20 February 2013

Jom Perangi Rasuah

Assalamualaikum,

Perangi Rasuah

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi ini?
Anda berkhidmat sebagai penjawat awam di sebuah Agensi Kerajaan. Skop tugas anda adalah memproses permohonan syarikat bagi kelulusan penerimaan insentif Kerajaan. Pada suatu hari, sebuah syarikat telah menawarkan hadiah pakej percutian ke luar negara bagi tujuan mempercepatkan kelulusan insentif syarikatnya. 

Apakah definisi rasuah? 
Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.

Apa yang perlu anda lakukan? 
Sedarilah bahawa anda mungkin telah ditawarkan rasuah dalam bentuk hadiah. Segera laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sebarang aduan berkenaan salah laku rasuah boleh dilaporkan terus dalam talian menerusi Laman Web Rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 

Empat kesalahan rasuah yang utama berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) (Akta 694)
  • Meminta /Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) ASPRM 2009]
  • Memberi suapan [seksyen 17(b) ASPRM 2009]
  • Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 ASPRM 2009]
  • Salah guna kuasa [Seksyen 23 ASPRM 2009]

Apa peranan anda sebagai masyarakat yang prihatin?
Jika anda mengetahui seseorang telah menerima rasuah, jangan takut untuk melaporkan kepada SPRM. SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan PEMBERI MAKLUMAT adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan.
  • PEMBERI MAKLUMAT adalah orang yang membuat pendedahan tentang jenayah rasuah berdasarkan pengetahuannya. Mereka dilindungi di bawah Seksyen 65 Akta SPRM 2009.
  • PEMBERI MAKLUMAT juga dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
  • PEMBERI MAKLUMAT yang menjadi SAKSI bagi sesuatu kes rasuah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi komen.. ^_^