Assalamualaikum,
Kenaikan harga barang keperluan memberikan kesan kepada pengguna terutamanya kepada keluarga yang berpendapatan sederhana. Beberapa tips merancang perbelanjaan berikut mungkin boleh dipraktikkan:
- Senaraikan barang keperluan dan pilih yang perlu . Hanya beli barang keperluan yang memiliki keutamaan berbanding barang-barang lain.
- Buat sedikit analisis di antara satu jenama dengan satu jenama yang lain. Perhatikan kandungan berat bersih dan pilih yang mana lebih menguntungkan.
- Buat perbandingan setiap barangan yang sama tetapi berlainan cara pembungkusan atau cara penyediaannya. Pilih yang terbaik.
- Anda boleh juga membeli sesuatu barangan secara terus dari pembekal. Jika di kawasan sekitar rumah ada yang memiliki kebun sayur atau menternak ayam, apa kata anda terus membeli atau melanggan daripadanya setiap hari.
- Jikalau anda sudah biasa melanggan di sesebuah kedai, jangan lupa minta diskaun. Lebih-lebih lagi jika keadaan sesuatu barang itu kurang elok atau cacat tetapi masih boleh digunakan.
- Anda digalakkan membeli barang runcit yang dipakai setiap hari dan tahan lama dalam kuantiti yang banyak (mengikut kadar penggunaan anda sekeluarga). Contohnya jika anda memasak setiap hari, digalakkan membeli bawang, sayur, minyak masak dan lain-lain keperluan pada kuantiti yang banyak. Barang yang dipakai setiap hari akan cepat habis, jika beli sedikit perlu kerap ke kedai dan ini akan membuang masa anda, tenaga dan duit minyak petrol.
- Bezakan antara barang kehendak dan barang keperluan. Abaikan segala makanan ringan, kurang berkhasiat, tidak berzat, minuman ringan dan yang berkaitan.
- Jika di rumah anda ada sedikit kawasan untuk bercucuk tanam, bolehlah menanam apa yang patut seperti sayuran, serai, buah-buahan dan lain-lain yang sesuai dengan keluasan yang ada.
- Apa kata anda membeli belah di kedai runcit biasa yang terdapat di persekitaran rumah anda. Melainkan barang yang anda perlukan itu tiada di situ, barulah anda beralih ke pasar raya.
- Kepada yang merokok, hentikan tabiat merokok kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan tetapi juga merupakan pembaziran.
- Didik anak-anak bawa bekal makanan ke sekolah. Jika mahu, anda yang bekerjaya pun boleh mencontohi langkah sebegitu.
- Sentiasa membeli yang perlu sahaja seperti yang anda tulis dalam senarai barang. Jangan mudah terpedaya dengan promosi Purchase with Purchase. Itu adalah taktik menarik anda terus berbelanja.
- Perhatikan tarikh luput dan periksa keadaan sesuatu barang sebelum membeli. Pastikan ia berkeadaan baik dan lebih elok jika tempoh tarikh luputnya masih lama.
- Apabila anda hendak membeli belah, pastikan makan dulu di rumah. Kemudian barulah pergi membeli belah. Jadi anda tidak perlulah makan di luar.
- Kadangkala ada sesetengah pasar raya akan memberi kupon diskaun atau point setelah anda membeli di premis mereka. Jadi gunakan kupon itu sebaik mungkin.
- Ambil kesempatan untuk membeli belah ketika jualan murah. Pilih barang yang betul-betul murah dan bukannya diskaun 50% hingga 70% tetapi harga masih sama dengan tempat lain.
- Sebelum meninggalkan kaunter pembayaran, pastikan anda semak sama ada juru wang ada membuat kesilapan atau tidak, ada terkurang atau terlebih bayar.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih sudi komen.. ^_^