pun dah ok). 

Dalam masa tak sampai 5 minit telur dadar berjaya disiapkan hanya dengan memasak menggunakan Pemanggang Ajaib.

Telur Dadar Pemanggang Ajaib
Telur Dadar Pemanggang Ajaib

Bahan-bahan:
3 biji telur ayam
1 biji bawang besar (saiz sederhana)
4 biji cili padi (dipotong halus) - boleh lebihkan jika suka pedas
sedikit daun sup (dipotong halus) - jika tak suka sayur tak perlu letak (aku tak letak sebab takde)
garam secukup rasa

Cara-cara Memasak:
1) Sediakan bahan-bahan.
Bahan-bahan telur dadar
Bahan-bahan simple je
2) Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan perasakan dengan sedikit garam. Masukkan bawang besar, cili padi dan daun sup. Kacau sehingga kembang (aku kacau guna garfu je).
Telur, garam, bawang besar dan cili
Telur, garam, bawang besar dan cili
3) Panaskan sedikit minyak di dalam Pemanggang Ajaib. Apabila minyak telah panas, masukkan adunan telur. Tutup Pemanggang Ajaib dan masak di atas api yang sederhana.
Adunan telur pemanggang ajaib
Adunan telur
5) Balikkan Pemanggang Ajaib sehingga kedua-dua bahagian telur masak. Sedia dihidangkan bersama tomyam dan nasi panas (boleh hias jika suka. Aku takde bahan nak hias. Nampak kosong aje la telur dadar aku buat).  
Telur dadar pemanggang ajaib dah siap
Telur dadar pemanggang ajaib dah siap
^_^

19 July 2013

Bacaan Talkin Menginsafkan

Assalamualaikum,

Alhamdulillah aku baru pulang dari kampung. Jenazah arwah opah aku telah selamat dikebumikan selepas solat Zohor pada petang Rabu yang lalu (kisah di sini). Nasib baik aku sekeluarga sempat sampai pada tengahari itu dan sempatlah juga menatap dan mencium wajah arwah opah buat kali terakhir. Jika ku lihat wajahnya kelihatan tenang dan tersenyum, seolah-olah dia sedang tidur lena. 

Kubur
Destinasi terakhir di dunia (Gambar hiasan) - Google
Aku turut melihat dari luar kawasan tanah perkuburan jenazah opah aku dikebumikan. Sesungguhnya rasa terlalu sebak dan insaf di atas dosa-dosaku yang lalu di saat mendengar bacaan talkin. Adakah aku layak menghuni liang lahad itu juga?

Setelah bacaan talkin tamat, dari jauh segerombolan awan datang dan hujan turun memadatkan tanah kubur yang baru ditimbus. Rasa sedih mengenangkan permergian arwah, namun aku merasa bersyukur kerana Allah SWT telah mengakhiri penderitaan sakit tua yang ditanggungnya.

Teringat pesan arwah opah ketika aku balik dahulu, "Jangan tinggalkan solat, rajin-rajinlah buat solat sunat Tahajud, Taubat, Hajat dan Dhuha. Amalkan membaca al-Quran dan bersedekah, insya-Allah kita akan tenang." Bila aku kenangkan balik, ternyata ada di antara pesanannya itu sudah lama aku tidak amalkan. Al-fatihah untuk arwah opah..

p.s: Hari ini insya-Allah akan membalas kunjungan rakan-rakan blogger yang sudi berkunjung di blog aku. Terima kasih kepada semua.. 

^_^

Kisah 10 Cucuk Sate

Assalamualaikum,

Sate Ayam
Sate (Gambar hiasan) - Google
Sudah hampir sebulan mak ngah aku meninggal dunia (kisah di sini). Tiba-tiba pula teringat jasanya selepas kematian arwah ayah aku (tahun 1995). Dia dan pak ngah aku sering datang menjenguk aku sekeluarga dan  memberikan sokongan kepada kami. 

Kehidupan sebagai anak yatim yang miskin di waktu kecil memang sukar (kerana ia melibatkan emosi). Pada suatu hari seperti biasa mereka berdua mengunjungi kami. "Kakak teringin nak makan sate la mak." aku memberitahu mak aku ketika di dapur (panggilan manja aku dalam keluarga kakak). "Tapi mak tak cukup duit sekarang ni. Tak apa, nanti mak usahakan." balas mak aku. Kehidupan kami memang sangat susah ketika itu. 

Rupa-rupanya kata-kata aku telah didengari oleh mak ngah aku. Aku mencuri dengar perbualan mereka di sebalik pintu bilik. "Abang pergi la belikan sate tu untuk Za." mak ngah berbisik kepada pak ngah. "Tapi gaji abang belum masuk lagi, anak-anak kita di rumah pun kita tak belikan." balas pak ngah aku dalam nada berbisik juga. Mereka mempunyai 9 orang anak yang ketika itu masih bersekolah dan ada yang masih kecil.

"Tak apa la abang, belikan dulu 10 cucuk sate tu. Kasihan anak yatim teringin nak makan tu." balas mak ngah aku. Pak ngah aku segera keluar ke kedai dan membelikan sate itu, maka lepaslah kempunan aku. 

Seminggu kemudian mereka mengunjungi kami lagi. Aku dengar mak ngah berbual dengan mak aku, "Balik dari rumah kak Kiah (dia panggil mak aku kak sebab umur dia lebih muda dari mak aku) hari tu ada Azli (sepupu aku) bagi 100 cucuk sate untuk kami anak beranak. Alhamdulillah rezeki." katanya. 

Kini baru aku perasan, benarlah jika memberikan sedekah dengan hati yang ikhlas, akan dibalas 10 kali ganda dari sedekah itu. Ternyata sedekah yang pak ngah dan mak ngah bagi kepada kami sekeluarga berupa 10 cucuk sate itu telah dibayar tunai di dunia dalam bentuk 100 cucuk sate. 

Walaupun mak ngah telah meninggal dunia, aku selalu mendoakan semoga Allah SWT memberikan balasan setimpal dengan kebaikan dia kepada aku ketika masih bergelar anak yatim dahulu. Semoga Allah SWT menempatkan dia di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah..  

(Auto publish)
^_^

18 July 2013

Cari Titik Persefahaman

Assalamualaikum,

"Dah 15 tahun aku kahwin, dia dah tak secantik dulu. Dulu kurus tapi sekarang dah gendut. Aku balik pun dia buat tak kisah, selalu sibuk kerja dan layan anak je." keluh si suami. "Sepanjang 15 tahun kahwin, dia asyik sibuk dengan kerja je, aku selalu ditinggalkan bersama anak-anak. Dulu berambut, sekarang dah botak pula." keluh si isteri pula.

Persengketaan
Persengketaan (Gambar hiasan) - Google
Tiada persefahaman dan kemesraan adalah alasan untuk suami atau isteri mencari insan lain sebagai pengganti yang akhirnya boleh menjadi punca kepada perpisahan. Maka terjadilah curang sama ada di pihak suami atau isteri.

Apa kata kita cuba berfikir secara positif dan rasional. Jom pejamkan mata dan fikirkan sejenak..

Suami fikirkan isteri:
  • Dia sanggup bekerja demi menampung keperluan keluarga aku. Sedangkan itu kewajipan utama aku untuk mencukupkan semuanya.
  • Dia sanggup melahirkan anak-anak untuk aku. Bukan mudah seorang wanita mengandungkan bayi selama 9 bulan, melahirkan dan mendidik anak menjadi insan berguna. 
  • Aku cintakan dia bukan kerana paras rupa, tapi kerana dia telah membahagiakan aku pada satu ketika dulu. 
  • Dia sanggup menjaga dan mendidik anak aku sendirian, sedangkan aku sibuk bekerja. Pasti dia memerlukan aku di sisinya. 
Isteri fikirkan suami:
  • Syurga aku di bawah tapak kaki dia. Jadi aku perlu taat dan melayan dia dengan baik. 
  • Aku tak patut membebel sekiranya dia keletihan sewaktu pulang dari kerja. Mungkin dia rasa tertekan dengan pekerjaanya.
  • Aku mesti terima dia dengan seadanya walaupun dia dah tak kacak seperti dulu. Dia telah membahagiakan aku. 
  • Aku harus bijak membahagikan masa di antara kerjaya dan rumah tangga. Aku tak sepatutnya mengabaikan dia dan anak-anak. 
Oleh itu, titik persefahaman berikut perlu diwujudkan:
  • Berbincang secara elok jika ada konflik rumah tangga. Elakkan bertengkar di hadapan anak-anak dan ahli keluarga pasangan anda. 
  • Luangkan masa berkualiti bersama pasangan dan anak-anak. Contohnya bercuti bersama anak-anak atau berekreasi di tempat perkelahan. 
  • Bantu isteri melaksanakan kerja rumah yang ringan. Contohnya mencuci pinggan selepas makan. 
  • Apa salahnya jika suami membelanjakan sedikit wang untuk membawa isteri ke pusat pelangsingan sekiranya nak tengok isteri sentiasa cantik. 
  • Bersyukurlah anda dan pasangan telah ditakdirkan panjang umur dan mempunyai anak yang soleh/solehah. Bukan semua orang yang merasai nikmat itu. Jadi tugas anda adalah untuk mengekalkan keharmonian itu. 
  • Lakukan hobi atau minat bersama. Contohnya jika suami minat memancing, sesekali temankan dia pergi memancing. 
  • Terimalah kelebihan dan kekurangan pasangan anda dengan seadanya. Tiada insan yang dilahirkan 100% sempurna dalam dunia ini. 
Penulisan di atas sekadar pandangan peribadi aku melalui pemerhatian dan pembacaan aku sahaja (pengalaman sebenar memang tiada lagi setakat ini). Sekiranya ada sebarang pertambahan idea, bolehlah dinyatakan di sini. 

(Auto publish)
^_^

17 July 2013

Balik Kampung Segera

Assalamualaikum,

Jam 6.35 pagi tadi aku mendapat panggilan telefon dari ibu saudara aku di kampung. Opah aku telah meninggal dunia pada usia 89 tahun. Adik aku pula telah bertolak ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur sebelum itu. Sebentar lagi adik aku pulang dan insya-Allah kami akan bertolak pulang ke kampung dengan segera.

Kebetulan beberapa hari sebelum ni memang aku selalu mimpikan opah aku, ternyata ianya memang menjadi kenyataan. Allah SWT lebih menyayanginya, aku redha di atas ketentuan ini kerana sudah lama dia menderita sakit tua. 

Entri di blog aku beberapa hari ni aku akan buat auto publish. Mohon maaf di atas segala kesilapan aku kepada rakan-rakan blogger selama perkenalan kita di alam maya. Doakan semoga perjalanan pergi dan balik aku sekeluarga ke kampung selamat. 



16 July 2013

Tips Kekal Cergas di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum, 

Bulan ramadhan bukanlah alasan untuk kita memberi alasan cepat letih, malas atau mengantuk. Bagaimana untuk kekal cergas secara semulajadi di bulan ramadhan? Hari ini aku kongsikan beberapa tips yang mungkin berguna: 

1. Makan secara teratur ketika bersahur dan berbuka puasa

Elakkan makan secara berlebihan ketika bersahur atau berbuka puasa. Mulakan bersahur dan berbuka sekurang-kurangnya dengan kurma. Makanan secara berlebihan ketika berbuka boleh menyebabkan rasa mengantuk ketika menunaikan solat sunat Tarawih. 

2. Elakkan tidur berlebihan
Tidur berlebihan boleh menyebabkan kita berasa sangat lapar ketika terjaga dari tidur. 

3. Manfaatkan masa terluang dengan melakukan aktiviti berfaedah

Isi masa terluang dengan aktiviti seperti menulis, membaca atau paling baik membaca al-quran dan berzikir. Ini dapat membuatkan kita lebih produktif kerana aliran darah yang baik di seluruh  badan kita. 

4. Sentiasa tersenyum ketika melakukan kerja atau tugasan harian
Tak kiralah suri rumah atau pekerja pejabat, senyuman mampu meredakan tekanan dalam diri anda. Jika mood kita ceria insya-Allah urusan seharian dapat dilaksanakan dengan lancar. 

Selamat mencuba..

Sumber gambar : Google
(Auto publish-urusan di hospital)
^_^

Hantu Penanggalan

Assalamualaikum,

Kisah ini terjadi sehari sebelum 1 Syawal, kiranya masih Ramadhan lagi la. Masa tu umur aku 11 tahun (tahun 1994). Petang tu arwah ayah aku dan mak aku sibuk membakar lemang di luar rumah. Rumah aku memang misteri sikit sebab dekat dengan hutan. 

Hantu Penanggalan
Hantu Penanggalan
Belakang rumah ada gunung dan sebelah kiri kanan (di luar pagar rumah) dipenuhi semak-samun dari tanah sebelah yang tidak diuruskan. Kiranya rumah aku memang sebuah dan tiada jiran. Masa tu mak aku dah siap bakar lemang dan nak masuk ke dalam rumah (dah masuk waktu maghrib). 

Tiba-tiba ada 'benda' berkelip-kelip cuba menghampiri bahagian belakang rumah ku. Bahagian atasnya berbentuk bulat, namun bahagian bawahnya panjang berjurai (macam obor-obor). Mak aku menjerit memanggil ayahku, "Abang, benda apa tu?" soal mak aku. 

"Mercun aje tu." balas ayahku selamba (sebenarnya ayahku tak nak takutkan mak aku). Tapi tak mungkin mercun sebab rumah aku mana la ada jiran, ye la kalau ada jiran tu mungkin mereka yang main mercun kot (kalau UFO yang mendarat belakang rumah aku lagi la aku tak percaya). 

Sehingga kini ianya masih menjadi tanda tanya. Mak aku cakap benda tu adalah 'hantu penanggalan'. Kebetulan pula masa tu kakak aku memang sedang sarat mengandungkan anak sulungnya. Mujur di belakang rumahku memang ayahku tanam pokok nenas. Dan keliling rumahku memang mak tanam pokok bunga berduri (bunga kertas dan mawar). Aku pun tak pasti nak percaya atau tak, kerana makhluk halus memang wujud di sekeliling kita. 

^_^

15 July 2013

Segmen : Sebulan Berblog By Shakira

Assalamualaikum,

Pertama sekali terima kasih diucapkan kepada Zaki kerana sudi tag diri ini untuk segmen ini. Syarat yang ditetapkan pun sangat mudah. 

Boleh klik banner di bawah untuk join.
Tarikh tamat : 18 Julai 2013

Tag: Zara

^_^

Bekerja Atau Dikerjakan?

Assalamualaikum, 

Bekerja atau dikerjakan? Apa bezanya di antara kedua-duanya? Bekerja semestinya pekerjaan dibuat dan mendapat upah atau gaji. Dikerjakan pula mungkin dibuli sama ada oleh bebanan kerja yang banyak, persekitaran atau rakan sekerja yang tertekan dan semestinya bos yang diktator.

Bekerja
Bekerja atau dikerjakan? (Gambar hiasan) - Google
Menjadi lumrah bekerja, pasti ada insan lain yang mungkin mempergunakan anda untuk kepentingan mereka. Jika dipuji pasti dia berbangga, kononnya kerja itu dia yang buat. Namun jika dikritik cepat sahaja dia menunding jari kepada anda. Yang peliknya golongan macam ni la yang bos sayang sebab pandai 'mengipas' (bodek) bos.

Apakah tindakan anda? Hanya mendiamkan diri? Berikut aku kongsikan beberapa langkah yang mungkin boleh dilakukan:
  1. Bertegaslah jika kerja itu di luar skop kerja anda. Anda dibayar gaji hanya untuk membuat kerja itu sahaja. Jadi mengapa harus merajinkan diri untuk membuat kerja untuk orang lain.
  2. Tidak salah jika berniat untuk membantu rakan sekerja. Namun harus diingat anda WAJIB menyiapkan kerja hakiki anda terlebih dahulu sebelum menyibuk membantu orang.
  3. Jika anda seorang ketua, bahagikan tugasan atau kerja yang perlu disiapkan kepada beberapa orang pekerja bawahan anda dan pantau kemajuan pelaksanaan kerja berkenaan. 
  4. Jika anda berjaya melaksanakan sesuatu tugas, berterus-teranglah kepada bos bahawa anda yang buat. Jangan biarkan pepatah 'lembu punya susu, sapi dapat nama' terjadi dalam kerjaya anda. 
  5. Simpan salinan bukti-bukti hasil kerja anda  (soft copyberasingan dari meja kerja (mungkin ianya berguna apabila kawan makan kawan terjadi atau anda dijadikan 'kambing hitam')
Mana satu pilihan anda? Bekerja atau dikerjakan? Pilihan terletak di tangan anda.

^_^

14 July 2013

Tips Penjagaan Mata Selepas Pembedahan Katarak

Assalamualaikum, 

Salah satu daripada pancaindera penting yang dikurniakan Allah SWT kepada kita adalah mata. Mak aku telah selamat menjalani pembedahan mata bagi membuang selaput katarak di mata kirinya. Hari ini dikongsikan bebarapa tips yang aku praktikkan sepanjang menjaga mak.

Tips Penjagaan Mata Selepas Pembedahan Katarak
Tips Penjagaan Mata Selepas Pembedahan Katarak (Gambar hiasan) - michaelduplessie.com
Tahukah anda apa itu katarak? Katarak ialah kekaburan kanta di dalam mata yang mungkin disebabkan oleh penuaan biasa, kecederaan mata atau radang mata, pengambilan ubat tertentu atau penghidap kencing manis. Macam mak aku disebabkan faktor penuaan tu. 

"Sakit tak pembedahan mata tu mak?" aku bertanya kepada mak aku. "Langsung tak sakit. Dia masukkan kanta mata tu pun mak tak sedar." balas mak aku. Memang benar, aku tengok tiada kesan jahitan atau luka pun di sekeliling mata mak selepas pembedahan tu. 

Pembedahan tu mengambil masa tak sampai sejam pun. Namun rawatan susulan dengan pakar mata perlu dilakukan secara berkala. Aku telah berjumpa maklumat mengenai penjagaan mata ni dari laman web Changi General Hospital. 

Apa yang perlu dilakukan selepas pembedahan?
  • Pakar mata akan menyarankan titisan mata antibiotik dan mungkin beberapa ubat untuk melegakan kesakitan. Ikut saranan yang ditetapkan. 
  • Elakkan menggosok mata (walaupun merasa kurang selesa akibat kesan jahitan di mata ). 
  • Pakai pelindung mata pada waktu malam selama dua hingga tiga minggu selepas pembedahan (ini kerana semasa tidur mungkin anda akan menggaru mata). 
  • Elakkan melakukan aktiviti fizikal yang berat, contohnya berlari-lari anak atau berenang. Berhati-hati melakukan aktiviti ringan di rumah seperti berjalan dekat atau menaiki tangga yang rendah. 
  • Elakkan membongkok, mengangkat atau membawa objek berat. Membongkokkan kepala ke bawah akan menyebabkan tekanan ke atas mata. 
    • Apabila mengutip sesuatu daripada lantai, lakukannya dengan menegakkan belakang badan. 
    • Apabila memakai kasut, duduk di atas bangku dan angkat kaki atau minta bantuan orang untuk memakaikan kasut ke kaki. 
  • Elakkan mendukung kanak-kanak kerana mereka mungkin tidak sengaja akan mencucuk mata. 
  • Elakkan sabun, syampu dan air daripada memasuki mata ketika mencuci muka dan rambut pada minggu pertama selepas pembedahan. 
  • Elakkan memandu kenderaan untuk sekurang-kurangnya 6 minggu selepas pembedahan. 
  • Makan seperti biasa, namun makan lebih sayur-sayuran dan makanan yang kaya dengan serat (bagi mengelak sembelit yang menyebabkan tekanan kepada mata semasa membuang air besar). 
Bagaimana untuk memakai titisan mata yang disarankan? Ikuti arahan yang ditetapkan oleh doktor pakar bagi mencegah jangkitan selepas pembedahan:
  • Cuci tangan dengan sabun dan air. 
  • Kebelakangkan (dongak) kepala. Tarik kelopak bawah mata ke bawah.
  • Picit satu titisan daripada botol ke dalam mata. Pastikan supaya hujung botol titisan mata tidak terkena mata. 
  • Tutup mata untuk beberapa saat. 
  • Jika jenis titisan mata yang kedua diperlukan, tunggu selama lima minit sebelum memakai titisan kedua.
  • Jangan sentuh hujung botol titisan mata dengan jari.
Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti mata sakit dan kemerahan, keluar sesuatu dari mata, penglihatan kabur secara tiba-tiba atau mata menjadi bengkak, segeralah berjumpa doktor pakar mata. Alhamdulillah kini mata mak aku dah pulih seperti biasa dan doktor pakar mata sarankan supaya mak memakai cermin mata biasa. 

p.s:
  • Mak aku ada alergik kepada beberapa jenis makanan laut, jadi selepas pembedahan tu memang dia tak ambil makanan laut kecuali ikan. 
  • Jika di waktu siang cahaya matahari terik menyebabkan mata mak aku silau dan pedih. Jadi aku belikan cermin mata gelap supaya dia selesa. 
Sumber : http://www.cgh.com.sg/Health_Library/Health_Information/Pages/HealthLibraryDetails.aspx?DID=249
^_^

13 July 2013

Belajar dari Sakit

Assalamualaikum,

"Lebih baik aku mati je dari terus menanggung derita ni." ada yang sampai sanggup berkata begitu hanya disebabkan putus cinta. Istighfar banyak-banyak, semoga anda tidak melakukan dosa besar itu hanya kerana cinta. 

Putus cinta
Putus cinta (Gambar hiasan) - rasasegar.blogspot.com
Buat apa kita nak sedih sedangkan dia gembira je mendapat pengganti kita? Ingatlah, cinta manusia datang dan pergi, hanya cinta kepada Allah SWT kekal abadi. Oleh itu, usahlah menyerahkan cinta anda 100% kepada si dia yang belum tentu menjadi milik mu. 

Tahukah anda, di saat kita belajar berjalan ketika masih kanak-kanak dahulu, berapa kali kita bangun, jatuh dan akhirnya terus bangun berjalan sehingga kini? Permulaannya memang menyakitkan, namun di hujungnya manis sekali. 

Perjalanan hidup kita masih jauh untuk menuju ke destinasi yang kekal abadi (akhirat). Dekatkan diri anda dengan Allah SWT, nescaya dia akan memelihara anda. Ingatkan diri, "Pasti Allah sayangkan aku, sebab tu Dia putuskan aku dengan si dia. Allah pasti tahu apa yang terbaik untuk aku dan pastinya Dia akan gantikan seseorang yang lebih baik dari si dia."

^_^

"1st Segmen Dari Blog Nazirahnyerr"

Assalamualaikum,

Pertama sekali terima kasih diucapkan kepada blogger Nazirah kerana sudi menjemputku untuk join segmen yang dianjurkan oleh beliau. Aku join untuk menyokong, lagi pun syarat yang dikenakan mudah sahaja. 

Klik banner di bawah untuk join.

Nama: Nor
Umur: 30 tahun
Birthday: 20 Disember
Makanan kegemaran: Makanan bergoreng yang pedas (contohnya ayam KFC, cendawan goreng, tempe goreng)
Minuman kegemaran: Air suam, teh ais
Hadiah paling istimewa yang pernah dapat: Tiket menonton konsert UNIC&In-team (masa belajar dulu)

^_^

12 July 2013

Jom Beristighfar

Assalamualaikum,

Sebagai manusia biasa, pasti kita tidak terlepas dari melakukan dosa sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Salah satu cara untuk memohon keampunan di atas dosa dan kesilapan adalah dengan cara bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.
Jom beristighfar
Jom beristighfar (Gambar hiasan) - Google
Istighfar boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana sahaja. Contoh istighfar yang boleh dibaca selepas solat lima waktu atau sebelum tidur adalah seperti berikut:

Istighfar

Apakah hikmah beristighfar? 
  1. Menghidupkan jiwa yang resah kerana dosa.
  2. Mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  3. Meningkatkan ketakwaan diri.
  4. Membenteras tipu daya syaitan, yang selama ini memerangkap manusia dengan dosa.
  5. Memperolehi kemuliaan dan anugerah Allah SWT di dunia dan akhirat. 
Oleh itu, jom kita memperbanyakkan beristighfar dan memohon keampuanan dari Allah SWT serta melakukan amal ibadat yang lain di bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga amalan ini akan berterusan di bulan-bulan yang lain juga.


Sumber : Buku Indahnya Hidup Bersyariat, Dato' Ismail Kamus, Telaga Biru

^_^

11 July 2013

Pelanduk Dua Serupa

Assalamualaikum,

Pernah tak orang tegur muka anda sama dengan muka seseorang? Kejadian ni berlaku ketika aku masih menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Hobi hujung minggu aku window shopping di kedai-kedai sekitar Kuala Terengganu. Dialog dalam entri ni aku tulis dalam Bahasa Melayu biasa (dialog asal loghat negeri Terengganu).

Wajah seiras
Wajah seiras (Gambar hiasan) - forevertwentysomethings.com
"Eh, bila balik sini? Tak bagi tahu pun. Boleh pergi ke rumah" tiba-tiba seorang lelaki menyapa aku sambil tersenyum. Terbantut niat aku yang tengah membelek tudung di kedai tu (tempat kejadian di kedai menjual tudung di tingkat atas bangunan Stesyen Bas MPKT).

"Maaf, saya tak kenal siapa pak cik." aku membalas sambil mengundur ke belakang (bersedia untuk lari keluar dari kedai tu jika apa-apa terjadi). "Bukan ke awak ni Hani anak Pak Da?" soal lelaki tu lagi (patut la dia nampak macam dah kenal lama je tadi). "Saya bukan Hani." aku membalas cuak.

Dia kerutkan dahi sambil terus memandang aku, tiba-tiba jantung aku berdegup kencang sebab takut dengan renungan matanya. "Maafkan saya. Ingatkan awak ni anak saudara saya tadi. Muka awak sama dengan mukanya. Sekarang dia sedang belajar di Mesir." pak cik itu membalas. Pakcik tu tuan punya kedai tu rupanya. Terus aku meminta diri keluar dari kedai itu, hilang mood nak membeli.

Lebih kurang sebulan lepas kejadian tu aku memberanikan diri mengunjungi kedai tu lagi sebab aku tengok ramai orang yang masuk. Sekali lagi dia bertanya sama ada aku ni Hani. Kali ini ada seorang wanita bersama dia. "Maaf, saya bukan Hani. Saya yang pernah pak cik salah tegur dulu tu." aku membalas.

"Maaf adik, saya ingatkan adik ni Hani, anak saudara kami. Muka adik memang sama dengan Hani." balas wanita itu (rupanya wanita tu isteri pak cik tu). Alang-alang dah berkenalan tu aku pun ambil kesempatan untuk minta diskaun ketika membeli tudung (jahatnya aku). Untung juga jadi 'pelanduk dua serupa' ni.

Yang aku musykil, tak sangka muka aku ni ada klon di Terengganu, sedangkan aku tiada saudara di sana. Aku pernah mendengar orang cakap ada 7 orang yang rupanya sama macam kita dalam dunia ni (tapi tak tahu sejauh mana betul kenyataan tu sebab tiada bukti kukuh yang menyokong).

Adakah anda juga pernah ditegur muka seiras dengan seseorang?

^_^

Terima kasih Lagi

Assalamualaikum, 

Selamat menjlani ibadah puasa pada hari kedua. Sebelum terlewat aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka kerana memberi. Mereka yang aku maksudkan adalah:

1. Blogger Mia Liana (http://www.mialiana.com/)- Pemenang Segmen #3 Bloglist 12 Jam Mialiana.com bagi Julai dan Ogos 2013


2. Blogger Kathy (http://coretanhatikathy.blogspot.com/) -  Pemenang Doodle Juri Blog Blog Coretan Hati Kathy

Juga dapat Header dan Cursor percuma dari Kathy



3. Blogger Cik Akak (http://sweetyzhanieyz83.blogspot.com/) - Pemenang Top Komentar Bulan Jun 2013 Blog Madah Cinta Cik Akak (Dapat Topup Celcom RM10.00)

4. Blogger Eddie (http://v12gether.blogspot.com/) - Pemenang Saguhati Give Away V12gether TOPUP RM30 2013 (Dapat Blog Review)

5. Blogger Yaya (http://www.cikyaya.my/) - Banner Giveaways Cik Yaya (Dapat banner)

Aku doakan semoga semuanya dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Kepada rakan-rakan blogger, jangan lupa singgah dan follow di blog mereka semua. Pasti tak rugi singgah di sana.. 

^_^